Tragedi Cameron Oktober 2013 Banjir Kilat dan Tanah Runtuh
TENGKU Mahkota
Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan keprihatianan baginda kepada rakyat di atas tragedi yang berlaku.
Gambar Selepas Kejadian Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Ringlet Cameron Oktober 2013:
Keadaan kenderaan yang rosak akibat banjir lumpur yang berlaku di Bertam Valley, Cameron Highlands
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Khamis
menitahkan supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air di
Empangan Sultan Abu Bakar, diperkemaskan bagi mengelak tragedi banjir di
situ berulang.
Menurut baginda, SOP yang diperkemas itu
termasuk siren amaran yang perlu diberi lebih awal dan memastikan paras
air dilepaskan lebih awal dan sedikit demi sedikit tanpa menunggu paras
bahaya.
Selain itu, baginda turut menitahkan agar pembangunan di Cameron Highlands distruktur semula.
Baginda bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak tentang kesilapan yang telah berlaku.
Tiga terbunuh dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Bertam
melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet di sini
awal hari ini.
Dua mangsa lemas manakala seorang lagi maut akibat serangan jantung, menurut laporan Bernama.
Kejadian pada pukul 1 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita
Indonesia hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki
cedera.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari
Wan Busu dipetik berkata arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan
kira-kira 80 rumah dan beberapa kenderaan di kawasan penempatan Lembah
Bertam itu.
Dua yang mati lemas ialah lelaki Bangladesh
dikenali sebagai Jahangir, 30-an, dan wanita Indonesia yang hanya
dikenali sebagai Kesmat, 46. Satu mayat ditemui di dalam sebuah rumah
dan satu lagi di bawah runtuhan rumah yang lain.
Lelaki yang
mati akibat serangan jantung ialah Tan Tuck Choi, 51. Mangsa mati dalam
perjalanan ke Hospital Sultanah Kalsom di sini, awal pagi ini.
Mohd Zahari berkata mangsa yang masih hilang dipercayai dihanyutkan arus
deras dikenali sebagai Jarwati, 17, manakala lelaki yang cedera Ho Kim
Way, 38, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
"Ho cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian itu," katanya.
Kawasan yang terlibat dalam kejadian itu menempatkan rumah penduduk dan
rumah setinggan berhampiran kebun sayur. Berikutan kejadian itu Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan (C) Lembah Bertam ditutup hari ini.
Terdahulu Mohd Zahari berkata air empangan di Ringlet itu terpaksa
dilepaskan bagi mengelak empangan itu pecah berikutan hujan lebat yang
berterusan sejak 7 petang semalam.
Pelepasan air empangan
pertama dibuat pada 12 tengah malam diikuti pada jam 1 pagi dan
seterusnya pada 2.45 pagi yang menyebabkan air di Sungai Bertam melimpah
secara mendadak dan mengakibatkan banjir kilat.
Beliau berkata berikutan kejadian itu, seramai 54 orang dari 12 keluarga dipindahkan ke dewan orang ramai Ringlet.
Sementara itu Timbalan Penguasa Balai Bomba Zon 3 Pahang Yusmaizi
Zulkifli berkata paras air normal di empangan itu ialah 3.498 meter dan
pelepasan air dilakukan ketika paras air mencecah 3.508 meter.
Tinjauan hari ini mendapati cuaca panas sehingga tengah hari bagaimana hujan renyai mula turun pada sebelah petang.
Anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G.Palanivel turut melawat
kawasan kejadian dan memaklumkan bantuan akan disalurkan dalam masa
terdekat.
Sumber; Astro Awani
Gerakan mencari mangsa banjir di Ringlet diteruskan
Lembah Bertam, Cameron Highlands di sini hari ini. gambar oleh Roy Azis Abd Aziz pemberita Sayed,Asliza,Azli (Utusan,Kosmo)
CAMERON HIGHLANDS 24 Okt. - Gerakan mencari dan menyelamat seorang
wanita Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam tragedi
banjir lumpur di Sungai Bertam, Ringlet di sini diteruskan pada 8.30
pagi ini.
Operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd
Zahari Wan Busu itu melibatkan 328 anggota pasukan penyelamat terdiri
daripada polis, bomba dan penyelamat, tentera, Jabatan Pertahanan Awam
Malaysia (JPAM) dan Rela.
"Anggota yang terlibat akan bertambah kerana gerakan mencari dan
menyelamat dilakukan secara bergilir-gilir," katanya ketika ditemui Bernama.
Beliau berkata kawasan operasi diperluaskan sepanjang lapan kilometer
bermula dari tempat mangsa dihanyutkan sehingga ke arah bawah sungai.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati hujan renyai pada awal pagi dan cuaca kini mendung.
Kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kira-kira 1 pagi semalam
akibat pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar itu menyebabkan tiga
terbunuh, seorang hilang dan seorang cedera manakala 80 rumah serta
kira-kira 100 kenderaan musnah. - BERNAMA
Sumber; Utusan Malaysia
Tragedi Cameron: Unit penyelam diturunkan
CAMERON HIGHLANDS - Usaha mencari dan menyelamat seorang warga Indonesia
yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam di sini,
diteruskan hari ini termasuk melibatkan sepasukan penyelam Jabatan Bomba
dan Penyelamat.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitendan Wan Mohd
Zahari Wan Busu berkata, pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai
dan empat anggota itu akan melakukan selaman di tiga kawasan iaitu di
Empangan Salini, Jeram Kampung Manson ke Kampung Susu dan di Jeram
Kampung Susu ke Kampung Salini.
"Pihak berkuasa turut memperluas kawasan mencari di empat zon sepanjang
20km menyusuri Sungai Bertam. Unit anjing pengesan dan jentera berat
turut digunakan dalam usaha itu," katanya kepada pemberita mengenai
usaha mencari dan menyelamat yang bermula 9 pagi ini.
Selain pasukan penyelam, ia turut melibatkan 11 pegawai dan 86 anggota keselamatan.
Wan Mohd Zahari berkata, usaha mencari akan diteruskan sehingga 7 malam, jika tiada sebarang halangan seperti cuaca buruk.
Selain mangsa yang hilang, kejadian banjir lumpur yang berlaku
kira-kira 1 pagi Rabu lalu itu, turut mengorbankan tiga nyawa selain
memusnahkan puluhan rumah dan kenderaan. - Bernama
Sumber; Sinar Harian 26 Oktober 2013
Bencana banjir kilat di Lembah Bertam, Cameron Highlands sekali lagi
mengulangi 'siren amaran' oleh para aktivis alam sekitar hampir sedekad
lalu.
Aktiviti pertanian yang tidak lestari di kawasan cerun menjadi faktor yang menterjemah kebimbangan selama ini.
Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ahmad Daud menyifatkan sikap
pekebun di kawasan cerun ini menyumbang kepada kecepatan berlakunya
bencana di kawasan tanah tinggi.
"Contohnya, perangkap kelodak
(kolam) tidak di buat di kawasan ladang kebanyakkanya. Ini masalah
kepada berlakunya peningkatan kelodak yang mengalir ke sungai-sungai",
kata beliau kepada Astro AWANI.
Beliau mengulas keperluan bagi
mengelak kawasan takungan air yang makin cetek akibat daripada kelodak
yang kian banyak terkumpul.
Ini sekaligus menjejaskan sungai dan kawasan takungan air yang mendorong belakunya bencana banjir.
"Selain itu, rumah-rumah plastik di kebanyakan kebun menyumbang kepada
kecepatan banjir," kata Ahmad Daud yang baru 2 tahun menjadi Pegawai
Daerah Cameron Highlands.
"Kita sentiasa lakukan penguatkuasaan
san pemantauan. Ladang-ladang haram di kawasan cerun memang dihalang
tetapi fokus tentunya mengajar pekebun-pekebun sedia ada kerana ini
melibatkan amalan yang telah lama," ujar Daud.
Kumpulan aktivis
alam sekitar sebelum ini mendakwa lebih 80 peratus air di kawasan tanah
tinggi ini dialihkan ke sektor pertanian.
Selain itu, lebih 80 peratus ladang pula dibuka dan diusahakan di kawasan cerun.
CAMERON HIGHLANDS: Tengku Mahkota Pahang, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Khamis menitahkan supaya Prosedur
Operasi Standard (SOP) pelepasan air di Empangan Sultan Abu Bakar,
diperkemaskan bagi mengelak tragedi banjir di situ berulang.
Menurut baginda, SOP yang diperkemas itu termasuk siren amaran yang
perlu diberi lebih awal dan memastikan paras air dilepaskan lebih awal
dan sedikit demi sedikit tanpa menunggu paras bahaya.
Selain itu, baginda turut menitahkan agar pembangunan di Cameron Highlands distruktur semula.
Baginda bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak tentang kesilapan yang telah berlaku.
Semalam, tiga terbunuh dalam banjir kilat selepas air Sungai Bertam
melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet.
Dua mangsa lemas manakala seorang lagi maut akibat serangan jantung.
Kejadian pada pukul 1 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita
Indonesia hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki
cedera.
Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/perkemas-sop-pelepasan-air-empangan-sultan-abu-bakar-tengku-abdullah-24509?cp
Operasi hari keempat cari mangsa hilang kejadian banjir lumpur dihentikan
CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa
warga Indonesia yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah
Bertam, Rabu lalu, dihentikan pihak berkuasa pada 7 malam ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Polis Wan
Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia akan disambung semula selama lima jam
mulai 8 pagi esok.
"Selepas 1 tengah hari, pihak berkuasa tidak lagi menggunakan khidmat unit
anjing pengesan dan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya pada
sidang media di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, operasi dalam skala kecil membabitkan
30 anggota keselamatan akan diteruskan sebelum ia dihentikan sepenuhnya,
Isnin ini.
Wan Mohd Zahari berkata, sehingga kini usaha mencari dilakukan sehingga jarak
25 kilometer dari kawasan bencana menyusuri Sungai Bertam.
Dalam kejadian 1 pagi Rabu lalu, banjir lumpur melanda Lembah Bertam,
Ringlet di sini apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan
Sultan Abu Bakar.
Insiden itu mengorbankan tiga nyawa selain seorang mangsa hilang. Ia turut
memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.
Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika
membentangkan Bajet 2014 semalam, mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk
melebar dan mendalamkan Sungai Bertam.
Ketua Kampung Lembah Bertam Wong Fook Shai mengalu-alukan perkembangan itu,
namun berharap Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengkaji semula prosedur pelepasan
air empangan berkenaan.
Menurut seorang penduduk, S Vijaya , 45, kerajaan perlu mencari kaedah
untuk memberi respons segera bagi membantu penduduk kampung apabila berlaku
bencana seperti banjir kilat.
"Mungkin kerajaan perlu juga meningkatkan sistem siren di perkampungan untuk
memberi amaran supaya penduduk berpindah sebelum berlakunya sesuatu kejadian
tidak diingini," katanya. - BERNAMA
Sumber Berita Harian 2013/10/26 - 23:31:20 PM
Mangsa banjir kilat cerita detik cemas kejadian
CAMERON HIGHLANDS: "Kami terkurung di dalam rumah kerana pintu tak
dapat dibuka, ketika itu air terus melimpah masuk sehingga paras dada,"
kata Shaifa Jamil seorang daripada 54 penduduk yang dipindahkan apabila
rumah mereka di Lembah Bertam musnah dalam kejadian banjir kilat awal
hari ini.
Shaifa, 19, yang ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang
Ramai Ringlet di sini, berkata ketika kejadian beliau dan ibunya berada
di dalam rumah manakala ayah dan abangnya berada di luar rumah.
Menceritakan kembali detik cemas yang dialami itu, beliau berkata siren
kecemasan dibunyikan dua kali sebelum beliau ternampak kayu balak dibawa
arus.
"Tak sampai dua minit air terus melimpah masuk ke dalam rumah
dan saya tidak sempat nak selamatkan harta benda," kata pelajar
Tingkatan Enam Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata itu.
Shaifa berkata ayahnya terpaksa memecahkan tingkap untuk
mengeluarkan beliau dan ibunya yang terperangkap di dalam rumah mereka
itu.
"Arus deras menyebabkan barang-barang terpelanting dan menyukarkan
kami untuk menyelamatkan diri," katanya yang mengalami sedikit
kecederaan akibat terpijak objek tajam.
Beliau berkata sebelum ini banjir pernah berlaku di Lembah Bertam namun kejadian kali ini adalah paling buruk.
"Walaupun tidak dapat menyelamatkan harta benda, yang penting saya bersama ibu, ayah dan abang selamat," kata Shaifa.
Sementara itu Mohd Esswandy Zubir, 21, berkata hampir semua rumah di
kawasan itu musnah akibat limpahan air dari empangan Sultan Abu Bakar.
"Telefon bimbit dan barang keperluan lain termasuk sijil tidak dapat
diselamatkan tetapi dokumen pengenalan diri dapat diselamatkan kerana
dari awal lagi ibu saya telah menyimpannya," kata lepasan diploma
Politeknik Muadzam Shah, Rompin Pahang itu.
Mohd Esswandy yang merupakan anak bongsu dari empat beradik itu bersyukur kerana selamat daripada tragedi buruk itu.
Beliau berkata kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan adalah warga
tempatan dan kawasan kediaman berhampiran rumahnya mempunyai enam
keluarga Melayu.
Kejadian arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan kira-kira 80
rumah dan beberapa kenderaan penduduk di kawasan penempatan Lembah
Bertam itu.
Kejadian kira-kira 1 pagi itu turut menyebabkan dua rakyat asing dan
seorang warga tempatan maut, seorang lelaki tempatan cedera manakala
seorang lagi rakyat asing masih hilang.
Seramai 54 penduduk dari 12 keluarga kini ditempatkan di Dewan Orang
Ramai Ringlet dan operasi mencari dan menyelamat wanita Indonesia yang
dilapor hilang itu akan diteruskan esok. - BERNAMA
Sumber Berita Harian
2013/10/23
Tragedi Bencana Alam di Cameron Highlands pada pagi Rabu 23/10/2013 lalu, sekali lagi mencetus polemik. Semoga semua pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya dan sama-samalah menjaga alam ini.