Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Bantu kanak-kanak mengatasi kesedihan

Bantu kanak-kanak mengatasi kesedihan

 

 


SORAYA tidak bercakap banyak ketika ibunya meninggal dunia. Dia merenung jasad ibunya sambil membisu, memegang tangan kaku dan dingin yang suatu ketika dahulu pernah bermain dengannya dan menyuapkannya.
Ketika perkabungan, saudara-mara dan ramai orang yang tidak dikenali datang memeluknya. Disebabkan tiada balasan daripadanya, ramai yang menyangka dia bisu.
Hanya ketika jenazah ibunya diturunkan ke liang lahad dan tanah serta bunga ditaburkan, barulah ada sedikit tanda bahawa seorang anak yang dikenali sebagai Soraya hadir di segi semangat.
Air yang tergenang di matanya mengalir turun ketika tiba masa untuk melangkah pergi, tetapi hanya itulah sahaja yang dapat dilihat. Akhirnya dia membisu kembali seperti sebelumnya.
Dalam minggu-minggu selepas pemergian ibunya, guru sekolah rendah, Soraya semakin khuatir mengenai tingkah lakunya.
Gadis kecil yang dahulunya petah mengajukan pelbagai soalan dan sentiasa berbual dengan kawan-kawan kini tidak menunjukkan emosi.
Memang benar, dia tetap menyelesaikan kerja rumah dan menyerahkan tugasan mengikut masa, namun semua itu dibuat bagaikan mesin yang tiada perasaan.
Dia tidak bermain atau berinteraksi dengan kawan-kawan, hanya duduk menyendiri di satu sudut ketika waktu rehat sambil merenung kosong pada bukunya.
Keadaan di rumah kurang baik kerana banyak perkara yang bapanya terpaksa lakukan di tempat kerja di samping menguruskan barangan milik Allahyarham ibunya. Tambahan lagi, bapanya bercadang hendak mengahwini isteri baru.
Berhadapan kematian mana-mana makhluk hidup bukan satu tugas yang senang, tidak kira sama ada ia adalah kematian ibu atau bapa, saudara, adik-beradik atau haiwan kesayangan. Dalam semua kes, kanak-kanak merasai kesan emosi dan kesedihan.
Ramai orang dewasa berasa sedih ketika berhadapan dengan anak yang kesedihan kerana orang dewasa itu sendiri tidak mampu menangani kematian, dia resah ketika terpaksa menghadapi anak itu.
Kesedihan adalah bahagian biasa dalam mengatasi kehilangan yang tersayang.
Ia adalah sebahagian daripada proses penyembuhan supaya menerima sesuatu kehilangan, dan sebahagian daripada proses yang diambil oleh seseorang untuk kembali pada rutin sebelum ini.
Bagaimanapun, ketika ada banyak isu yang belum selesai atau tidak dikenali, kesedihan boleh menjadi bermasalah. Selepas beberapa bulan, sesetengah gejala fizikal mungkin termasuk perubahan selera, gangguan tidur dan sakit.
Gejala emosi pula terdiri daripada hilang tenaga, tidak boleh menumpukan perhatian, lebih suka menyendiri, naik angin yang tidak dapat dijangka (iaitu marah, menangis), mimpi dan ulang kembali mengenai si mati, sukar membuat keputusan, kesedihan yang mendalam termasuk ingin mati supaya boleh bersama-sama dengan si mati.
Bila kesedihan menjadi bermasalah, anak yang kesedihan itu memerlukan bantuan seorang pakar kesihatan mental yang profesional.
Bagaimana seseorang anak menangani kesedihan bergantung pada beberapa perkara. Ini termasuk cara mereka belajar mengatasi ketegangan dalam hidup mereka sebelum kejadian sedih itu.
Kualiti perhubungan mereka dengan si mati adalah penting. Umumnya, lebih rapat mereka dengan si mati, lebih besar impak kehilangannya.
Keadaan di mana yang tersayang itu mati juga penting. Bila seseorang itu sakit untuk beberapa waktu, ada banyak masa untuk mengucapkan “selamat jalan”, manakala jika kematian itu adalah mendadak ia mengejutkan setiap orang.
Dalam banyak kes, kepercayaan agama dan adat etnik membuat anak-anak itu tahu cara bersedih yang sesuai. Mereka melakukan ini dengan memerhatikan bagaimana ahli keluarga mereka bersedih.
Akhir sekali, sokongan emosi yang anak itu terima daripada keluarga terdekat dan keluarga jauh serta rakan-rakan memainkan peranan dalam menentukan berapa lama anak itu akan bersedih.
Dalam proses kesedihan, ada beberapa perkara yang penjaga boleh lakukan untuk membantu anak mereka mengatasinya dalam cara yang lebih terapeutik.
* Galakkan supaya meluahkan emosi yang mendalam di persekitaran yang selamat
Memang membantu untuk membenar dan menggalakkan anak itu meluahkan emosinya.
Tanyakan dengan lembut mengenai perasaannya, dan nyatakan bahawa tidak mengapa jika dia berasa sedih dan menangis. Jangan ubah pertanyaan itu menjadi satu soal siasat.
Berikan sokongan yang diperlukan menerusi tindakan mendengar yang tiada sebarang anggapan.
Ketika menggalakkan anak itu meluahkan emosinya, ada baiknya jika diluangkan masa untuk mendengar dengan penuh perhatian dalam cara yang tiada sebarang anggapan.
Jangan cuba memberikan nasihat, atau memberitahu anak itu bagaimana dia patut merasanya. Hanya mendengar dan menerima bahawa itulah cara yang anak itu rasai.
* Galakkan anak mengingati kembali peristiwa
Dalam masa meluahkan emosi, galakkan anak itu mengingati kembali masa-masa gembira yang dialami bersama si mati. Anak itu akan ceria sebentar ketika mengenang kembali peristiwa-peristiwa ini.
Kenangan yang positif adalah penting kerana kanak-kanak perlu mampu menyimpan bahagian yang penting mengenai si mati yang disayanginya.
Kenangan positif menunjukkan bahawa setiap kehidupan mempunyai bahagian yang positif dan kenangan ini adalah warisan si mati yang perlu disimpan dan dihargai.
* Akui kekesalan dan perasaan
Sering kali, anak itu mungkin berasa kesal kerana telah bersikap nakal dan membuatkan si mati sakit serta lemah hingga menyebabkan kematiannya.
Akui bahawa anak itu mungkin ada kekesalan ini tetapi yakinkan bahawa bukan dia yang menyebabkan kematian si mati.
Cuba bersikap konstruktif dan tumpukan perhatian ke atas sesuatu yang positif seperti apa yang si mati mahu anak itu lakukan.
* Galakkan anak yang lebih tua supaya menyimpan diari atau melukis pada setiap hari
Sesetengah anak yang lebih tua mendapati bahawa meluahkan perasaan dan emosi mereka menerusi penulisan dan melukis gambar adalah terapeutik.
Ada baiknya untuk membeli sebuah buku latihan, di mana anak boleh melekatkan gambar si mati dan menulis diari atau surat pada si mati pada setiap hari.
Dalam kes lain, kertas lukisan boleh dibeli dan anak itu digalakkan supaya melukiskan perasaan mereka.
Ketika melakukan demikian, dia memindahkan emosi yang dinamakan kesedihan menjadi satu latihan konstruktif yang mampu memulihkan emosi dan perasaannya.
* Membenarkan anak mengucapkan “selamat jalan”
Mengucapkan “selamat jalan” adalah bahagian paling penting dalam menangani kesedihan. Ia membenarkan anak memutuskan perapatan emosi dengan si mati dan bergerak maju ke hadapan.
Kadangkala, masa perkabungan bukan waktu terbaik untuk seseorang anak mengucapkan “selamat jalan”.
Sesetengah kanak-kanak boleh menulis surat, dan mengeposkannya. Yang lain pergi ke tempat upacara agama dan menyalakan lilin.
Malah ada pula yang lebih suka mengunjungi dan membersihkan kubur sebelum mengucapkan selamat jalan. Umumnya, tiada satu kaedah yang betul atau salah untuk mengucapkan “selamat jalan”. 

Setiap cara membawa erti khusus yang tersendiri bagi anak yang sedang kesedihan itu. Dengan membantu seseorang anak mengucapkan selamat jalan secara peribadi, ibu atau bapa itu menggerakkan anaknya dengan lembut ke arah peringkat kedewasaan yang seterusnya. 

Sumber; Utusan Online, 23/4/ 2006

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .