Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Buta mata, bukan buta hati

'Buta mata, bukan buta hati'

JOHOR BAHRU 21 Feb. - Cacat penglihatan tidak menghalang pelajar Maktab Sultan Abu Bakar di sini, Muhamad Nadhir Abdul Nasir mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anak ketiga daripada enam beradik itu mendapat 3A 1B iaitu memperoleh A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan B bagi Pengajian Perniagaan dan bercita-cita menjadi seorang usahawan berjaya suatu hari nanti.

Beliau yang bersekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru menjadi pelajar cemerlang negeri Johor bagi kategori calon istimewa - cacat penglihatan.

Dia nyata gembira dengan kejayaan tersebut, namun cukup merendah diri apabila ditanya tentang resipi kejayaannya.

"Saya bukan seorang yang bijak, genius dan tak berbakat, maka saya perlu berusaha lebih gigih daripada orang lain dan keputusan ini jawapan kepada usaha itu," katanya yang ingin menyambung pengajian dalam bidang perniagaan.

Muhamad Nadhir menetap di Taman Seri Lembah, Kluang merupakan antara pelajar cemerlang STPM yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.

Beliau yang cacat penglihatan tahap dua sejak berusia sembilan tahun memberitahu, Sejarah satu-satunya subjek yang dipelajari menggunakan tulisan Braile manakala yang lain belajar seperti biasa.
Dalam pada itu, ibunya, Noormah Abu Bakar, 50, gembira pencapaian anaknya itu yang meneruskan keputusan membanggakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dicapai sebelum ini iaitu 7A 1B.

"Saya bangga dengan Muhamad Nadhir kerana dia tidak pernah menggunakan kekurangan yang ada sebagai alasan," ujarnya.

Sementara itu, pelajar cemerlang keseluruhan negeri Johor, Low Chea Yee, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar dekat sini memberitahu, rahsia kejayaannya adalah belajar setiap hari terutama pada waktu pagi.

Dia yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan mendapat 5A memilih untuk belajar pada awal pagi kerana ketenangan yang dinikmati pada waktu itu amat sesuai untuk mengulang kaji pelajaran.

"Saya berhasrat untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan dan Universiti Malaya merupakan pilihan utama saya," katanya yang merupakan anak seorang pekerja kilang dan ibunya seorang suri rumah.

Pasangan kembar, Goh Guo Dong dan Goh Guo Liang daripada Maktab Sultan Abu Bakar di sini yang turut mencatat keputusan cemerlang STPM kali ini berkata, setiap hari mereka memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk mengulang kaji pelajaran.

Mereka yang berkongsi buku teks untuk mengulang kaji pelajaran juga mempunyai cita-cita yang sama iaitu ingin menjadi jurutera dan berhasrat meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia.

2 Comentarios