Adakah Emosi Anda Terganggu
Adakah Emosi Anda Terganggu
Emosi adalah perasaan yang ditujukan kepada seseorang atau sesuatu.
Ia juga adalah reaksi terhadap seseorang atau kejadian. Emosi dapat
ditunjukkan ketika merasa senang mengenai sesuatu, marah kepada
seseorang ataupun takut.
Semua manusia dikurniakan perasaan dan sebaliknya terbit pula satu
elemen unik yang kerap kali kita dengar iaitu emosi. Namun apa itu emosi
sebenarnya dan mengapa golongan wanita dan anak muda kebiasaannya
dikatakan beremosi?
Kata ‘emosi’ diturunkan daripada bahasa Perancis, Èmotion, dari
Èmouvoir, ‘kegembiraan’. Emosi lebih cepat berlalu daripada suasana
hati. Sebagai contoh, bila seseorang bersikap kasar, manusia akan merasa
marah.
Perasaan marah itu mungkin datang dan pergi dengan cepat tetapi
ketika sedang dalam suasana hati yang buruk, seseorang dapat merasa
tidak enak untuk tempoh tertentu.
Beremosi boleh dikenal pasti
sebagai satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia membabitkan
beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. Perubahan pada
emosi ini akan mempengaruhi komunikasi seperti ekspresi muka, perkataan,
isyarat dan tingkah laku lain yang dipaparkan oleh seseorang itu.
Apakah tanda-tanda perubahan emosi?
Ia boleh dilihat jika seseorang itu mudah marah, cepat terasa
hati jika ditegur, cepat ‘down’ apabila ditimpa masalah, terlalu
memandang sesuatu yang kecil menjadi rumit dan bercakap sesuka hati
tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Bagaimanapun sesuatu yang
kita semua perlu tahu adalah, individu yang memiliki tahap kecerdasan
emosi tinggi adalah seorang individu yang boleh mengawal perasaan dan
tindakan sendiri, mempunyai daya ketahanan untuk mencapai matlamat
hidup, boleh mengurus perasaan negatif serta mudah menjalinkan
persahabatan dengan orang lain.
Manakala individu yang
memiliki tahap kecerdasan emosi rendah pula akan bertindak mengikut
perasaan tanpa memikirkan akibatnya dan mempunyai matlamat hidup yang
kurang jelas.
Sinonim gaya hidup
Selain itu juga, individu berkenaan kurang mahir mengurus perasaan negatif serta menjalinkan persahabatan dengan orang lain.
Emosi
sememangnya sinonim dengan gaya hidup dan peribadi orang muda hari ini.
Ada saja yang tidak kena di mata mereka yang mana kemudiannya
mengundang rasa marah dan geram.
Jika membenci atau menyampah
dengan sikap seseorang, mudah sangat untuk mereka terus menjatuh hukum
dan kemudiannya membenci sedangkan silapnya terlalu kecil.
Logiknya, emosi sudah pun wujud dalam sanubari kita sejak lahir lagi.
Bayangkan,
anak kecil sendiri akan menangis jika kelaparan dan kanak-kanak kecil
akan demam jika berjauhan dari ibu bapa mereka.
Rasa rindu dan marah itu adalah sejenis perasaan yang terbentuk daripada emosi.
Gen.Y
berpeluang meneliti beberapa laman sosial dan blog remaja yang mana
berkongsi kisah dan perasaan masing-masing. Paling terbaru adalah
perlawanan bola sepak antara Johor dan Kelantan.
Apa yang jelas
mampu kita lihat pada setiap satu komen yang diletakkan mereka adalah
penuh emosi dan tidak berfikir sebelum berkata. Itulah realiti yang ada
pada mereka kerana jiwa dan perasaan orang muda begitu berkobar-kobar
dan hangat.
“Kalau
kalah pun kami bermaruah daripada ada ‘orang kampung’ ugut nak bakar
stadium, apa cerita?” Itu antara kata-kata dan pandangan mereka. Belum
lagi ada yang lengkap dengan bahasa kesat dan lucah.
Bertindak sebelum fikir
Mengapa
anak muda begitu? Coretan seorang anak muda dalam majalah Ceritera Aku,
ada menyebut yang itulah realiti jiwa muda berbanding orang lama.
“Kami
lebih beremosi kerana tindak balas perasaan kepada perkara sekeliling
atau sesuatu yang berlaku lebih cepat. Timbul perasaan ingin ‘back up’
atau saja untuk ‘in’ dalam sesuatu perkara membuatkan kami lebih
beremosi.
“Namun apa yang penting, anak muda lebih suka guna
otak selepas tangan atau kaki fikir dulu. Itu selalunya berlaku yang
mana selepas sesuatu berlaku barulah masing-masing sibuk menggunakan
fikiran untuk mencari penyelesaian.
“Paling jelas, golongan muda
dikatakan gemar membuat kacau dan menimbulkan masalah namun selepas itu
hanya berlalu pergi tanpa menyelesaikannya. Orang lain pula akan datang
dan terpaksa berhempas-pulas memikirkan cara untuk menanganinya.
“Justeru
secara kesimpulan, bukan saja di rantau ini atau Malaysia sebaliknya
seluruh dunia tamadun sudah pun membentuk yang anak muda atau lebih
tepat golongan remaja berperangai begitu,” katanya.
Perubahan
emosi juga meninggalkan kesan dan impak tidak kira muda atau pun tua.
Antaranya adalah menahan marah, memendam rasa, amalan kepada sikap
negatif dan menyimpan sesuatu, tekanan yang melampau di dalam hati,
ketegangan emosi dan minda yang tidak bertolak ansur.
Selain itu
perubahan emosi juga mampu meninggalkan kesan termasuk kekesalan
melampau, mudah menyesal, mudah merungut perkara remeh-temeh dan tidak
boleh memikirkan penyelesaian dengan bijak.
Bergurau kasar
Persoalannya,
bagaimanapun untuk kita membentuk emosi yang baik walaupun diketahui
umum yang kesannya banyak yang negatif jika gagal dikawal?
Penyelesaiannya
mudah, sentiasa berdampingan dengan orang positif dan usah tunggu
sehingga sesuatu perkara menjadi teruk untuk difikirkan. Kemudian, fikir
sebelum bercakap adalah petua yang paling mujarab khususnya golongan
muda yang lebih bersikap dingin dan ‘cakap lepas’.
Bila terkena
kesannya baru hendak menyesal atau memikirkan cara untuk ‘membersihkan’
keadaan. Pastikan anda tarik nafas panjang-panjang, belajar untuk
menerima kekurangan orang lain dan belajar untuk menjaga air muka orang
lain.
Jika dilihat senario anak muda hari ini, masing-masing
lebih gemar bergurau dengan cara yang kasar dan melampau hingga
membabitkan unsur seksual dan maruah diri. Justeru ada lebih baik jika
ingin memastikan emosi anda sentiasa dalam keadaan baik, fikirkan setiap
perbuatan sebelum dilakukannya.
Kemudian jangan bertekak atau
suka bercakap mempertahankan diri sebaliknya lebih optimis dan menerima
apa saja kritikan daripada pihak lain. Jika difikirkan dengan teliti,
tiada apa yang rugi pun jika kita lebih bersikap terbuka.
Jangan
cakap apa yang anda rasai, sebaliknya berfikir apa yang bakal terjadi
adalah langkah terbaik untuk menyerapkan emosi positif selain jangan
suka menyalahkan orang lain atau membuat orang berasa bersalah.
Itu
adalah penyakit dalam kalangan anak muda hari ini yang gemar menuding
jari ke arah orang lain walaupun hakikatnya salah itu adalah pada diri
sendiri. Terakhir untuk anda memiliki emosi yang positif adalah elakkan
bercakap dalam tempoh terlalu lama.
Sumber; Harian Metro, Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/2
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen