Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Pelajar minat jadi peguam keliru subjek perlu diambil

Pelajar minat jadi peguam keliru subjek perlu diambil

Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot  sebagai rujukan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan kaunseling remaja bersama Dr Sapora Sipon.Semoga mendapat manfaatnya.

 SAYA adalah pelajar tingkatan enam dan musykil dengan subjek yang kini dipelajari. Saya kini mengambil subjek ekonomi asas, Bahasa Melayu dan pengajian perniagaan.Masalahnya, saya tidak pasti apakah bidang yang boleh saya ceburi berdasarkan subjek ini.

Saya berminat menjadi peguam, jadi perlukan saya mengambil subjek tambahan iaitu sejarah?






Di samping itu, saya juga berminat menjadi calon luar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Justeru Bagaimanakah caranya mendaftar menjadi calon luar dan adakah saya masih berpeluang untuk memasuki universiti?

Saya sangat serabut dengan keadaan ini. Bantulah saya untuk memilih yang terbaik Dr.

Remaja runsing

Kota Tinggi, Johor


MENGETAHUI bidang kerjaya ditawarkan dan kepentingan subjek yang diambil sangat perlu bagi pelajar dalam merancang kerjaya masa depan.

Justeru, bagi pelajar sekolah, cara terbaik untuk mengetahuinya adalah merujuk kepada pegawai bimbingan dan kaunseling kerana memberikan maklumat mengenai sesuatu kerjaya serta syarat kemasukan ke universiti adalah antara bidang tugas mereka.

Selain berjumpa dengan pegawai bimbingan dan kaunseling di sekolah, adik juga boleh melayari laman webhttp://upu.mohe.gov.my/ iaitu laman web rasmi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mendapatkan maklumat berkaitan syarat kemasukan ke universiti.

Melalui laman web itu, adik boleh tahu syarat am dan syarat khas kemasukan ke sesuatu program pengajian yang ditawarkan di mana-mana IPTA.

Bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), semua maklumat berkaitan syaratnya boleh diperoleh di dalam laman web masing-masing.

Dr ucapkan tahniah kerana adik berminat menjadi peguam. Peluang adik untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, seterusnya berjaya menjadi peguam terbuka luas andai memenuhi syarat am dan syarat khas universiti yang menawarkan program pengajian terbabit.

Berdasarkan laman web http://upu.mohe.gov.my, Dr ambil satu contoh syarat kemasukan program lepasan STPM ke Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Syarat am universiti ialah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/setaraf dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia atau kepujian Bahasa Melayu/ Bahasa Malaysia kertas Julai.

Bagi calon Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mereka perlu lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan sekurang-kurangnya: Gred C (NGMP 2.00) Pengajian Am dan Gred C (NGMP 2.00) dalam dua mata pelajaran lain serta mendapat sekurang-kurangnya Tahap satu (Band 1) dalam Malaysian University English Test (MUET).

Untuk memohon masuk ke Fakulti Undang-Undang UKM, calon juga perlu memenuhi syarat am universiti dan syarat khas program iaitu mendapat sekurang-kurangnya Gred B (NGMP 3.00) pada peringkat STPM dalam mana-mana tiga mata pelajaran antaranya Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Perakaunan, Computing, Matematik, Usuluddin, Syariah, Bahasa Melayu/ Bahasa Arab, Sejarah, Geografi, Kesusasteraan Melayu Literature in English dan mendapat sekurang-kurangnya Tahap empat (Band 4) dalam MUET dan mendapat sekurang-kurangnya enam C pada peringkat SPM dalam mata pelajaran berikut: Matematik/Matematik Tambahan. Calon-calon akan mengikuti kursus sivil dan syariah dalam program ini.

Sementara itu, berkaitan hasrat adik untuk menjadi calon luar STPM, Dr nasihatkan adik berjumpa dengan pegawai bimbingan dan kaunseling sekolah atau guru yang bertanggungjawab menjaga hal-ehwal peperiksaan untuk mengetahui lebih mengenai perkara ini.

Adik juga boleh pergi ke Pejabat Pelajaran Sekolah yang berhampiran untuk mendapat maklumat pasti mengenai cara untuk menjadi calon luar STPM.

Dr doakan kejayaan adik dalam pelajaran. Semoga cita-cita adik menjadi peguam jadi kenyataan.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .