Gadis dikawal imaginasi
Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga kita mendapat manfaatnya
Metro,22.3.2009
SOALAN
SAYA gadis berusia 18 tahun. Masalah saya ialah sikap saya yang gemar bersendirian dan berimaginasi. Ketika berumur enam tahun, ibu bapa kerap bergaduh di depan saya. Sejak itu saya gemar bercakap dan ketawa seorang diri jika fikiran saya terlintas perkara lucu.
Masalahnya, sikap suka berimaginasi itu berlarutan hingga usia saya remaja. Pergaduhan ibu bapa yang paling teruk pernah saya lihat ketika usia saya 11 tahun.
Ayah mengamuk tidak tentu pasal dan dia menuduh ibu sembunyikan buku banknya. Ibu menafikan, tetapi ayah tidak puas hati.
Akibatnya, ayah mengangkat dan menghentak meja solek sehingga cermin meja itu lekang dan terkena tangan saya.
Darah mengalir keluar dari luka itu, tetapi rasa sakit dan pedih lebih terasa dalam hati saya.
Apatah lagi apabila melihat ayah memaki hamun ibu, menolak dahi ibu dengan jari telunjuknya dan menghamburkan perkataan ‘bodoh’ berulang kali. Saya takut dan geram dengan sikap ayah yang suka memarahi ibu.
Kadangkala ayah minta duit daripada ibu. Pernah sekali saya lihat dia ambil duit dari beg duit ibu. Satu lagi tabiat ayah ialah suka berhutang. Ibu yang bayar hutang dia.
Duit gaji selalu ayah gunakan untuk berjudi. Ayah juga tidak menunaikan solat fardu dan tidak pernah puasa penuh pada Ramadan.
Dang Setia, saya teringin mempunyai ayah yang rajin sembahyang dan baik. Saya cemburu melihat rakan lain kerana ayah mereka baik. Tempat paling aman bagi saya ialah masjid, surau, perpustakaan atau sekolah.
Ketika di sekolah rendah, saya pengawas perpustakaan yang aktif. Saya rapat dengan guru. Di sekolah menengah, saya juga aktif dalam pelbagai aktiviti, terutama berpersatuan. Bagi saya, dengan cara itu masalah di rumah dapat dilupakan seketika.
Guru ibarat ibu bapa kedua saya. Saya menjadi kuat kerana semangat diberikan guru. Kerana gurulah, saya lebih berkeyakinan.
Namun apabila pulang ke rumah, hati saya kembali serabut. Ibu dan ayah selalu bertengkar. Ayah membuatkan ibu menangis. Air mata ibu membuatkan jiwa saya turut sedih.
Saya mula berimaginasi seperti ada satu filem atau cerita di dalam kotak fikiran, seolah-olah saya pengarah filem.
Watak yang muncul dalam imaginasi saya reka sendiri. Kadangkala muka jiran turut ada dalam imaginasi saya. Memang pelik, tetapi itulah yang saya alami.
Jika bersedih, saya mula berimaginasi kerana cara itu dapat menenangkan saya. Kini, dunia imaginasi semakin sebati dalam hidup saya. Apabila berimaginasi, diri saya tenang sebab tidak perlu memikirkan masalah keluarga.
Malah ketika di sekolah, saya berimaginasi lebih kerap hinggakan tidak dengar apa yang dibualkan rakan.
Mereka mengatakan saya pekak, padahal saya dengar cuma fikiran saya dipenuhi imaginasi. Fikiran saya seperti sebuah layar, imaginasi pula cerita.
Saya bukan kaki wayang atau suka menonton cerita, tetapi imaginasi saya tercipta sejak kecil. Cerita imaginasi saya mengikut perasaan saya.
Jika saya sedih, situasi imaginasi saya cerita gembira. Apabila takut, saya berimaginasi cerita seram. Saya lebih seronok apabila diri saya ada dalam dunia imaginasi berbanding dunia nyata.
Sewaktu di tingkatan lima, guru meminta saya mengendalikan pementasan drama. Tugasan saya mendapat pujian dan guru kata saya boleh menjadi pengarah filem. Dalam penulisan pula, karangan saya selalu mendapat markah yang baik dan guru berkata saya boleh menjadi pengarang buku.
Saya juga minat melukis, malah ada koleksi cerita kartun yang saya lukis sendiri. Watak animasi itu semuanya hasil imaginasi saya. Masalahnya, kawan mula menjauhkan diri sebab saya gemar ketawa, menangis, termenung dan tersenyum seorang diri.
Saya cuba membuangkan imaginasi ini tetapi setiap kali saya berusaha membuangnya jauh-jauh, saya tidak tentu arah sehingga tidak beri reaksi apabila orang bercakap dengan saya.
Ketika kanak-kanak, imaginasi tidak memberi masalah kepada saya, tetapi apabila dewasa keadaan sebaliknya hingga ada kawan ingat saya ini tidak betul. Tolonglah saya, bagaimana saya hendak muncul dalam hidup realiti saya.
GADIS IMAGINASI
JAWAPAN
Terus terang, sepanjang hampir lima tahun Dang Setia mengendalikan ruangan ini, masalah adik antara yang pelik dan kali pertama seumpamanya sampai ke meja Dang Setia.
Banyak aspek perlu disentuh mengenai masalah adik kerana ia mengandungi gabungan pelbagai unsur, ada yang baik dan ada juga yang negatif.
Pertama sekali, pokok atau punca kepada segala masalah adik ialah kesan pergaduhan yang sering berlaku di antara ayah dan ibu.
Disebabkan ayah dan ibu selalu bergaduh di depan adik dan adik melihat bagaimana ibu menderita akibat pergaduhan itu, adik turut menderita atau menerima kesan negatif.
Dang Setia simpati kepada adik dan menyedari beban yang adik tanggung sangat berat dan masalah yang adik hadapi bukan mudah diselesaikan.
Nampaknya, jalan keluar atau cara yang adik pilih untuk menangani penderitaan adik ialah berimaginasi atau berkhayal. Di sini, wujud unsur negatif kerana di dalam Islam, berkhayal antara perbuatan yang dilarang.
Ini kerana, berkhayal boleh membuka pintu atau ruang kepada syaitan untuk mengganggu serta mempengaruhi pemikiran kita untuk hanyut dan seterusnya terjebak kepada tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun, dalam kes adik, keadaan nampaknya sedikit berbeza kerana pada peringkat permulaan, perbuatan berkhayal menghadirkan impak positif kepada adik.
Ini kerana, dengan berkhayal, adik mampu menjadi insan kreatif iaitu mampu mengarang skrip dan mengarah drama, menghasilkan tulisan kreatif serta melukis komik dengan watak ciptaan sendiri.
Ini sesungguhnya boleh disifatkan sebagai kejayaan atau kemampuan luar biasa kerana adik berjaya menyerap segala kesukaran, penderitaan dan tekanan sebelum mengalirkannya keluar melalui karya seni atau kreatif.
Jika situasi kekal begitu, syukur alhamdulillah dan tiada apa perlu dibimbangkan. Malangnya, keadaan tidak sedemikian.
Apabila amalan suka berkhayal berterusan untuk jangka masa lama, terbukti ia memberi kesan negatif kerana adik tidak mampu mengawal khayalan itu.
Sebagai contoh, dua kesan negatif itu ialah adik gagal bertindak balas secara normal apabila orang di sekeliling berkomunikasi dengan adik sehingga ada rakan menganggap adik pekak dan lebih menakutkan, adik sering ketawa, menangis, termenung dan tersenyum seorang diri hingga ada yang menganggap adik kurang siuman.
Lebih daripada itu, adik kini sampai ke tahap tidak boleh mengawal diri daripada tidak berkhayal, malah sebahagian besar masa adik lebih banyak dihabiskan dengan dunia khayalan berbanding dunia realiti.
Apabila sampai ke tahap itu, jelas adik kini perlu mendapatkan bantuan pakar psikologi dan mungkin juga pakar penyakit mental. Dang Setia harap adik tidak terkejut, kecewa dan salah faham dengan kenyataan ini.
Ini kerana, apabila disebut sakit mental, masyarakat di negara ini sering cenderung mengaitkannya dengan gila. Tanggapan itu salah sama sekali. Orang yang menghidap sakit mental bukan tidak waras atau gila.
Sakit mental ada banyak peringkat serta kategori dan sebahagian besar daripada peringkat atau kategori itu, ada rawatan serta ubatan bersesuaian untuk membolehkan si penghidapnya pulih atau sekurang-kurangnya mengawal masalah yang mereka hadapi.
Sebagai contoh, pakar sakit mental mampu memberi latihan atau bimbingan bagaimana cara paling berkesan yang perlu adik lakukan untuk mengelak berkhayal, malah mereka ada ubat untuk adik makan bagi mengawal serta menenangkan fikiran apabila tertekan.
Dengan memahami kenyataan ini, Dang Setia berharap adik segera mendapat rawatan.
Jangan takut atau malu kerana semakin lewat menerima rawatan sesuai, masalah adik menjadi bertambah sukar.
Sebaliknya, jika adik mendapat rawatan di peringkat awal, insya-Allah peluang mengatasi masalah dihadapi sangat cerah.
Selain itu, wajib juga Dang Setia nyatakan di sini usaha atau ikhtiar adik untuk keluar daripada belenggu masalah tidak akan sempurna jika adik sekadar berjumpa doktor dan makan ubat.
Sebaliknya ia perlu disusuli dengan satu lagi amalan iaitu bersolat dan berdoa kepada Allah SWT.
Jangan sekali-kali lupa, apabila kita berdepan apa juga masalah, biar sehebat atau sebesar mana sekali pun, segera kembali kepada Allah.
Orang seperti Dang Setia, pakar kaunseling, pakar psikologi dan doktor sakit mental, semuanya sebahagian usaha, namun penawar atau ubat paling mujarab hanya ada pada Allah.
Jadi, wajib kepada Dia untuk kita merayu, berdoa dan memohon pertolongan.
Dang Setia percaya adik faham hakikat ini. Apabila adik mengatakan surau dan masjid adalah lokasi yang adik paling suka kunjungi kerana ia memberi ketenangan, itu menandakan adik berusaha mendekatkan diri dengan Allah serta memperoleh kenikmatannya.
Akhir sekali, tingkatkan amalan itu dan sempurnakan usaha atau tawakal adik dengan bertemu pakar perubatan supaya masalah adik dapat diatasi secepat mungkin, insya-Allah.
ulasan saya;
Saya tertarik dengan kes kaunseling ini. Impian seorang anak, tekanan keluarga yang dihadapinya,baiti jannati tiada. namun syukur Alhamdulillah remaja ini seorang yang kuat semangat dan bercita-cita tinggi. Klien ini rajin ke sekolah dan menjadikan sekolahku syurgaku. Klien mengalihkan permasalahannya kepada aktiviti berfaedah.
Semoga menjadi panduan besama dan semoga adik ini dapat dibantu. Sabar itu Iman,dik.
0 Comments:
Post a Comment