Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Ambil Iktibar Penderitaan Umi Azlim

Ambil iktibar penderitaan Umi Azlim

Assalamu'alaikum w.b.t kepada pelayar muslim teratak ini & Selamat Sejahtera kepada semua pelayar teratak Dunia Cikgu Kaunseling ini. 

Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan blog ini. Ia diambil dari Harian Metro,19 November 2010 .Semoga kita mendapat manfaatnya

Gadis ini mengejutkan negara kerana berita penangkapannya dan didapati bersalah serta dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou.

Bagaimanapun, lulusan Ijazah Sains Biologi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman itu yang kini ditukar kepada penjara seumur hidup. Umi Azlim yang baharu empat bulan menamatkan pengajiannya ketika itu bagai membuka mata rakyat Malaysia mengenai kemelut penipuan ini.


Apa yang menimpa dirinya wajar dijadikan iktibar kepada kita semua, tidak kira sebagai seorang individu, anak ataupun ibu bapa. Simpati dan doa kepadanya dan juga insan lain yang teraniaya agar mendapat pengampunan dan pembebasan.

Sejak terpenjara, banyak perkara yang berlaku pada keluarga Umi Azlim di dunia luar. Sebagai anak sulung, tiga tahun berlalu, adik-adiknya semakin dewasa dan ujian seterusnya mendatang lagi apabila ibunya meninggal dunia.

Umi Azlim mungkin sama sahaja dengan gadis lain yang menamatkan pelajaran di universiti, mahu segera bekerja dan kemudian membantu keluarga di kampung. Niatnya murni namun langkahnya kecundang hanya kerana dia bersangka baik.

Konsul Muda di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, Mohd Amran Md Ali, yang pada 28 September lalu membuat lawatan terhadap tahanan Malaysia di Guangzhou turut sempat melawat Umi Azlim, 26. "Sepanjang sesi lawatan terbabit saya diberi kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa di sana. Sesi temubual pun berlangsung dengan suasana yang cukup mesra.

"Ini bertujuan untuk memberi semangat, dorongan dan sokongan moral kepada Umi Azlim dan tahanan lain supaya tabah menjalani hukuman di sini," katanya.

Menurut Amran, Umi Azlim dan tahanan lain memaklumkan pihak berkuasa negara China memberi layanan yang baik terhadap mereka dan tahanan asing yang berada di sana.

"Tahun ini adalah tahun ketiga Umi Azlim menyambut hari raya di sini dan perasaan sedih tetap dirasai dirinya sebagaimana tahun pertama. Namun, saya melihat Umi tabah melalui dugaan itu dan dia sempat memberikan pesanan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Pesanannya kepada rakyat Malaysia terutama remaja dan gadis muda supaya berhati-hati dengan orang asing terutama dari Afrika, jangan mudah terpedaya dengan kata manis dan pujukan mereka.

"Dia juga menasihati remaja lain supaya sentiasa mempunyai iman yang kuat kerana iman yang kuat dapat membantu kita daripada terjebak dengan gejala sosial yang tidak mendatangkan faedah terhadap diri sendiri," katanya.

Kata Amran, daripada cerita Umi, dia sekarang diberi tugas oleh pihak berkuasa tempatan untuk kerja pemasangan komponen lampu suluh. Di samping itu anak kelahiran Kelantan itu tekun mempelajari bahasa Mandarin dan mengajar tahanan yang lain bahasa Inggeris.

Melalui Amran, Umi Azlim menyampaikan salam rindu pada ahli keluarganya di kampung terutama kepada ayahnya. Dia berharap ayahnya tidak risau keadaannya di situ.

"Daripada tinjauan saya dan apa yang dimaklumkan oleh Umi, dia berkawan baik dengan tahanan lain dari Malaysia dan sering bersama dalam apa jua keadaan," katanya.

 Bapa Umi Azlim, Mohd Lazim Jusoh, 53, tidak mahu apa yang menimpa anaknya terjadi kepada orang lain kerana dia sendiri sudah melalui penderitaan kerana terpaksa berpisah dengan anak sulung kesayangannya. "Sekarang pun kita baca di akhbar, masih ada yang menjadi mangsa penipuan orang tidak bertanggungjawab," katanya.

Kali terakhir Mohd Lazim bercakap dengan Umi di telefon ialah sekitar Januari tahun ini dan selalunya Umi yang menghubunginya.

"Kami dapat bercakap sekitar lima minit," tambahnya lagi dalam perbualan dengan Harian Metro melalui telefon. Menurutnya, saban hari Umi Azlim tidak lekang daripada fikirannya, tetapi dia harus bersabar menghadapi ujian Allah ini.

"Kami sudah pun merayu untuk mendapatkan pengurangan jumlah hukuman kepada Umi dan saya berharap mendapat ihsan daripada kerajaan China," katanya yang juga menasihati remaja supaya sentiasa berhati-hati walaupun dengan kawan baik sendiri. Jadikan kejadian yang berlaku sebagai iktibar supaya diri tidak menjadi mangsa seterusnya

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .