Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Tragedi Cameron Oktober 2013 Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Takziah

Tragedi Cameron Oktober 2013 Banjir Kilat dan Tanah Runtuh


TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan keprihatianan baginda kepada rakyat di atas tragedi yang berlaku.



 
Gambar Selepas Kejadian Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Ringlet Cameron Oktober 2013:
Keadaan kenderaan yang rosak akibat banjir lumpur yang berlaku di Bertam Valley, Cameron Highlands


Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Khamis menitahkan supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air di Empangan Sultan Abu Bakar, diperkemaskan bagi mengelak tragedi banjir di situ berulang.

Menurut baginda, SOP yang diperkemas itu termasuk siren amaran yang perlu diberi lebih awal dan memastikan paras air dilepaskan lebih awal dan sedikit demi sedikit tanpa menunggu paras bahaya.

Selain itu, baginda turut menitahkan agar pembangunan di Cameron Highlands distruktur semula.

Baginda bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak tentang kesilapan yang telah berlaku.


Tiga terbunuh dalam kejadian banjir kilat selepas air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet di sini awal hari ini.
Dua mangsa lemas manakala seorang lagi maut akibat serangan jantung, menurut laporan Bernama.

Kejadian pada pukul 1 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita Indonesia hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki cedera.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu dipetik berkata arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan kira-kira 80 rumah dan beberapa kenderaan di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.

Dua yang mati lemas ialah lelaki Bangladesh dikenali sebagai Jahangir, 30-an, dan wanita Indonesia yang hanya dikenali sebagai Kesmat, 46. Satu mayat ditemui di dalam sebuah rumah dan satu lagi di bawah runtuhan rumah yang lain.

Lelaki yang mati akibat serangan jantung ialah Tan Tuck Choi, 51. Mangsa mati dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Kalsom di sini, awal pagi ini.

Mohd Zahari berkata mangsa yang masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dikenali sebagai Jarwati, 17, manakala lelaki yang cedera Ho Kim Way, 38, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

"Ho cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian itu," katanya. Kawasan yang terlibat dalam kejadian itu menempatkan rumah penduduk dan rumah setinggan berhampiran kebun sayur. Berikutan kejadian itu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Lembah Bertam ditutup hari ini.

Terdahulu Mohd Zahari berkata air empangan di Ringlet itu terpaksa dilepaskan bagi mengelak empangan itu pecah berikutan hujan lebat yang berterusan sejak 7 petang semalam.

Pelepasan air empangan pertama dibuat pada 12 tengah malam diikuti pada jam 1 pagi dan seterusnya pada 2.45 pagi yang menyebabkan air di Sungai Bertam melimpah secara mendadak dan mengakibatkan banjir kilat.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, seramai 54 orang dari 12 keluarga dipindahkan ke dewan orang ramai Ringlet.

Sementara itu Timbalan Penguasa Balai Bomba Zon 3 Pahang Yusmaizi Zulkifli berkata paras air normal di empangan itu ialah 3.498 meter dan pelepasan air dilakukan ketika paras air mencecah 3.508 meter.

Tinjauan hari ini mendapati cuaca panas sehingga tengah hari bagaimana hujan renyai mula turun pada sebelah petang.

Anggota Parlimen Cameron Highlands Datuk Seri G.Palanivel turut melawat kawasan kejadian dan memaklumkan bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat.


Sumber; Astro Awani




Gerakan mencari mangsa banjir di Ringlet diteruskan


Lembah Bertam, Cameron Highlands di sini hari ini. gambar oleh Roy Azis Abd Aziz pemberita Sayed,Asliza,Azli (Utusan,Kosmo)  

CAMERON HIGHLANDS 24 Okt. - Gerakan mencari dan menyelamat seorang wanita Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam tragedi banjir lumpur di Sungai Bertam, Ringlet di sini diteruskan pada 8.30 pagi ini.

Operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu itu melibatkan 328 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan penyelamat, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela.


"Anggota yang terlibat akan bertambah kerana gerakan mencari dan menyelamat dilakukan secara bergilir-gilir," katanya ketika ditemui Bernama.


Beliau berkata kawasan operasi diperluaskan sepanjang lapan kilometer bermula dari tempat mangsa dihanyutkan sehingga ke arah bawah sungai.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati hujan renyai pada awal pagi dan cuaca kini mendung.

Kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kira-kira 1 pagi semalam akibat pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar itu menyebabkan tiga terbunuh, seorang hilang dan seorang cedera manakala 80 rumah serta kira-kira 100 kenderaan musnah. - BERNAMA

Sumber; Utusan Malaysia
Tragedi Cameron: Unit penyelam diturunkan

CAMERON HIGHLANDS - Usaha mencari dan menyelamat seorang warga Indonesia yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam di sini, diteruskan hari ini termasuk melibatkan sepasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.
 
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai dan empat anggota itu akan melakukan selaman di tiga kawasan iaitu di Empangan Salini, Jeram Kampung Manson ke Kampung Susu dan di Jeram Kampung Susu ke Kampung Salini.
 
"Pihak berkuasa turut memperluas kawasan mencari di empat zon sepanjang 20km menyusuri Sungai Bertam. Unit anjing pengesan dan jentera berat turut digunakan dalam usaha itu," katanya kepada pemberita mengenai usaha mencari dan menyelamat yang bermula 9 pagi ini.
 
Selain pasukan penyelam, ia turut melibatkan 11 pegawai dan 86 anggota keselamatan.
 
Wan Mohd Zahari berkata, usaha mencari akan diteruskan sehingga 7 malam, jika tiada sebarang halangan seperti cuaca buruk.
 
Selain mangsa yang hilang, kejadian banjir lumpur yang berlaku kira-kira 1 pagi Rabu lalu itu, turut mengorbankan tiga nyawa selain memusnahkan puluhan rumah dan kenderaan. 
- Bernama
Sumber; Sinar Harian 26 Oktober 2013


Bencana banjir kilat di Lembah Bertam, Cameron Highlands sekali lagi mengulangi 'siren amaran' oleh para aktivis alam sekitar hampir sedekad lalu.

Aktiviti pertanian yang tidak lestari di kawasan cerun menjadi faktor yang menterjemah kebimbangan selama ini.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ahmad Daud menyifatkan sikap pekebun di kawasan cerun ini menyumbang kepada kecepatan berlakunya bencana di kawasan tanah tinggi.

"Contohnya, perangkap kelodak (kolam) tidak di buat di kawasan ladang kebanyakkanya. Ini masalah kepada berlakunya peningkatan kelodak yang mengalir ke sungai-sungai", kata beliau kepada Astro AWANI.

Beliau mengulas keperluan bagi mengelak kawasan takungan air yang makin cetek akibat daripada kelodak yang kian banyak terkumpul.

Ini sekaligus menjejaskan sungai dan kawasan takungan air yang mendorong belakunya bencana banjir.

"Selain itu, rumah-rumah plastik di kebanyakan kebun menyumbang kepada kecepatan banjir," kata Ahmad Daud yang baru 2 tahun menjadi Pegawai Daerah Cameron Highlands.

"Kita sentiasa lakukan penguatkuasaan san pemantauan. Ladang-ladang haram di kawasan cerun memang dihalang tetapi fokus tentunya mengajar pekebun-pekebun sedia ada kerana ini melibatkan amalan yang telah lama," ujar Daud.

Kumpulan aktivis alam sekitar sebelum ini mendakwa lebih 80 peratus air di kawasan tanah tinggi ini dialihkan ke sektor pertanian.

Selain itu, lebih 80 peratus ladang pula dibuka dan diusahakan di kawasan cerun.


CAMERON HIGHLANDS: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Khamis menitahkan supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air di Empangan Sultan Abu Bakar, diperkemaskan bagi mengelak tragedi banjir di situ berulang.

Menurut baginda, SOP yang diperkemas itu termasuk siren amaran yang perlu diberi lebih awal dan memastikan paras air dilepaskan lebih awal dan sedikit demi sedikit tanpa menunggu paras bahaya.

Selain itu, baginda turut menitahkan agar pembangunan di Cameron Highlands distruktur semula.

Baginda bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak tentang kesilapan yang telah berlaku.

Semalam, tiga terbunuh dalam banjir kilat selepas air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet.

Dua mangsa lemas manakala seorang lagi maut akibat serangan jantung.

Kejadian pada pukul 1 pagi itu turut menyebabkan seorang wanita Indonesia hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki cedera.



Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/perkemas-sop-pelepasan-air-empangan-sultan-abu-bakar-tengku-abdullah-24509?cp





Operasi hari keempat cari mangsa hilang kejadian banjir lumpur dihentikan

 


CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa warga Indonesia yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Rabu lalu, dihentikan pihak berkuasa pada 7 malam ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Polis Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia akan disambung semula selama lima jam mulai 8 pagi esok.
 
 "Selepas 1 tengah hari, pihak berkuasa tidak lagi menggunakan khidmat unit anjing pengesan dan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya pada
sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, operasi dalam skala kecil membabitkan 30 anggota keselamatan akan diteruskan sebelum ia dihentikan sepenuhnya, Isnin ini.

Wan Mohd Zahari berkata, sehingga kini usaha mencari dilakukan sehingga jarak
25 kilometer dari kawasan bencana menyusuri Sungai Bertam.
Dalam kejadian 1 pagi Rabu lalu, banjir lumpur melanda Lembah Bertam,
Ringlet di sini apabila air sungai melimpah susulan pelepasan air Empangan
Sultan Abu Bakar.

Insiden itu mengorbankan tiga nyawa selain seorang mangsa hilang. Ia turut
memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2014 semalam, mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk melebar dan mendalamkan Sungai Bertam.

Ketua Kampung Lembah Bertam Wong Fook Shai mengalu-alukan perkembangan itu,
namun berharap Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengkaji semula prosedur pelepasan
air empangan berkenaan.

Menurut seorang penduduk, S Vijaya , 45, kerajaan perlu mencari kaedah
untuk memberi respons segera bagi membantu penduduk kampung apabila berlaku
bencana seperti banjir kilat.

"Mungkin kerajaan perlu juga meningkatkan sistem siren di perkampungan untuk
memberi amaran supaya penduduk berpindah sebelum berlakunya sesuatu kejadian
tidak diingini," katanya.
- BERNAMA 
Sumber Berita Harian  2013/10/26 - 23:31:20 PM



Mangsa banjir kilat cerita detik cemas kejadian

CAMERON HIGHLANDS: "Kami terkurung di dalam rumah kerana pintu tak dapat dibuka, ketika itu air terus melimpah masuk sehingga paras dada," kata Shaifa Jamil seorang daripada 54 penduduk yang dipindahkan apabila rumah mereka di Lembah Bertam musnah dalam kejadian banjir kilat awal hari ini.

Shaifa, 19, yang ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini, berkata ketika kejadian beliau dan ibunya berada di dalam rumah manakala ayah dan abangnya berada di luar rumah. 


Menceritakan kembali detik cemas yang dialami itu, beliau berkata siren kecemasan dibunyikan dua kali sebelum beliau ternampak kayu balak dibawa arus.


"Tak sampai dua minit air terus melimpah masuk ke dalam rumah dan saya tidak sempat nak selamatkan harta benda," kata pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata itu.

Shaifa berkata ayahnya terpaksa memecahkan tingkap untuk mengeluarkan beliau dan ibunya yang terperangkap di dalam rumah mereka itu.

"Arus deras menyebabkan barang-barang terpelanting dan menyukarkan kami untuk menyelamatkan diri," katanya yang mengalami sedikit kecederaan akibat terpijak objek tajam.

Beliau berkata sebelum ini banjir pernah berlaku di Lembah Bertam namun kejadian kali ini adalah paling buruk.
"Walaupun tidak dapat menyelamatkan harta benda, yang penting saya bersama ibu, ayah dan abang selamat," kata Shaifa.

Sementara itu Mohd Esswandy Zubir, 21, berkata hampir semua rumah di kawasan itu musnah akibat limpahan air dari empangan Sultan Abu Bakar.

"Telefon bimbit dan barang keperluan lain termasuk sijil tidak dapat diselamatkan tetapi dokumen pengenalan diri dapat diselamatkan kerana dari awal lagi ibu saya telah menyimpannya," kata lepasan diploma Politeknik Muadzam Shah, Rompin Pahang itu.

Mohd Esswandy yang merupakan anak bongsu dari empat beradik itu bersyukur kerana selamat daripada tragedi buruk itu.

Beliau berkata kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan adalah warga tempatan dan kawasan kediaman berhampiran rumahnya mempunyai enam keluarga Melayu.

Kejadian arus deras dan banjir kilat itu memusnahkan kira-kira 80 rumah dan beberapa kenderaan penduduk di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.

Kejadian kira-kira 1 pagi itu turut menyebabkan dua rakyat asing dan seorang warga tempatan maut, seorang lelaki tempatan cedera manakala seorang lagi rakyat asing masih hilang.

Seramai 54 penduduk dari 12 keluarga kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet dan operasi mencari dan menyelamat wanita Indonesia yang dilapor hilang itu akan diteruskan eso
k. - BERNAMA

Sumber Berita Harian  2013/10/23 

Tragedi Bencana Alam di Cameron Highlands pada pagi Rabu 23/10/2013 lalu, sekali lagi mencetus polemik. Semoga semua pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya dan sama-samalah menjaga alam ini.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .