Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Parlimen Malaysia dibubar pada 3.4.2013 buka laluan bagi PRU13

Parlimen Malaysia dibubar pada 3.4.2013 buka laluan bagi PRU13





SHAH ALAM - Parlimen dibubar berkuat kuasa hari ini, sekali gus membuka laluan bagi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dinanti oleh seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Pembubaran diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

"Pembubaran ini membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 sejak negara merdeka," kata beliau dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen jam 11.30 pagi.

Pengumuman ini dibuat ketika Najib genap empat tahun menjadi perdana menteri.
Mandat kerajaan pusat akan berakhir pada 28 April ini. PRU12 diadakan pada 8 Mac 2008.


 
Ini kali pertama pilihan raya umum diadakan selepas genap lima tahun selepas satu-satu pilihan raya umum.
Dalam ucapannya, Najib yang diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah menghadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen Ke-12 hari ini.


Barisan anggota jemaah menteri juga hadir pada majlis pengumuman khas itu.
Najib turut menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.


Dun Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan. Sarawak pula telah mengadakan pilihan raya umum negeri pada April 2011.


Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian, lapor Bernama.


Selepas pilihan raya umum ke-12, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan, ekoran kematian dan peletakan jawatan, iaitu enam bagi kerusi parlimen dan 10 kerusi Dun, yang menyaksikan masing-masing lapan kerusi dimenangi BN dan pembangkang.

Pilihan raya kecil Parlimen ialah bagi kerusi Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi manakala pilihan raya kecil Dun ialah di Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai, Permatang Pasir, Penanti, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

 
Jumlah pilihan raya kecil berkenaan antara yang terbanyak dalam sejarah pilihan raya negara selepas penggal 1995 hingga 1999 menyaksikan 17 pilihan raya kecil diadakan.

Selepas ucapan khas yang mengambil masa kira-kira 15 minit, Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersalam dengan anggota jemaah menteri yang mengenakan tali leher warna merah.

Sumber; Sinar Harian 


Speaker Dewan Rakyat terima proklamasi perisytiharan pembubaran Dewan Rakyat ke-12

 
 
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat mengesahkan telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Dewan Rakyat ke-12 yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata proklamasi itu diterima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menjelaskan perkara itu berdasarkan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.


"Dengan perisytiharan ini, maka tempoh Majlis Parlimen ke-12 adalah selama empat tahun 11 bulan. Tempoh ini merupakan antara yang terpanjang dalam sejarah Majlis Parlimen Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandikar Amin berkata urusan selanjutnya untuk melaksanakan pilihan raya umum kini terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pembubaran Dewan Rakyat diumumkan Najib di Putrajaya pada 11.30 pagi ini bagi memberi laluan kepada proses pilihan raya umum ke-13. - BERNAMA


Parlimen bubar: Negara ditadbir kerajaan sementara

KUALA LUMPUR - Selepas pembubaran Parlimen, Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri akan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara yang mentadbir urusan negara.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kerajaan kini diterajui oleh kerajaan sementara.

Kerajaan sementara bermaksud kerajaan sedia ada akan terus mentadbir negara dan semua menteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebelum ini.

Katanya amalan yang diterimapakai daripada sistem pentadbiran British itutelah diamalkan sejak merdeka lagi dan ia berjaya memberi kesan positif kepada negara.

"Kerajaan sedia ada akan terus berkhidmat. Kabinet masih mentadbir negara, yang tidak akan menjejaskan pentadbiran negara, dari segi ekonomi dan politik.
Semua menteri masih menjalankan tugas sebagai menteri," katanya kepada  Bernama.

Bagaimanapun, katanya, kuasa kerajaan sementara adalah terhad apabila ia hanya melibatkan tugasan harian sahaja tanpa melibatkan sebarang pembentukandasar atau  baru berikutan pembubaran Parlimen akan membabitkan pembubaran Dewan Rakyat.

"Fungsi untuk mentadbir negara masih sama, tetapi tidak sebagai ahli Dewan Rakyat apabila fungsi di dalam Parlimen tidak ada lagi, dan perundangan tidak boleh dibuat," katanya.
Wan Junaidi berkata Ketua Setiausaha Negara selaku ketua pelaksana dasarakan terus menjalankan tugas-tugas sebagai pegawai tertinggi perkhidmatan awam tanpa kuasa tambahan kerana demokrasi Parlimen hanya memberi kuasa tersebut kepada Badan Eksekutif sahaja.

Beliau berkata istilah kerajaan sementara tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ia merupakan kelaziman yang dilakukan di negara-negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen.
 
Sumber; Sinar Harian

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .