Muzium pelajaran iktiraf peranan guru
Kewujudan MPN ini bukan sahaja sebagai sebuah tempat pameran, malah ia boleh dimartabatkan sebagai pusat sumber rujukan keguruan kebangsaan di mana tersimpan hasil penyelidikan dan rekod berkaitan Guru Cemerlang bagi peringkat negeri, Guru Gemilang dan Guru Terbilang.
Muzium merujuk kepada bangunan tempat menyimpan khazanah sejarah lampau atau yang lalu. Muzium penting sebagai tempat kita merujuk sekiranya kita ingin mengetahui sejarah lampau. Dengan merujuk takrifan muzium itu, secara tidak langsung membantu kerajaan memupuk nilai patriotik dalam diri pelajar khususnya dalam bidang pendidikan apabila wujudnya MPN.
Bagi warga pendidik, MPN boleh dianggap sebagai suatu inspirasi untuk terus iltizam dalam mendidik anak bangsa apabila melihat sejarah atau dokumentasi guru cemerlang yang berjaya membantu negara melahirkan modal insan berkualiti dan berguna kepada negara. Warga pendidik juga boleh menjadikan MPN ini sebagai pusat percambahan ilmu dengan mengadakan aktiviti seminar, bengkel dan ceramah yang berkaitan dengan MPN pada peringkat dalam dan luar negara.
Dengan adanya MPN, masyarakat akan lebih mengenali dan memahami sistem pendidikan negara seterusnya menjadi pendorong kepada masyarakat untuk mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, masyarakat juga boleh menyumbangkan idea atau saranan kepada warga pendidik memperbaiki sistem pendidikan yang sebelum ini dilihat agak eksklusif .
Justeru, dengan kehadiran MPN ini diharap dapat menjadi satu daripada faktor utama penyumbang kejayaan pembinaan negara bangsa selaras hasrat Kementerian Pelajaran yang ingin melahirkan masyarakat Malaysia mengamalkan sikap bersatu padu, harmoni, dan cinta akan negara.
MOHD KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM,
Presiden Persatuan Mahasiswa Melaka,
Universiti Malaya.
Berita Harian Online: 1 Disember 2008
0 Comments:
Post a Comment