Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Halatuju selepas PMR

Halatuju Selepas PMR (bahagian 1)




Myraudhatulukhuwah memerhatikan pelbagai reaksi pelajar yang mengambil keputusan peperiksaan PMR.

Suatu hal yang sering menjadi dilema ialah,

"Ke Mana Saya Selpas PMR, Cikgu?'

"Keputusan PMR saya7A 1B, adakah sekolah kita tawarkan aliran Sains cikgu?"

"PMR saya just cukup makan je cikgu. Saya nak jadi mekanik. Boleh ke saya teruskan belajar di sekolah ini? atau saya terus ke Giat Mara?"

Saya tidak pasti. Saya cuma beranggapan ramai pelajar lepasan PMR  yang masih dalam dilema untuk menetukan ke mana hala tuju mereka selepas PMR. Tanggapan awal myraudhatulukhuwah ini berdasarkan pengalaman dalam bidang pendidikan.

Mahu memilih aliran sains atau sastera? Teknik, MPV (Mata Pelajaran Vokasional di sekolah harian biasa) atau Vokasional di Sekolah Menengah Vokasional?  Atau perdagangan? Atau teruskan berada di aliran agama tulen tanpa mengambil Biologi dan Kimia bagi pelajar aliran agama penuh?

Belum lagi bab mata pelajaran yang hendak diambil. Hendak ambil mata pelajaran apa? Matematik tambahan? Biologi? Lukisan Kejuruteraan? Prinsip Akaun? Perdagangan?


Percayakah pelajar bahawa pemilihan tersebut akan banyak memberikan kesan kepada jalan-jalan yang akan mereka tempuh untuk mencapai cita-cita mereka?


Keputusan peperiksaan PMR  adalah penting untuk  menjadi kayu ukur bidang apakah yang akan pelajar ambil semasa dalam Tingkatan 4. Aliran dan mata pelajaran yang pelajar ambil semasa di Tingkatan 4 akan menentukan bidang kerjaya pelajar akan datang.

Misalnya, jika pelajar itu ingin menjadi doktor, mestilah ada kelulusan yang baikd alam mata pelajaran Biologi. Jika ingin menjadi jurutera, salah satu mata pelajaran yang perlu diambil ialah Lukisan Kejuruteraan selain Fizik.

Jika ingin menjadi kadhi atau mufti, pelajar itu pula mestilah mempunyai kelulusan yang baik dalam aliran agama. Oleh itu, selepas PMR, pelajar itu mesti mengambil mata pelajaran yang bersesuaian dengan cita-citanya,  seperti Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan Al Quran dan As Sunnah.

Bagi pelajar lepasan PMR yang ingin mengambil aliran agama, pelajar berkenaan mestilah mempunyai asas dalam Bahasa Arab peringkat PMR. Selain kesinambungan mata pelajaran yang telah diambil semasa Tingkatan 1 lagi (iaitu aliran agama diambil sejak Tingkatan 1).

Setiap pelajar ada menyimpan hasrat dan cita-cita dan impian masing-masing. Mahu jadi apa 7 atau  8 tahun akan datang.

Menjadi seorang doktor perubatan atau jurutera, atau akauntan, ahli farmasi, arkitek, peguam, guru, jururawat, kerani dan sebagainya.

Untuk memahami tentang minat kerjaya dan mengenali personaliti anda, eloklah anda melakukan Ujian Personaliti Sidek Noah (Iventori Minat kerjaya, dan Iventori Personaliti Sidek).

Jika anda masih keliru dengan iventori ini, sila bertemu secara bersemuka dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling anda di sekolah. Ingat, usah malu berjumpa guru. Jadikan guru sebagai mentor anda dan teman.

Sekian

Di sini myraudhatulukhuwah sertakan artikel yang dipetik dari Utusan malaysia, Disember 2009 sebagai rujukan tambahan. Sumber, klik sini.

Hala Tuju Selepas PMR
Oleh Suliati Asri

ADA yang menangis gembira, ada yang sedih, meraung atau sekadar berdiam diri di sudut sunyi selepas menerima keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Khamis lalu. Mereka yang lulus cemerlang pasti sudah mencongak sekolah asrama penuh atau tingkatan empat aliran sains, sastera dan perdagangan.

Bagi yang gagal, adakah perlu mengulang semula atau mencari peluang lain yang berbentuk kemahiran atau teknikal? Ke arah mana hala tuju mereka selepas ini? Ketika inilah kebijaksanaan memilih penting kerana jika tersilap, ia akan memberi kesan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malah peluang ke menara gading.

Jika minat untuk belajar masih membara, teruskan perjuangan ke tingkatan empat atau sekolah asrama penuh. Namun, jika semangat belajar tinggal nyawa-nyawa ikan, lebih baik memilih bidang lain yang ada kaitan dengan kemahiran atau teknikal.

Penolong Pengarah Unit Kaunseling, Sektor Kaunseling dan Disiplin, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan, berkata ketika ini pelajar tiada masalah menentukan aliran atau sekolah yang diinginkan untuk meneruskan pembelajaran di tingkatan empat. Beliau berkata, semua pelajar tahu untuk memilih kesesuaian aliran berdasarkan kecenderungan diri atau minat kerana kementerian sudah memberi panduan kepada mereka selepas selesai menempuhi peperiksaan PMR.

"Selepas peperiksaan PMR, pelajar digalakkan mengikuti kursus untuk mengetahui kecenderungan mereka sama ada akademik atau kemahiran.

"Selepas mendapat keputusan PMR, pelajar sudah tahu hala tuju mereka, tetapi sebarang pemilihan perlu mengambil kira keputusan yang diperoleh," katanya.

Kata Raja Mazlan, kebanyakan masyarakat berpendapat bahawa minat adalah sangat penting dalam membuat keputusan kerana jika berminat, pelajar mampu melakukan yang terbaik.

"Itu benar. Jika pelajar terbabit cenderung kepada kemahiran, dia sepatutnya mengambil bidang itu. Namun, ia juga bergantung kepada keputusan peperiksaan. Ini kerana untuk meneruskan pelajaran di sekolah teknik, ada subjek yang disyaratkan untuk lulus cemerlang, antaranya Kimia dan Fizik. Jika memenuhi syarat terbabit, peluang itu terbuka luas. Tapi jika sebaliknya, mereka perlu akur dan mengambil pilihan lain," katanya.

Apa yang penting, katanya, pelajar perlu berjumpa dan berbincang dengan guru kaunseling bagi mengelak membuat pilihan salah.

Mengulas mengenai keengganan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang mengambil aliran sains atau mana-mana aliran yang dipilih pihak sekolah berdasarkan keputusan mereka, menurut Raja Mazlan, pelajar boleh membuat pertukaran, tetapi mengikut kekosongan yang ada."Perkara ini memang banyak berlaku terutama pelajar Melayu yang takut mengambil aliran sains walaupun memperoleh keputusan cemerlang.

"Jika tiada kekosongan dan pelajar tetap enggan ke aliran sains, mereka perlu memohon bertukar ke sekolah lain yang menawarkan aliran sastera atau perdagangan," katanya.

Untuk mewujudkan kelas mengikut aliran yang dikehendaki, minimum dalam satu kelas itu adalah 15 pelajar.Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan jarang berlaku kerana sebaik saja pelajar memulakan sesi persekolahan, mereka sekali lagi perlu mengikuti sesi orentasi khas.

"Sepanjang orentasi ini, pelajar akan diperkenalkan dengan semua subjek dan aliran satu persatu supaya mereka boleh memilih mengikut kesesuaian, keputusan dan minat. Pihak sekolah akan menentukan kelas yang bersesuaian mengikut keputusan mereka. Tetapi mereka masih boleh memilih apa yang mereka mahu," katanya

Apabila pelajar sudah faham dengan semua subjek yang ada, mereka sekali lagi mengikuti sesi orentasi sebelum membuat keputusan.Ia dilakukan supaya mereka benar-benar faham dengan aliran yang bakal mereka ambil dan hala tuju masa depan.

"Justeru, dilema menentukan aliran atau sekolah untuk meneruskan pembelajaran di tingkatan empat, sepatutnya tidak berlaku," katanya.

Menurutnya, dalam menentukan hala tuju pelajar, Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi program Jom Masuk U untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar terutama tingkatan empat hala tuju selepas peperiksaan SPM.

"Mereka digalakkan mengunjungi pameran pendidikan yang diadakan. Ini membolehkan mereka merancang hala tuju dan pengkhususan yang sesuai dengan aliran yang mereka ambil," katanya

Mengenai keputusan PMR yang diumumkan Khamis lalu, beliau berkata bagi pelajar yang cemerlang, ini adalah permulaan ke arah masa depan lebih gemilang, tetapi jangan terlalu gembira kerana halangan seterusnya ialah SPM.

Sementara itu, keputusan PMR 2009 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimudin Mohd Dom, meningkat apabila seramai 28,188 pelajar memperoleh A bagi semua mata pelajaran berbanding 26, 378 tahun lalu.

Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya. Manakala jumlah calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008.Pada tahun ini, 87,936 pelajar melepasi tahap minimum A,B,C,D berbanding 88,565 tahun sebelumnya dan pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lepas.Untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat semua A. Pelajar istimewa, Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah, yang rabun, berjaya memperoleh 9A.

35 Comentarios