Masuk U dengan 1 Peperiksaan?
Pengerusi Biro Pendidikan Gerakan Lau Chin Hoon sememangnya berpendapat
begitu atas dasar dwi-sistem bagi kemasukan ke universiti sekarang
Peperiksaan tunggal untuk ke universiti?
KUALA LUMPUR - Adakah masanya sudah tiba bagi Kementerian Pendidikan
menimbang dengan serius untuk mengadakan peperiksaan tunggal bagi
kemasukan ke universiti sebagai penyelesaian jangka panjang kepada
masalah pelajar terbaik yang tidak memperoleh tempat di universiti
tempatan?
Pengerusi Biro Pendidikan Gerakan Lau Chin Hoon sememangnya berpendapat
begitu atas dasar dwi-sistem bagi kemasukan ke universiti sekarang,
iaitu STPM dan matrikulasi, menjadi punca ketidakpuasan hati sesetengah
mereka meskipun terdapat lebih banyak pengambilan berdasarkan merit.
"Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam matrikulasi dan CGPA 4.0
dalam STPM bukanlah setara. Dari segi prosedur parameter kedua-duanya
adalah peperiksaan yang sama sekali berbeza. Sebab itulah, kita perlu
menyeragamkannya menjadi peperiksaan tunggal untuk ke universiti," jelas
beliau.
Ini berikutan hakikat bahawa STPM digabungkan dengan Cambridge Local
Examinations Syndicate manakala matrikulasi pula berasaskan kombinasi
kerja kursus, peperiksaan dan penilaian pensyarah.
Beliau berkata tanpa peperiksaan kemasukan yang seragam, masyarakat
akan sentiasa beranggapan terdapat kurang ketelusan dalam proses
pemilihan memandangkan tiada peratusan kemasukan yang boleh diperoleh
segera daripada setiap sistem.
"Jika ada peperiksaan kemasukan seragam, masyarakat boleh menerima
hakikat apabila permohonan mereka ditolak. Tidak dinafikan bahawa tempat
tertentu perlu dikhaskan kepada mereka yang kurang berkemampuan namun
peperiksaan seperti ini akan memastikan ketelusan yang lebih hebat,"
kata Lau.
Peperiksaan tunggal untuk ke universiti adalah perkara lazim di dunia.
Di Amerika Syarikat, ia dikenali sebagai 'Standard Assessment Test'
(SAT), di China, 'The National Higher Education Entrance Examination'
atau 'Gaokao' manakala Korea Selatan pula mempunyai 'College Scholastic
Ability Test' atau dikenali sebagai 'Suneung'.
Beliau berkata sungguhpun usaha dilakukan untuk menambah baik format
STPM tahun ini tetapi langkah itu masih tidak menyelesaikan isu pelajar
terbaik tidak mendapat tempat di universiti awam.
Kali terakhir STPM dijalankan berdasarkan format lama adalah pada 2012,
memandangkan tiga tahun lepas Kementerian Pendidikan memutuskan untuk
merombak format peperiksaan iaitu daripada mengadakan satu peperiksaan
akhir kepada format yang memasukkan penilaian berasaskan sekolah dan
penilaian pada setiap akhir semester bertujuan menggalakkan lebih ramai
pelajar mengambil STPM.
Sejumlah 51,673 pelajar menduduki peperiksaan itu tahun lepas dengan 442 orang daripadanya memperoleh 4.0 CGPA.
"Di Malaysia, seperti juga di kebanyakan negara Asia, kita cenderung
belajar untuk lulus peperiksaan berbanding dengan menumpukan perhatian
ke arah memburu cita-cita atau kerjaya," katanya.
Pandangan beliau disokong Felo Penyelidikan Utama di Institut Kajian
Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Denison Jayasooria yang
bersetuju bahawa Malaysia perlu memperkenalkan peperiksaan tunggal ke
universiti sambil memastikan pelajar kurang berkemampuan juga diberi
peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam.
"Ia seharusnya sama ada matrikulasi atau STPM, bukan kedua-duanya. Satu
cara lagi ialah mungkin membiayai mereka mengikuti kursus yang
diinginkan sama ada di universiti awam atau swasta atau malah di luar
negara, sama seperti sistem baucar di UK," katanya.
Timbalan Naib Canselor Inti_UC Laureate International University, Prof
Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid berpendapat kelihatan seperti wujud salah
tanggapan, malah mungkin mitos bahawa setiap pelajar terbaik seharusnya
memasuki universiti awam tempatan.
Beliau menarik perhatian bahawa pendemokrasian pendidikan tinggi pada
1990-an mewujudkan tambahan kira-kira 500,000 tempat bagi program ijazah
sarjana muda.
Pada masa ini, kira-kira 900,000 pelajar mengikuti pengajian peringkat
tinggi di 20 universiti awam, 33 universiti swasta dan kolej universiti,
empat kampus cawangan universiti asing, 22 politeknik, 37 kolej
komuniti dan kira-kira 500 kolej swasta.
"Kerajaan telahpun meminda peraturan untuk memberi layanan yang sama kepada universiti awam dan swasta.
"Sebenarnya, tiada isu berhubung pelajar cemerlang yang tidak mendapat
tempat di universiti, sebaik saja mereka memasuki universiti swasta.
Kita ada ruang yang mencukupi. Saya rasa ini bukanlah satu isu,"
katanya.
Sambil menegaskan bahawa universiti terulung di United Kingdom
sebenarnya adalah universiti swasta, beliau berkata satu-satunya isu
adalah bantuan kewangan bagi pelajar cemerlang.
"Pelajar yang memperoleh keputusan yang baik sepatutnya diberi bantuan
kewangan untuk meneruskan pelajar ke institusi pengajian tinggi,"
katanya. - Bernama
Sumber; Sinar Harian
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen