Pages - Menu

Pages - Menu

Puasa Pesakit Diabetes Type 2 Kawal hipoglisemia

Puasa Pesakit Diabetes Type 2 

Kawal hipoglisemia semasa berpuasa


Artikel kesihatan ini saya muatnaik di blog ini, kerana ada pelajar-pelajar saya yang menghidap pelbagai masalah kesihatan tetapi meminta dirahsiakan. Sebagai kaunselor pelajar, klien selesa berkongsi rahsia dengan saya termasuk penyakit klien. 

Artikel ini sebagai salah satu sumber rujukan dan panduan saya dalam memahami pengalaman kesakitan klien saya. Bagaimanapun klien biasanya selepas sesi kaunseling individu akan merujuk kepada pakar kesihatan terdekat.

Puasa Pesakit Diabetes Type 2 Kawal hipoglisemia semasa berpuasa

BAGI Rohimah Chewik, 57, dari Shah Alam, Selangor kedatangan bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun antara detik-detik paling sibuk dalam rutinnya sebagai suri rumah.



Pada waktu itu, selain memperbanyakkan ibadah, dia juga perlu mengemas, memasak juadah berbuka dan menyediakan persiapan lebaran. 


Sungguhpun dibantu suami dan anak-anak, Rohimah tetap membuat kerja-kerja rumah dengan tekun bagi memastikan bulan Ramadan berjalan lancar dan Syawal disambut meriah.

Namun, sejak lima tahun yang lalu, selepas dia dikesan dengan penyakit diabetes Jenis 2, wanita yang sudah bergelar nenek itu terpaksa banyak berehat dan membuat kerja secara konsisten.


Diabetes boleh dibahagikan kepada dua, iaitu Jenis 1 dan 2. Diabetes Jenis 1 berlaku apabila seseorang terpaksa bergantung kepada insulin, manakala diabetes Jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) biasanya membabitkan individu yang mengalami masalah obesiti.


Bagi diabetes Jenis 2, apabila badan tidak mampu mengawal paras glukos dalam darah ia akan dipanggil hiperglisemia. Bagaimanapun disebabkan oleh agen antihiperglisemia seseorang pesakit boleh berdepan dengan masalah hipoglisemia iaitu gula rendah. 


“Disebabkan kandungan glukos yang rendah, saya menghadapi hipoglisemia. Walaupun bukan teruk, saya masih boleh merasa situasi tersebut apabila tiba-tiba berasa letih, berpeluh dan rasa tidak senang,” katanya yang menghadapi hipoglisemia tahap minimum.


Perubatan yang diambil Rohimah mungkin membantu beliau mengelak daripada terkena hipoglisemia teruk, namun, pada waktu pagi Rohimah mengakui tetap berdepan dengan fenomena tersebut. 


“Waktu seperti itu, saya akan mengambil makanan bergula dalam kuantiti kecil. Gula-gula, biskut manis atau minuman. Kemudian saya mesti berehat. Kadangkala sekejap, adakalanya tidur lama,” katanya yang tidak dapat menentukan jangka masa tertentu untuk berehat.


Bersahur elak hipoglisemia


Ditanya tentang masalah yang sama menjelang bulan Ramadan, Rohimah memberitahu, amalan bersahur mengelak dirinya letih pada waktu pagi namun, menjelang petang dia kepenatan. 

“Bacaan gula saya tidak pernah turun kurang daripada enam, biasanya tujuh tetapi ditambah dengan faktor usia menyebabkan saya cepat penat dan terdesak untuk berehat,” ujar Rohimah lagi.

Pesakit diabetes dikesan mengalami masalah hipoglisemia (kurang gula) atau hiperglisemia (kandungan glukosa tinggi) lazimnya pada bulan puasa disebabkan pola pengambilan makanan dan waktu makan yang berbeza.
Apabila pesakit diabetes tidak bangun untuk bersahur, tempoh berpuasa mereka direkod lebih lama iaitu melebihi 14 jam.

Pesakit tersebut meningkatkan risiko hipoglisemia yang mengundang kemerosotan kandungan glukosa dalam darah. 


Periksa kandungan gula


Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Zanariah Hussein berkata, masalah hipoglisemia juga selalunya dikaitkan dengan jenis perubatan yang diambil. Terdapat dua jenis perubatan untuk diabetes iaitu metformin dan sulfonylurea.
Metformin tidak mengurangkan kandungan glukosa, namun ubatan seperti sulfonylurea pula mengalakkan peningkatan insulin menyebabkan pesakit berhadapan dengan masalah. 

“Disebabkan itu, pesakit perlu dididik lebih awal untuk mengawal kandungan gula sebelum menjelang bulan puasa. Dengan itu, kadar turun naik kandungan glukosa dapat dielakkan,” katanya.


Malah, beliau juga memberitahu, jika pesakit berhadapan dengan masalah hipoglisemia semasa sedang berpuasa, mereka boleh mendapatkan nasihat doktor. Doktor akan mengubah waktu atau dos ubat mengikut masa berbuka serta selepas bersahur. 


“Jangan lupa membaca tahap gula semasa berpuasa. Jika bacaan glukosa berada pada tahap rendah, pesakit disarankan berbuka kerana takut akan berhadapan risiko hipoglisemia yang teruk seperti pengsan, tidak sedar diri, pitam, keliru, resah, palpitasi, loya dan pucat,” katanya merujuk kepada kajian yang pernah dibuat terhadap fenomena hipoglisemia ketika bulan berpuasa.



Malah, pesakit yang mengalami hipoglisemia teruk juga dilapor memberi tekanan pada jantung.

Berita baik mengenai kemampuan pesakit diabetes di Malaysia menurut Jurnal Diabetes Care Vol. 2 No. 10 2004, menunjukkan peratusan pesakit diabetes jenis dua yang berpuasa lebih daripada 15 hari di Malaysia adalah 95 peratus.


Ia antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara-negara Islam yang lain.
Menurut seorang lagi Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Chan Siew Pheng, Kajian Epidiar daripada Jurnal Diabetes Care Vol. 27 No. 10 2004, purata kekerapan episod hipoglisemia sebelum berpuasa adalah pada 0.4, tetapi menjelang Ramadan, ia meningkat 7.5 kali ganda. 



“Rawatan antidiabetes yang mengurangkan risiko hipoglisemia, mengurangkan kebimbangan tentang hipoglisemia dan mampu meningkatkan kadar kepatuhan serta membantu pesakit mencapai sasaran jangka panjang iaitu aras gula darah yang lebih terkawal,” kata Siew Pheng.

Sumber;Kosmo Online

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen