Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Rimas Jodoh Lewat

Rimas jodoh lewat 

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel perkongsian kaunseling ini dipetik daripada akhbar Berita Harian pada Ogos 2009 yang lalu, ruangan Bersama Dr Rubiah K Hamzah.

Kita ikuti pandangan Dr Rubiah dalam membantu klien beliau: 

Rimas jodoh lewat

Wanita pendiam bahan sindiran ramai hanya kerana belum kahwin

SOALAN

Saya sememangnya seorang yang amat susah untuk meluahkan segala masalah atau isi hati kepada sesiapa pun sehinggakan ada yang menuduh saya ego. Apapun masalah yang saya hadapi, saya hanya mampu menangis sendirian (ini akan melegakan saya) dan berdoa ketika bersolat.


Namun setiap kali membaca tulisan Puan, saya seperti berbicara dengan seorang ibu atau seorang yang cukup jujur. Inilah kali pertama saya bercerita dengan orang luar. Sebenarnya saya penat, letih, kecewa dipersendakan oleh orang sekeliling lantaran sikap pendiam saya yang dituduh punca belum bertemu jodoh

Mereka mungkin menganggap saya pelik kerana belum berkahwin biarpun sudah berusia 30-an, memegang jawatan yang agak baik dan pendapatan pula memuaskan.

Saya keseorangan, tak pandai bercakap dan tak pandai mengerling sana sini menyebabkan saya terpaksa menjadi sasaran sindiran dan bahan gurauan, khususnya yang membabitkan soal jodoh


Di depan mereka saya hanya mampu tersenyum tetapi di dalam hati ini, hanya Tuhan saja yang tahu betapa malunya. Saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan supaya diberi kekuatan dan segera dipertemukan jodoh yang baik

Andai kata tiada jodoh untuk saya di dunia, saya reda menerimanya tetapi berilah saya sedikit nasihat supaya saya dapat terus bertahan dengan ‘gurauan’ sekeliling. Sesungguhnya saya sentiasa bersabar tetapi kadangkala terbabas juga tembok kesabaran saya.

Rina



JAWAPAN kepada Rimas jodoh lewat

Rina yang sedang meratah rasa malu pada ejekan. Membaca luahan hati anda, Umi terbayang betapa pendiamnya anda dan betapa berat dan saratnya simpanan perasaan yang tersembunyi dalam peti perasaan anda berhubung masalah ini. 


Syukur dan mujurlah anda sudah mahu dan cuba berubah hingga membuahkan kejayaan hasilnya biarpun bagi Umi, masalah ini tidak harus bertakhta terus dalam diri anda.

Apa yang selama ini anda alami ialah ketidakmampuan untuk membina hubungan baik dengan orang di keliling anda disebabkan bakat dan kemahiran itu tidak dicungkil sedari awal pendidikan baik di rumah iaitu dalam keluarga dan tidak juga disuburkan di sekolah hinggalah ke tempat kerja.  


Bakat dan keupayaan dalam bercakap, bergurau dan berinteraksi dengan orang di sekeliling adalah modal terpenting bagi kejayaan hidup. Malah ladang paling berharga yang perlu dimiliki oleh orang yang berjaya ialah berkomunikasi.

Kemahiran ini amat penting bagi semua tetapi peluang bakat tidak dicungkil menjadi keterampilan, tidak ada bagi anda. Maka terbawa-bawalah sikap pendiam itu hinggalah sekarang. Berdasarkan kelemahan yang anda ada, janganlah berlengah lagi untuk mencari buku panduan berkomunikasi yang banyak di pasaran. 



Langkah seterusnya, carilah mentor yang mudah anda jiwai dan selami penampilannya atas dasar dia dekat dengan hidup anda. 

Berikutnya dan paling penting, jangan bimbang dengan cacian orang lain. Daripada bersedih lebih baik jadikan ia sebagai lagu merdu yang melalui telinga anda dan ucapkan terima kasih pada yang menegur.

Ini kerana anda tidak wajar bersedih atas sesuatu yang anda sendiri tidak mampu menahan kerana di luar kawalan anda. 


Sedarlah bahawa kebahagiaan anda akan semakin bertambah, berkembang dan berakar sekiranya mampu mengabaikan perkara yang remeh temeh dan tidak berfaedah itu.

Ini kerana orang yang bercita-cita tinggi tidak akan bersedih atas hal-hal dunia yang tidak dapat dicapainya kerana dia lebih mengutamakan akhirat yang jauh lebih berharga. 


 Ini seperti mana nasihat ulama “bawalah cita-citamu itu ke satu arah saja iaitu bertemu dengan Allah SWT , bahagia di akhirat dan damai disisi-Nya.

Sikap ini akan dapat dibina sekiranya anda mampu menjadi orang yang dipesan Allah dalam QS Ali-Imran:134: 


“Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang.” 

Ia turut dijelaskan juga dalam QS Al-A’raf : 199 yang berpesan “Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang bodoh.”

Selain itu cuba renungkan betapa banyaknya nikmat dan kurniaan Allah SWT yang ada pada anda. Lebih baik bersyukur kepada-Nya atas semua itu dan sedarilah bahawa anda benar-benar sudah disaluti dengan semua nikmat di sepanjang kehidupan anda. 


Oleh itu sedarlah bahawa Allah SWT sudah menyempurnakan untukmu nikmat-Nya, baik zahir dan batin (QS Luqman :20).

Jika anda meyakini janji Allah SWT ini, pasti anda tidak akan berduka cita dengan apa saja yang anda lalui dalam hidup ini.  


Oleh itu terus membangunkan diri dengan kemahiran, menghadiri kursus mengurus diri yang betul dan latihlah diri untuk menghargai diri sendiri sebelum menghargai orang lain. 

Hakikatnya, ada banyak nikmat yang kini terus mengalir baik nikmat kehidupan, nikmat kesihatan, nikmat pendengaran, nikmat penglihatan, nikmat tangan dan kaki, nikmat air dan udara, nikmat makanan dan yang paling berharga adalah nikmat hidayah Rabbaniah iaitu agama Islam. 

Orang Islam tidak layak berduka cita kerana Allah SWT sangat dekat dengannya lebih dekat dari urat lehernya sendiri...teruslah mengharung hidup yang pendek ini dengan penuh kesyukuran.


0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .