Aliran Trafik Kuantan Diubah Julai 2013
Bandar Kuantan Pahang
Perubahan trafik di bandar ini sejak 22 Julai yang lalu akan
menjadi ujian paling getir hari ini (Jumaat). Ia memandangkan, sudah
menjadi tradisi bandar Kuantan akan penuh sesak dengan kenderaan hari
ini terutamanya selepas solat Jumaat. Ini kerana orang ramai dari
Kemaman, Kerteh, Paka dan Terengganu Selatan akan turun untuk
membeli-belah dan membuat urusan di sini.
KUANTAN 24 Julai - Majlis Perbandaran Kuantan
(MPK) mengalu-alukan maklum balas orang ramai berhubung perubahan trafik
di daerah ini yang diubah daripada dua hala kepada sehala melibatkan
beberapa jalan utama bagi mengurangkan kesesakan bermula kelmarin.
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, apa yang diharapkan
pihak berkuasa tempatan (PBT) itu orang ramai tampil memberi pandangan
dan cadangan bagi memperkemaskan lagi perubahan aliran trafik yang
dibuat.
"Jalan mana yang perlu dibaiki atau tambah lagi, tanda amaran apa
diperlukan, di mana kita (MPK) perlu letakkan, tapi saya rasa hari ini
masuk hari ketiga pelaksanaannya, kita lihat keadaan menjadi semakin
baik.
"Saya harap warga Kuantan bersabar kerana jika kita tidak mencuba
kita tidak boleh berubah. Kali terakhir kita ubah Jalan Besar dan Jalan
Mahkota daripada dua hala menjadi sehala adalah pada tahun 1979, semasa
itu Menteri Besar adalah Allahyarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.
"Maknanya sudah 34 tahun kita tidak melalukan perubahan kepada aliran
trafik di daerah ini, jadi saya rasa sudah sampai masanya kita lakukan
perubahan ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan 'Kami
Prihatin' dan Bakul Ramadan kepada orang kurang upaya (OKU) Badan
Kebajikan Bagi Insan Istimewa (Bakbiis) 2013 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Majlis MPK, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap.
Zulkifli berkata, MPK juga akan melakukan penambahbaikan bagi
memastikan perubahan aliran trafik yang dilakukan berjaya
direalisasikan.
"Pertamanya dari segi papan tanda, saya telah mengarahkan bahagian
pembangunan MPK untuk menyediakan papan tunjuk arah yang lebih banyak
lagi supaya memudahkan pengguna.
"Buat sementara waktu ini, kita juga menempatkan penguat kuasa MPK
yang ditugaskan selama 24 jam untuk memastikan keadaan berjalan lancar.
Kita juga berterima kasih kepada pihak yang turut membantu mengawal lalu
lintas terutama pada waktu-waktu puncak," katanya.
Mengenai masalah orang ramai terutama pejalan kaki untuk melintas
jalan akibat perubahan aliran trafik itu, beliau berkata, jejantas sedia
ada perlu digunakan.
"Dalam pada itu, MPK dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melihat
kesesuaian semasa lampu isyarat merah sebagai laluan orang ramai
melintas. Ini kita sedia maklum kerana kereta pastinya lebih laju
melalui jalan sehala," katanya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen