Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

KIST mula melangkah jauh

KIST mula melangkah jauh


Berjaya... Pelajar KIST Bachok bangga dengan pencapaian kolej mereka.


BACHOK 22 Ogos - Ia hanya bermula dengan tujuh pelajar, tetapi dalam tempoh tiga tahun, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini tidak lagi merangkak, malah mula melangkah jauh dan berada pada kedudukannya tersendiri dalam industri pendidikan di Pantai Timur.

Dengan menampung lebih 2,000 pelajar dari segenap pelosok negara pada satu-satu masa yang kini mengikuti 11 kursus pengajian di peringkat diploma, ia membuktikan keupayaan KIST yang meyakinkan mengenai apa yang mampu ditawarkan.



Ketika banyak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pelajar, KIST pula berdepan dengan masalah penampungan pelajar sehingga mendorongnya untuk membina kampus induk yang lebih besar.
Kampus induk terbarunya kini sedang dalam proses pembinaan di Kuala Berang Terengganu dengan kos dianggarkan RM37 juta dan bakal dilengkapi kemudahan terkini sejajar dengan usahanya menjadi sebuah kolej universiti dalam beberapa tahun akan datang.
Di bawah fasa pembangunan 2009-2015, ia menyasarkan pembukaan kampus cawangan dan pejabat pengambilan pelajar di kebanyakan negeri di samping pembukaan kolej sains kesihatan di beberapa negara di rantau ini.
Apabila mula mengambil alih pengurusan kolej pada 1 Ogos 2005 untuk diberi nafas baru, Presidennya, Muhammad Zamly Abdullah memberitahu, banyak pihak meragukan masa depan KIST kerana berpendapat, sektor pendidikan amat berisiko dan sukar mendapat pulangan daripada pelaburan yang besar.
''Memang banyak kesukaran terpaksa ditempoh kerana kami bermula dengan keyakinan dan dengan 'tangan kosong' tanpa mendapat sebarang pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan.
''Tidak banyak diberi harapan oleh pengendali kolej-kolej lain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Katanya, bagi memantapkan perjalanan KIST, ia turut merancang menubuhkan syarikat-syarikat bersekutu termasuk dalam operasi hartanah, perkilangan dan penyelenggaraan harta dan pada masa yang sama, meningkatkan peranan kemasyarakatan melalui Yayasan KIST.
Mengimbau kembali sejarah penubuhannya, kolej tersebut telah memulakan operasi awalnya di Tanjung Mas, Pangkalan Chepa pada tahun 1994 dengan menawarkan hanya kursus pengajian di peringkat diploma iaitu psikologi dan syariah.
Ia kemudiannya berpindah ke Kandis di sini di atas tapak seluas 9.2 hektar yang membawa kepada perubahan besar dalam yang masa singkat, sama ada dari segi infrastruktur, pembangunan sumber manusia dan program akademik.
KIST kini menawarkan lapan bidang pengajian peringkat diploma sains kesihatan iaitu pembantu perubatan (MA), kejururawatan, radiografi, sains senaman dan sukan, teknologi makmal perubatan, kesihatan persekitaran, pembantu farmasi dan keselamatan pekerja serta kesihatan pekerja.
Sementara itu, bagi tiga bidang pengurusan dan teknologi maklumat pula ialah psikologi, pengajian syariah dan sains komputer.
KIST dikatakan IPTS pertama di negara ini menyediakan kemudahan latihan x-ray dan radioterapi canggih bernilai kira-kira RM1.4 juta dan turut dilengkapi dengan sebuah gimnasium bernilai RM1.7 juta.
Lima kursus yang ditawarkan iaitu Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan, Diploma Syariah, Diploma Psikologi dan Diploma X-Ray telah mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada bulan lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif KIST, Mohd. Zaidi Yusof berkata, pihaknya amat mementingkan kualiti dan kurikulum pembelajaran mengikut standard yang ditetapkan oleh kerajaan.
''Bagi kelima-lima kursus ini, kita telah mendapat akreditasi sepenuhnya walaupun prosesnya sukar, manakala untuk kursus lain kita dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan hanya boleh dipohon selepas empat semester kursus itu berjalan,'' katanya.
Katanya, buat julung kali KIST mengadakan konvokesyen hari ini melibatkan 268 graduan sulungnya yang dianggap suatu lagi lakaran sejarah KIST dalam memacu masa depannya.
Konvokesyen tersebut adalah untuk graduan Diploma Kejururawatan, Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Diagnostik Radiografi, Diploma Psikologi dan Diploma Pengajian Syariah.
''Apa yang membanggakan, majoriti lulusan telah mendapat pekerjaan di hospital swasta yang menjalankan temu duga April lalu berdasarkan keputusan peperiksaan sepanjang semester mereka di KIST.
''Ini jelas menunjukkan kursus di KIST menyediakan peluang kerja yang tinggi dan kumpulan graduan perintis ini telah membuktikannya,'' kata beliau.
Beliau seterusnya memberitahu, pada Jun lalu, pelajar kejururawatan di KIST menduduki peperiksaan Lembaga Kejururawatan Malaysia untuk melayakkan mereka menjadi jururawat terlatih dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

''Begitu juga pembantu perubatan KIST, semua lulusan kolej ini lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Lembaga Pembantu Perubatan. KIST adalah IPTS pertama yang diberi kepercayaan bagi menawarkan program ini selain lima kolej pembantu perubatan kerajaan,'' katanya.

Sementara itu, Naib Presiden (Akademik, Penyelidikan Inovasi dan Pengantarabangsaan) Dr. Mohd. Azman Abdu Bakar menyimpulkan, sekiranya blue print yang disediakan dapat diterjemahkan sepenuhnya, KIST akan menjadi salah sebuah pusat pengajian sains kesihatan swasta terbesar di negara ini.
Katanya, kampus induk tersebut akan berpindah ke atas tapak seluas 43.2 hektar di Kuala Berang pada tahun depan dengan menempatkan pelbagai kemudahan untuk para pelajar.

Sumber; Utusan Melayu
ARKIB : 23/08/2008

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .