Alhmdulillah kami telah hadir program Syarahan Umum di UMP (Universiti Malaysia Pahang - Kampus Gambang) pada 18 September 2013 lalu. Kami bertolak dari sekolah pada pukul 1.40 petang dengan menaiki Bas UMP. Program sebegini dapat mendedahkan peluang kerjaya dalam bidang ICT dan seni visual kepada pelajar-pelajar sekolah. Kami kembali semula ke sekolah pada pukul 5.05 petang. Terima kasih kepada UMP kerana sudi menjemput sekolah kami menghadiri program ini dnegan disediakan pengangkutan bas dan makanan secara percuma.
Petikan dari portal UMP:
Kuantan, 18 September- Lebih 3000
pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP)
bagi menghadiri syarahan umum bertajuk `Di sebalik Tabir Upin dan Ipin
dari kacamata Tok Dalang' bertempat di Kompleks Sukan UMP baru-baru
ini.
Program yang bertemakan inovasi dan
keusahawanan menampilkan Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn Bhd,
Haji Burhanuddin Mohd Radzi yang pernah bertugas sebagai jurutera
petroleum sebelum menceburkan diri dalam bidang animasi Upin dan Ipin
yang cukup terkenal di dalam dan di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr Daing
Nasir Ibrahim berkata, UMP menganjurkan program sebegini bertujuan
menyalurkan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat setempat di samping
mengeratkan hubungan dua hala antara universiti dan masyarakat.
"Melalui program ini juga UMP sentiasa
mengetengahkan tokoh-tokoh terkemuka dari dalam dan luar negara dan
kebiasaannya, siri syarahan umum akan mengupas dan membincangkan
masalah-masalah serta isu –isu masyarakat agar penyelesaian dapat
dipertimbangkan bersama."
"Pemidato utama pada kali ini ini adalah
pengasas kepada animasi terkenal negara iaitu Upin dan Ipin, kini filem
bersiri Upin dan Ipin ini amat popular di kalangan kanak-kanak. Watak
budak kembar yang botak itu berjaya menarik jiwa kanak-kanak dan orang
dewasa," katanya sewaktu memperkenalkan pemidato dalam Majlis Syarahan
Umum UMP itu.
Tambahnya, fenomena animasi semakin
mendapat tempat pada masa kini dan merupakan hasil karya anak tempatan
yang boleh dijadikan role model kepada remaja masa kini yang meminati
bidang animasi dan keusahawanan.
Sementara itu, menurut Haji Burhanuddin,
idea awalnya dicetuskan isterinya, Hajah Ainon Ariff yang kini cukup
sinonim dengan watak Opah dalam siri animasi Upin dan Ipin ini. Katanya,
filem animasi yang pertama diterbitkan adalah ”Geng Pengembaraan
Bermula” yang mula ditayangkan pada tahun 2005 dan pada masa itu sungguh
membanggakan apabila menerima sambutan yang menggalakkan dengan kutipan
yang diterima menjangkau 6.2 juta.
”Bermula dari situlah siri Upin-ipin
mula diterbitkan dari satu episod demi episod. Siri animasi yang
keseluruhannya mengunakan bahasa Melayu ini mempunyai identiti
tersendiri dengan menekankan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat
Malaysia di samping menerapkan unsur tauladan bagi memupuk pemikiran
positif di kalangan penontonnya terutama kanak-kanak.
Dalam berkongsi pengalaman, beliau
menekankan pelajar agar sentiasa fokus dalam melaksanakan sesuatu tugas
serta peka kepada persekitaran. namun yang penting adalah sikap disiplin
dan gigih.
Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib
Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Dr.
Badhrulhisham Abdul Aziz, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan
Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd. Yusoff dan Pengarah Bahagian
Jaringan Industri & Masyarakat merangkap pengerusi program, Profesor
Dr. Zulkefli Yaakob.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen