Subscribe Us

Jom Kenali Sejarah Palawan Malaysia

Sejarah Tok Kenali Pengasas Majalah Pengasuh

Panduan Temuduga Dalam Talian

Panduan Temuduga Online

Panduan Hadiri Temuduga

Panduan Hadiri Temuduga

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Nota Minda: Sejarah Tingkatan 1, Pentafsiran Sejarah

Nota Minda: Sejarah Tingkatan 1, Bab 5, Pentafsiran Sejarah.

 Nota Minda, Pentafsiran Sejarah
sila klik pada gambar untuk membesarkan atau print out

Bab 5: Pentafsiran Sejarah

1. Tafsiran menjadikan peristiwa bermakna.

2. Sejarawan berusaha mencari jawapan

3. Tafsiran tepat memerlukan penyelidikan

4. Tafsiran mungkin berbeza antara sejarawan.

   i. ada yang kata pembunuhan Birch kerana beliau memperkenalkan sistem cukai.
   ii. Sejarawan lain - pembunuhan kerana Birch ambil alih kuasa pembesar dan raja

5. Tafsiran berbeza disebabkan pandangan yang berlainan antara sejarawan.

   i. Sejarawan barat - penjajahan British kerana ingin membantu raja mententeramkan kacau bilau
   ii. Sejarawan lain - penjajahan kerana British ingin membolot kekayaan ekonomi Tanah Melayu.
  iii. Sejarawan Barat - anggap Tok Janggut, Dato Bahaman sebagai pemberontak.
iv. Sejarawan tempatan - anggap pahlawan Melayu sebagai pejuang tanah air.

6. Sejarawan mestilah jujur dan bertanggungjawab ketika membuat penyelidikan dan penilaian peristiwa sejarah

Ingin Menjadi Doktor?

 Ingin Menjadi Doktor?


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terdapat pelajar yang berjumpa saya, bercita-cita mahu menjadi doktor. 

"Cikgu, saya nak jadi doktor. Nanti jadi doktor, saya akan rawat cikgu tau," pelajar ini berkata sedemikian ketika saya membantu memberi rawatan awal kepadanya yang sakit di sickbay bilik saya.

Bagi pandangan saya, pelajar berkenaan membuat tindakan yang tepat, bukan kerana kata-katanya yang hendak membantu saya. Namun ini adalah kerana pemikiran dan sikap yang beliau miliki. Ketika berada di Tingkatan 2, beliau sudah mempunyai cita-cita dan matlamat hidup.

Sebenarnyam sebelum menduduki Peperiksaan PMR, para pelajar elok mempunyai cita-cita dan hala tuju, supaya pelajar mudah membuat keputusan halatuju selepas PMR nanti. Ini kerana, apabila anda mendapat A dalam kebanyakan matapelajaran dalam PMR, Terutama untuk mata pelajaran Matematik dan Sains, anda mudah diterima ke aliran sains yang menawarkan mata pelajaran Biologi, Kimia, Matematik Tamabbahan dan sebagainya semasa di Tingkatan 4.

    Gambar Hiasan: Doktor Bedah

Selain cita-cita setinggi bintang di langit, kita perlu mempunyai kelayakan yang sesuai dengan cita-cita itu. Untuk menjadi doktor, mata pelajaran yang perlu diberikan tumpuan , ialah mata pelajaran berkaitan Matematik dan Sains. 

Jika anda lemah dalam mata pelajaran ini, maka dari sekaranglah anda perlu mulakan langkah memperbaiki kelemahan. Contohnya dengan rajin membuat latih tubi soalan-soalan berbentuk peperiksaan di rumah dan berbincang dengan guru mata pelajaran anda.

Walau bagaimanapun, mata pelajaran lain seperti Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kemahiran Hidup, Geografi, Sejarah, Bahasa Arab bagi yang mengambil mata pelajaran ini, perlu diberi perhatian.

Untuk mengetahui kerjaya doktor ini, elok juga jika anda membaca artikel ini, Prof Dr Adeebah Pakar HIV/ AIDS, Klik sini, http://ppdasmkjp2.blogspot.com/2011/07/prof-adeeba-pakar-hivaids.html

Kalau hendak menjadi doktor, result SPM mestilah benar-benar cemerlang, terutama jika hendak memohon tajaan MARA pengajian perubatan di luar negara

Untuk Penajaan MARA, Bagi Kursus Ijazah Perubatan di luar negara, calon yang memohon perlu Mendapat sekurang-kurangnya A- untuk mata pelajaran yang disertakan di bawah:

Mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam sembilan (9) matapelajaran berikut:
  • Bahasa Melayu;
  • Sejarah;
  • Pendidikan Islam atau Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah atau Pendidikan Syariah Islamiah atau Pendidikan Moral;
  • Fizik;
  • Kimia;
  • Biologi;
  • Matematik;
  • Matematik Tambahan;
  • Bahasa Inggeris



Sekian, wassalam.

Pendidikan HIV/ AIDS

Pendidikan HIV/ AIDS

DUNIA sains perubatan sudah berjaya menemui pelbagai jenis ubat bagi merawat dan mengubati penyakit. Bagaimanapun, sehingga kini pakar sains perubatan masih buntu dalam menemui vaksin atau ubat yang paling mujarab untuk penyakit HIV/Aids. Hakikat itu menggambarkan betapa bahayanya HIV/Aids kepada kesihatan manusia.

Penyakit HIV/Aids atau nama lengkapnya Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit kini wabak penyakit paling berbahaya dan menakutkan dalam sejarah tamadun manusia. Laporan Kesihatan Sedunia 2004 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan 34 hingga 46 juta penduduk dunia menghidap HIV/Aids dan lebih 29 juta sudah maut akibatnya.

Daripada jumlah itu, 700,000 terdiri daripada kanak-kanak.


Atas asas pentingnya semua pihak bersatu menangani penyakit itu, maka PBB mengisytiharkan 1 Disember setiap tahun sebagai Hari Aids Sedunia.

HIV/Aids juga dikenali sebagai penyakit global kerana semua negara di dunia menghadapinya, tetapi statistik terbesar di negara dunia ketiga seperti di Afrika dan Asia.

Malaysia juga tidak terlepas daripada gejala wabak itu dan mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serangan virus HIV/Aids itu mula dikesan sejak 1986. Sejak itu, wabak HIV/Aids terus meningkat dari setahun ke setahun dan fenomena itu menjadi satu ancaman sosial yang kronik.

Misalnya, bilangan pesakit HIV/Aids sehingga 2004 dicatatkan seramai 64,439 orang dengan kes kematian 7,195. Ini satu gambaran menakutkan dengan kadar peningkatan yang begitu ketara.
Walaupun pelbagai mekanisme sudah dilaksanakan sama ada oleh agensi kerajaan mahupun NGO, penyakit berbahaya itu tidak menampakkan penurunan.

Menurut laporan KKM, kadar pesakit HIV/Aids di negara ini, nisbah jangkitan wabak penyakit itu ialah 13.3 bagi setiap 100,000 penduduk dan menurun sedikit pada 2009 dengan 10.8 bagi setiap 100,000 penduduk.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengatakan Kelantan berada di tangga teratas dengan 1,211 kes, diikuti Johor 1,124 kes dan Selangor 1,107 kes.

Beliau juga meminta rakyat Kelantan meningkatkan gerakan gempur HIV/Aids memandangkan negeri berkenaan paling ramai penghidap penyakit itu.

Sebenarnya bukan rakyat Kelantan saja patut mengambil langkah membendung HIV/Aids, malah semua pihak terbabit agar gejala berbahaya itu tidak merebak.

Pelbagai punca dikenal pasti sebagai pembawa virus penyakit itu, antaranya kerana perlakuan seks bebas, aktiviti pelacuran, gejala hubungan sejenis dan penyalahgunaan dadah, khususnya melalui suntikan jarum.
Inilah pencetus utama merebaknya gejala HIV/Aids sama ada di negara ini mahupun di negara lain.

Kata Datuk Liow lagi, HIV/Aids yang disebabkan berkongsi jarum oleh penagih mencatatkan 75 peratus, 19 peratus disebabkan hubungan seks iaitu seks rambang, pelacuran dan hubungan sejenis.

Justeru, kita dapat gambaran jelas bahawa dua gejala sosial yang seharusnya dibanteras habis-habisan ialah aktiviti seks bebas dan penyalahgunaan dadah.

Kerajaan melalui pelbagai agensi penguat kuasa seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan, PDRM dan pihak berkuasa tempatan mesti mengambil strategi bersepadu untuk mengekang gejala kronik itu.

Gerakan menggempur lokasi sasaran sewajarnya dilakukan dengan lebih kerap. Walaupun dua gejala sosial itu sesuatu yang amat sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi tidak bermakna pihak bertanggungjawab boleh mengambil sikap acuh tak acuh dalam usaha membendungnya.

Aktiviti pelacuran misalnya pernah digempur secara besar-besaran oleh PDRM yang bertindak tegas terhadap puluhan pengusaha pusat pelacuran di Kuala Lumpur dan bandar besar di seluruh negara menerusi undang-undang pencegahan iaitu Akta Pencegah Jenayah dan Akta Kediaman Terhad.

Kita dapati hasilnya kegiatan pelacuran dapat dicegah dan dikurangkan. Oleh itu, adalah diharapkan dengan kepemimpinan baru PDRM yang diketuai Tan Sri Ismail Omar akan meneruskan pendekatan berkesan itu.

Selain itu, pendedahan mengenai keburukan gejala penyakit HIV/Aids juga perlu diadakan untuk generasi muda. Jadi, bertepatan dengan pelaksanaan pendidikan seks yang akan diadakan di sekolah tahun depan dengan input berkaitan gejala HIV/Aids itu wajar dimasukkan dalam sukatan pelajaran.

Pengetahuan bermaklumat yang tepat mampu mendidik generasi muda menghindari gejala buruk yang boleh menjerumuskan mereka kepada wabak HIV/Aids. Penyedaran melalui pameran bergerak juga dianggap satu kaedah baik.

Pihak KKM dan AADK boleh mengadakan pameran di sekolah. Walaupun diakui langkah sedemikian sudah diambil, tetapi pendekatannya kurang menarik.

 Dicadangkan agar dua agensi itu mengadakan pertunjukan video berhubung penyakit HIV/Aids di samping menyediakan pamplet info yang lengkap.

Ibu bapa juga perlu bertanggungjawab memberi pendidikan agama dan akhlak yang terbaik kepada anak agar mereka membesar dalam ruang lingkup sejahtera dan tidak mendekati segala unsur yang boleh membabitkan mereka ke kancah gejala sosial.

Cegahlah HIV/Aids sebelum ia memusnahkan kita.

Prof Adeeba pakar HIV/Aids

Prof Adeeba pakar HIV/Aids

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada entry kali ini, saya membawakan pembaca blog ini kepada seorang Tokoh Perubatan di tanahair kita ini. Beliau telah banyak menyumbangkan bakti dalam bidang Perubatan HIV/AIDS.
 Prof Dr Adeeba Kamarulzaman


Perjalanan Kerjaya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman

PENAMPILAN dan keperibadian Prof Dr Adeeba Kamarulzaman cukup sederhana, namun siapa sangka wanita itu sebenarnya berjiwa besar dan bersemangat kental.

Minat mendalami kepakaran dunia perubatan khususnya bidang penyakit berjangkit seperti HIV/Aids selain sumbangan besarnya kepada negara serta masyarakat dalam menangani isu dan permasalahan penyakit berbahaya itu membuktikan beliau bukan calang-calang orang. 

Kini menerajui Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Prof Adeeba antara individu dikagumi dan disegani ramai khususnya dalam dunia perubatan HIV serta Aids. 

“Saya mula mendalami kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit khususnya HIV ketika bertugas di Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne, Australia pada 1996.

“Ketika itu, penularan virus HIV di dunia baru lapan tahun dan rata-rata pesakitnya ialah kalangan generasi muda, manakala rawatan pula masih lagi baru. Faktor inilah menjadi tarikan kuat untuk saya mendalami kepakaran dalam bidang ini,” katanya.

Akur berdepan dengan banyak cabaran sepanjang kariernya, beliau bagaimanapun tekad meneruskan perjuangan membantu pesakit yang hidup dengan HIV dan Aids kerana sedar akan tanggungjawab dipikulnya.

Pengalaman kerjaya di luar negara banyak mematangkannya, malah beliau sama sekali tidak pernah jemu menggali ilmu dan kepakaran dalam bidang berkaitan. 

“Secara umumnya, masyarakat masih belum terbuka dengan idea hidup bersama mereka yang hidup dengan HIV dan Aids kerana perasaan syak wasangka serta prejudis masih tebal dalam diri mereka.

“Halangan sebegini yang paling sukar sepanjang karier saya kerana majoriti masih enggan menerima mereka yang hidup dengan HIV dan Aids sebagai sebahagian daripada masyarakat,” katanya.

Tempoh 15 tahun di luar negara dirasakan sudah cukup sehingga akhirnya Prof Adeeba akur dengan permintaan ibunya agar kembali berkhidmat kepada negara.

“Awalnya, saya serba salah untuk kembali ke Malaysia kerana sudah selesa dengan persekitaran kerjaya di sana, apatah lagi saya bersuamikan warganegara Australia selain jaminan pendapatan yang cukup lumayan.

“Namun segala-galanya berubah selepas termakan pujukan ibu yang mahu saya kembali menyumbang bakti kepada tanah air selepas banyak wang kerajaan dilaburkan bagi membiayai pengajian saya di Australia,” katanya.

Beliau berkata, banyak perbezaan dirasainya sebaik kembali ke Malaysia khususnya dalam persekitaran kerjaya dan kemudahan perubatan yang disediakan kepada mereka yang hidup dengan HIV/Aids.

Katanya, pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap bahaya HIV belum meluas selain kekangan kos perubatan pada ketika itu amat tinggi.

“Saya ditugaskan di PPUM dan skop pekerjaannya lebih kepada pencegahan wabak penyakit berjangkit seperti HIV, denggi, tibi dan virus baru. Pengalaman paling getir ialah ketika kami perlu mengkaji dan mencari rawatan sesuai menangani virus Nipah yang melanda negara pada 1999. Situasi ketika itu amat genting dan menakutkan hingga suami menggesa saya beralih ke unit lain.

“Apapun, pengalaman menjalankan Projek Harapan membabitkan banduan yang hidup HIV di Penjara Kajang bersama rakan karib, Prof Dr Rick Altice dari Yale University cukup mengharukan.

“Detik itu cukup bermakna apabila satu hari saya didatangi seorang bekas banduan yang tidak putus-putus merakamkan ucapan terima kasih atau usaha saya melaksanakan projek sehingga berjaya membuka lembaran baru dalam hidupnya menjadi insan yang lebih baik. Perasaan saya ketika itu sukar digambarkan namun dalam hati terdetik rasa bangga menjadi seorang doktor,” katanya. 

Baca artikel ini selanjutnya, klik ya....

Pengalaman luas Dr Adeeba menangani isu HIV dan Aids, selain berdepan teman rapat yang disahkan hidup dengan virus itu, membuatkan beliau terus aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan HIV/Aids di seluruh dunia.

“Saya juga kerap ke luar negara menghadiri bengkel serta seminar berkaitan Aids selain aktif dalam badan bukan kerajaan seperti Majlis Aids Malaysia dan Yayasan Aids Malaysia.

“Apa yang saya lakukan ini ialah untuk sama-sama membantu masyarakat mendalami pengetahuan penyakit itu, jangan wujudkan unsur diskriminasi terhadap mereka dan sebaiknya, bantulah mereka daripada segi sokongan dan keperluan lain,” katanya yang berjaya merealisasikan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kajian Aids (Ceria) di UM pada 2007.
Graduan perlu terus timba ilmu

“KELAYAKAN dalam bidang perubatan bukanlah penamat segala-galanya, sebaliknya sebagai seorang doktor, pencarian ilmu dan kepakaran perlu diteruskan selagi mereka memikul amanah itu,” itulah pesanan Prof Adeeba kepada graduan dan mahasiswa perubatan.

Katanya, ilmu yang dipelajari di universiti perlu diperkukuhkan dengan inisiatif graduan itu sendiri menggali maklumat bagi mempersiapkan diri menjadi seorang doktor yang terbaik.

“Jangan rasa diri sudah cukup dengan ilmu perubatan apabila berjaya menggenggam ijazah. Anggapan itu salah kerana perkembangan bidang perubatan begitu pantas, ada saja wabak baru melanda dunia, begitu juga kemajuan teknologi yang diguna pakai.

“Selari dengan itu, seorang doktor juga perlu bergerak bersama-sama perkembangan dalam dunia perubatan selain bersedia untuk melakukan perubahan,” katanya.

Beliau yang bimbang melihat sikap segelintir mahasiswa perubatan masa kini yang disifatkannya lalai dan tidak serius mendalami bidang pengajian itu mengakui faktor itu dikhuatiri mampu merencatkan usaha melahirkan bakal doktor yang terbaik.

Katanya, mahasiswa perubatan perlu sedar realiti profesion itu yang menuntut pengorbanan tinggi dan jika faktor mereka mengambil jurusan perubatan sekadar memenuhi impian atau desakan keluarga, ia satu alasan yang salah. 


PROFIL

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman

Pendidikan: 
Felo Royal Australiasian College Of Physicians MBBS Monash University, Australia Pencapaian: 
Pakar Perunding dan Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaya
Ahli Australasian Society for HIV Medicine
Felo Academy of Science, Fellow, 2010
Penasihat Yayasan Aids Malaysia
Editor Tamu, The Lancet Special Series : HIV and Injecting Drug Use 2009-2010
Ahli Australasian Society for Infectious Diseases, 2008
Ahli Majlis International Society for Infectious Diseases, 2008
50 Emerging Women Leader in Asia Pacific 2011 Advance Australia, Australian Government, 2011
Australian-Asian Fellowship Award, Australian Government, 2002
Fellow in Infectious Diseases, Senior Medical Staff, Fairfield Hospital, 1995
Merdeka Award, Exxon Mobil, Petronas and Shell, 2008
Tun Mahathir Science Award, Malaysian Academy of Science, 2008
Prof Adjung School of Public Health and Tropical Medicine, Tulane University, New Orleans, Amerika Syarikat , 2008 - 2011
Prof Adjung, Department of Tropical Medicine, Tulane University 1 Januari 2008
Visiting Consultant Physician, Institut Jantung Negara, 1 Januari - 31 Disember 2000
Clinical Research Fellow, Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne , Australia, 1 Februari 1995 - 31 Januari 1996
Infectious Diseases Registrar, Austin Hospital, Melbourne, Australia, 1 Februari 1994 - 31 Januari 1995
Senior Infectious Diseases Registrar, Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne , Australia, 1 Februari 1992 - 31 Januari 1994


Sumber: Berita harian.

Syukur dan sabar

"Di saat kita menangis, kerana tidak mampu membeli sepasang kasut,
ketahuilah, ada orang lain yang sedang menangis, kerana tidak dapat memakai sepasang kasut"



Syukur dan Sabar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, kepada pelayar blog cikgukaunseling.com. Apa khabar anda pada hari ini?

Alhamdulillah, kita masih bernafas pada pagi ini. Udara yang bersih di tempat cikgukaunseling.com, begitu juga diharapkan kepada pelayar blog ini.

Entry kali ini, saya memuatnaik sebuah klip video dari youtube untuk renungan bersama. Juga bagi memudahkan tugas cikgukaunseling.com semasa menjalankan sesi kaunseling individu.

Untuk menonton klip video ini, sila klik butang 'pause' pada klip video
di atas sidebar posting. Terima kasih.

 Kebahagiaan Ada Dalam Syukur dan Sabar
 
Semoga, kita menjadi hambaNya yang sabar dan syukur.

Kebahagiaan Ada Dalam Syukur dan Sabar 

Baca selanjutnya...

PROGRAM MATRIKULASI DUA TAHUN (PDT) KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

PANDUAN PENDAFTARAN PELAJAR

PROGRAM MATRIKULASI DUA TAHUN (PDT) KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

SESI 2011 / 2013





1.0          PENDAHULUAN

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (BMKPM) mengucapkan tahniah atas kejayaan saudara kerana berjaya dipilih untuk mengikuti Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT) Kementerian Pelajaran Malaysia bagi sesi 2011/2013.

Semua maklumat di bawah bertujuan membantu saudara membuat persediaan sebelum mendaftar. Maklumat ini hanya kepada pelajar yang ditawarkan tempat di kolej matrikulasi KPM sahaja.

Sila baca dengan teliti dan ikut arahan yang diberikan.

2.0          JAWAPAN KEPADA TAWARAN



Sekiranya saudara telah mengambil keputusan untuk ;

2.1               Menolak Tawaran - Abaikan tawaran yang diterima dan tidak mendaftar semasa hari pendaftaran pelajar baru.

2.2               Menerima Tawaran - Saudara perlu mengambil tindakan berikut,

  1. Menyediakan yuran pendaftaran (pengajian) seperti yang ditetapkan dengan membayar kepada Pengarah Kolej Matrikulasi saudara ditempatkan.

  2. Membuka  akaun untuk tujuan pembayaran elaun wang saku:

Akaun GIRO  dan  membuat  Kad  ATM  Bank Simpanan Nasional, jika saudara ditempatkan di salah satu kolej berikut:

  1. i.      Kolej Matrikulasi Melaka / Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan / Kolej Matrikulasi Pulau Pinang / Kolej Matrikulasi Johor / Kolej Matrikulasi Perak.

ii.   Akaun  dan  membuat  Kad  ATM  Bank Rakyat, jika saudara ditempatkan di salah satu kolej berikut:

Kolej Matrikulasi Kedah / Kolej Matrikulasi Labuan

/ Kolej Matrikulasi Selangor

iii. Akaun dan membuat Kad ATM Bank Islam, jika saudara ditempatkan di kolej berikut:

Kolej Matrikulasi Pahang.

Sekiranya saudara telah mempunyai buku akaun, sila pastikan  akaun masih aktif dan hanya ada satu penama sahaja.

  1. c. Menyediakan keperluan peribadi pelajar (SILA RUJUK LAMPIRAN 1).

  2. d. Menyediakan semua dokumen dan melengkapkan Dokumen Peribadi Pelajar.

  3. e. Mendaftar pada 13 Jun 2011 di kolej yang ditetapkan.



3.0          YURAN


3.1          Jumlah yuran pendaftaran yang perlu dibayar sepanjang tempoh pengajian ialah,


JurusanJumlah
Sains (PDT) tahun Pertama (2011/2012)RM 425.00
Sains (PDT) tahun Kedua (2012/2013)RM 215.00

3.2               Pembayaran hendaklah dibuat di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan membawa bersama-sama salinan surat tawaran. Pembayaran secara tunai atau cek peribadi tidak diterima semasa pendaftaran di kolej.



4.0          PENDAFTARAN PELAJAR PROGRAM MATRIKULASI



4.1          Saudara dikehendaki melapor diri pada 13 Jun 2011 (Isnin). Sekiranya tidak melapor diri pada tarikh dan masa yang ditetapkan tanpa kebenaran pihak kolej berkenaan, saudara dianggap menolak tawaran ini.

4.2          Sila bawa bersama-sama semua perkara berikut pada hari pendaftaran:-

4.2.1          Salinan slip yuran pendaftaran yang telah dijelaskan di BSN.

4.2.2          Surat tawaran yang dicetak melalui internet.

4.2.3          Dokumen Peribadi Pelajar yang lengkap diisi. ( dicetak melalui internet)

4.2.4          Borang perjanjian pengambilan dan pembiayaan pelajar matrikulasi yang lengkap diisi  dalam dua salinan (dicetak melalui internet).

4.2.5          Sediakan setem hasil RM 10.00 sebanyak dua keping (RM 10.00 x 2 keping).

4.2.6          Gambar berwarna berukuran passport (minimum 4 keping)

4.2.5      Keperluan harian peribadi (SILA RUJUK LAMPIRAN 1).

4.3          Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia wajib tinggal di kolej kediaman yang ditetapkan. Sebarang permohonan untuk tinggal di luar kolej kediaman tidak akan dilayan.

5.0          PENAMPILAN DIRI SEMASA PENDAFTARAN

Penampilan kemas dan sopan sebagai pelajar kolej matrikulasi KPM.

6.0         MINGGU PENGURUSAN PELAJAR BARU

Minggu Pengurusan Pelajar Baru (MPPB) bermula pada hari pendaftaran. Semua pelajar diwajibkan mengikuti aktiviti MPPB. Makan minum tidak disediakan tetapi dijual di kafeteria kolej kediaman.

7.0 PERATURAN PAKAIAN KE KULIAH / TUTORAN / AMALI



7.1          Pelajar Lelaki

  1. Dikehendaki memakai kemeja berlengan panjang, bertali leher dan berseluar panjang (slack). Tali pinggang tidak melebihi 3 sm. lebarnya.

  2. Berkasut kulit / PVC.

7.2               Pelajar Perempuan

  1. Dikehendaki berpakaian kemas dan sopan.

  2. Berkasut kulit / PVC bertutup.

8.0          PERATURAN PELAJAR PROGRAM MATRIKULASI

8.1          Calon yang telah berkahwin tidak layak untuk mendaftar dan tidak dibenarkan berkahwin sepanjang tempoh mengikuti pengajian program matrikulasi.

8.2          Semua pelajar kolej matrikulasi tidak dibenarkan memiliki atau menggunakan sebarang kenderaan bermotor di dalam kolej.

9.0          BANTUAN KEWANGAN



9.1          Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

9.2          Elaun Wang Saku sebanyak RM 1,250.00 atau sebanyak yang ditetapkan akan diberi kepada semua pelajar pada setiap semester.

10.0        URUSAN PENGANGKUTAN SEMASA PENDAFTARAN

Saudara perlu mengurus sendiri kedatangan ke kolej matrikulasi yang ditawarkan.

11.0        PENUTUP

Bahagian Matrikulasi mengucapkan terima kasih kerana membuat pilihan yang tepat untuk mengikuti Program Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sila hubungi kolej dimana saudara ditempatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses pendaftaran, bayaran yuran dan sebagainya.

UniKL-RCMP, VMU tawar program perubatan

 UniKL-RCMP, VMU tawar program perubatan

 Assalamualikum dan selamat sejahtera.

UniKL-RCMP termasuk dalam salah satu Senarai IPTS yang mempunyai program yang telah mendapat pengiktirafan JPA, Badan Profesional atau Badan Lain. 


Kemaskinian maklumat adalah berdasarkan maklumbalas daripada IPTS yang diterima setakat 6 Disember 2012. 

Rujuk

Universiti Kuala Lumpur - Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP)(Nama Lama : Kolej Perubatan DiRaja Perak)

UniKL-RCMP, VMU tawar program perubatan


14/07/2011 9:51pm

KUALA LUMPUR - Universiti Kuala Lumpur-Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL-RCMP) dan sebuah kumpulan pendidikan terulung India, Vinayaka Missions University (VMU) menjalin perkongsian bijak untuk memulakan program perubatan peringkat ijazah, Program Perubatan UniKL-Salem.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Abdul Hakim Juri berkata, pengambilan pertama 50 pelajar tajaan Mara bagi program perubatan UniKL-Salem memulakan pengajian pada 4 Julai lalu di kampus RCMP Ipoh.

"Perkongsian bijak antara VMU dan UniKL-RCMP juga menyediakan peluang untuk usaha sama dalam penyelidikan membabitkan penuntut dan tenaga pengajar,” kata beliau.

Pro-Canselor VMU, Datuk Dr Sharavanan Shanmugasundaram berkata, kumpulan pendidikan itu akan melabur sehingga RM40 juta untuk mewujudkan sebuah hospital serba moden yang mempunyai 200 katil di Salem, India, khusus bagi melatih para penuntut perubatan yang mengikuti program pengajian itu.

"Perkongsian ini adalah satu peluang bagi membangunkan hubungan perubatan antara India dan Malaysia yang mempunyai sejarah panjang yang menyaksikan ramai doktor Malaysia mendapat latihan perubatan di India,” katanya. – Bernama


Website:  http://www.perakmed.edu.my/

Kerjaya Arkitek, Seni bina Islam jadi kajian,

Kerjaya Arkitek, Seni bina Islam jadi kajian,

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Para pelajar dan rakan-rakan followers serta pelayar blog Cikgu Kaunseling yang dihormati sekalian. Kali ini, cikgukaunseling.com memuatnaik sebuah artikel bertajuk, "Seni bina Islam jadi kajian", dipetik daripada akhbar Berita Harian. 

Artikel berkenaan berkaitan  Pameran Warisan 2011 di kampus UIAM Gombak. Lanjutan dari artikel di blog cikgukaunseling.com sebelum ini, Kerjaya Arkitek, klik sini, http://www.cikgukaunseling.com/2011_07_01_archive.html#1902350719455531250
diharapkan para pelajar yang berada di bangku sekolah sekarang dapat menjadikan entry ini sebagai satu inspirasi mencapai cita-cita anda di bidang seni bina.

Kepada pelajar yang menduduki SPM pada tahun ini, dan berminat melanjutkan pengajian di UIAM dalam senibina, UIAM ada menawarkan kursus Senibina. Baiklah, mari kita ikuti artikel berkenaan:

Seni bina Islam jadi kajian,

 SEBAHAGIAN daripada pengunjung Pameran Warisan 2011 di kampus UIAM Gombak.

 "Seni bina Masjid Sunan Ampel contohnya menggabungkan ciri Islam, Belanda dan Arab dengan setiap laluan masuknya dibina lima pintu gerbang dinamakan Gafura yang diambil daripada perkataan bahasa Arab, manakala nombor lima pula dikaitkan dengan simbolik lima rukun Islam"

SUMBER bahan pembelajaran tidak harus tertumpu kepada bahan ilmiah seperti buku, majalah atau internet semata-mata, sebaliknya sesuatu objek termasuk bangunan warisan atau lama juga mampu memberi seribu satu pengetahuan dan maklumat yang boleh dikongsi bersama.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), subjek Pengajian Warisan yang ditawarkan menerusi program Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina, Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) bukan saja memberi peluang kepada pelajar mengenali serta mendalami keunikan dan keistimewaan bangunan lama, sebaliknya membawa mahasiswanya menjelajah ke pelusuk negara Islam di seluruh dunia.

Peluang itu menjadi sebahagian keperluan wajib bagi mahasiswa yang mengambil subjek berkenaan yang mensyaratkan mereka menganjurkan lawatan pembelajaran dan kerja lapangan di bangunan warisan atau lama berkonsepkan Islam sama ada di Malaysia, rantau nusantara mahupun luar negara.

Jika sebelum ini Syria, Mesir, Turki, India dan China menjadi lokasi mahasiswa, tahun ini sekumpulan mahasiswa program berkenaan menjelajah ke Dhaka, Bangladesh, Esfahan, Iran serta Surabaya, Indonesia.



Baca selanjutnya...

SEMAKAN KE IPTA BAGI LEPASAN STPM, MATRIKULASI, STAM, 2011


SEMAKAN  KE IPTA BAGI LEPASAN STPM, MATRIKULASI, STAM, SETARAF SESI  2011/2012

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kepada  para lepasan STPM, STAM, MATRIKULASI, Diploma dan setaraf, anda sudah boleh membuat semakan keputusan permohonan ke IPTA. Anda dinasihatkan membuat semakan pada malam nanti bagi mengelakkan kesesakan trafik ke website berkenaan.

SEMAKAN KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA (IJAZAH PERTAMA)
PROGRAM PENGAJIAN LEPASAN STPM/SETARAF SESI AKADEMIK 2011/2012

Saluran 1
:
Saluran 2
:
Saluran 3
:
SMS
:
Taip UPU RESULT [No.KP] hantar ke 15888
(Mulai 15 JULAI 2011, Jam 12 tgh)

Sila layari http://upu.mohe.gov.my/
atau
http://www.jpt.uum.edu.my/
atau
http://intake.utm.my/semakan/

NOTA:

Kategori permohonan adalah diklasifikasikan seperti berikut:-
 Baca lanjut...

Lepasan STPM 2010 : Pemohon yang mengemukakan kelayakan STPM yang diambil pada tahun 2010 sahaja
Lepasan Matrikulasi KPM / PASUM / Asasi UiTM : Pemohon yang mengemukakan kelayakan Matrikulasi KPM / Asasi Sains UM / Asasi UiTM Sesi Akademik 2010/2011.
Lepasan Diploma / Setaraf : Pemohon yang mengemukakan kelayakan STPM / STP / HSC yang diambil pada tahun 2009 dan sebelumnya.


ATAU


DIPLOMA / Kelayakan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat IPTA.
Lepasan STAM : Pemohon yang mengemukakan kelayakan STAM.
Sekian, wassalam.

Komunikasi seks ibu bapa dan anak

Komunikasi seks ibu bapa dan anak


MUNGKIN sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kita, perbincangan mengenai seks dan perhubungan intim merupakan satu topik yang cuba dielakkan daripada menjadi perbualan dalam sebuah keluarga.

Kebanyakan ibu bapa mempunyai alasan tersendiri dan antara yang popular adalah anak-anak terlalu mentah untuk mengetahui mengenai seks walaupun hakikat sebenarnya mereka (ibu bapa) tidak tahu apa harus diperkatakan.

Apa yang pasti ibu bapa menjadikan alasan ia bertentangan dengan adat dan budaya serta kurang manis untuk dibincangkan secara terbuka.

Mereka lebih suka berdiam diri dan menyerahkan kepada anak-anak mempelajarinya sendiri.

Akhirnya anak-anak akan menjadikan cerita-cerita yang dijaja oleh rakan sebagai rujukan sedangkan informasi yang diperoleh itu mungkin tidak betul.

Tahukah anda bahawa alam remaja merupakan fasa kritikal dalam hidup setiap orang yang memerlukan ibu bapa sentiasa bersama anak-anak. Ini termasuk dalam berbicara mengenai pelbagai perubahan diri yang dihadapi baik dari segi perubahan fizikal tubuh badan dan emosi?

Pada saat inilah anda selaku ibu, seseorang wanita bertanggungjawab memainkan peranan memberikan panduan yang sepatutnya.

Ya. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tetapi, tidak salah dan ruginya untuk anda mencuba.

Malah, ada ibu bapa yang berfikiran terbuka kini pun masih ragu-ragu dan teragak-agak apabila diminta berbicara mengenai seks di hadapan anak remaja mereka.

Hilangkan kekok ibu dan anak

Bagi merungkai permasalahan komunikasi terlarang itu, syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare telah mengadakan bengkel khas khusus untuk wanita sahaja bagi membantu para ibu dan anak perempuan mereka mengatasi rasa kekok berbicara mengenai seks.

Jangan salah sangka, bengkel itu bukan mengajar mengenai seks tetapi, ia membekalkan informasi dan tip mengenai bagaimana untuk memulakan dan mengawal perbincangan tentang seks serta perhubungan.

Malah, ia turut menyentuh mengenai isu kesihatan wanita, kepentingan menjaga alat sulit dan kesihatan reproduktif selain pada masa yang sama menjelaskan peranan merancang kehamilan apabila menyentuh mengenai isu kehamilan tidak dirancang.

“Transformasi daripada seorang gadis remaja menjadi wanita dewasa merupakan sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, jika anak gadis anda tidak tahu apa yang bakal ditempuhinya, tidak bersedia untuk melalui perubahan fizikal dan hormon yang berlaku, ia akan menimbulkan kekeliruan selain dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan.

“Sebagai seorang gadis yang mahu melangkah ke alam dewasa, dia perlu memahami perubahan fizikal dan hormon yang bakal ditempuhinya,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran yang mengupas topik mengenai Fahami Tubuh Anda pada bengkel tersebut.

Premitha juga menegaskan bahawa pendidikan tidak terhenti dengan mengetahui mengenai kitaran haid dan reproduktif sahaja.

“Ibu perlu memainkan peranan utama sebagai rakan dan tempat mengadu yang boleh membimbing anak perempuan mereka mengharungi langkah pertama menjadi seorang wanita.

“Anak-anak perempuan anda bakal menjadi seorang gadis remaja yang secara biologinya mampu untuk melahirkan anak. Ia adalah saat yang genting untuk mereka dibekalkan dengan pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, seks selamat dan kontrasepsi,” ujarnya.

Jangan biar anak seorang diri

Tambah wanita itu lagi, apabila dibekalkan dengan informasi yang sepatutnya, anak-anak gadis sedikit sebanyak sudah bersedia dengan implikasi yang bakal dilalui di samping melindungi diri mereka daripada insiden yang tidak dijangka.

Jangan sesekali malu bertanya mengenai alam dewasa kepada ibu dan bagi ibu pula, jangan mengelak daripada berbicara mengenai topik ini kerana andalah orang yang paling berhak untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada anak gadis anda.

“Ia melibatkan perubahan fizikal tubuh badan dan emosi serta keadaannya berbeza di antara individu dengan individu yang lain. Jadi, ibu perlu berada di sisi anak masing-masing dan jangan membiarkan mereka menghadapinya seorang diri,” jelasnya.

Selain itu, perubahan emosi juga berlaku dan ia disebabkan perubahan hormon. Ketika ini anak gadis anda merasai stres, cepat marah, terlalu sensitif dan semua ini bermula pada usia 11 tahun sehingga haid mereka datang menjengah.

“Jangan sesekali menjadikan budaya sebagai alasan untuk tidak berkomunikasi dengan anak-anak remaja anda mengenai topik-topik tabu yang kononnya menjadi pantang larang masyarakat Timur.

“Peranan ibu terhadap anak perempuan sangat diperlukan untuk berkomunikasi mengenai topik-topik intim seperti seks, perhubungan dan kontrasepsi,” kata Perunding Psikologi Klinikal, Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.

Tambahnya, komunikasi terbuka terbuka adalah penting dan ibu perlu menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual, kehamilan dan perancangan keluarga.

Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada sokongan ibu mereka dalam setiap keadaan.

“Memberikan ruang kepada anak-anak muda kita berbicara dengan ibu mereka tentang seks dan perhubungan tidak bermakna kita menggalakkan mereka untuk mula melakukan hubungan seks,” ujarnya.

Sebaliknya, ia adalah cara terbaik untuk melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diingini dan memberi kuasa kepada mereka untuk membuat pilihan bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan mereka.

“Dalam masyarakat India, apabila anak gadis mereka datang haid pertama, mereka akan meraikannya dengan meriah untuk menguar-uarkan bahawa anak mereka subur dan mampu melahirkan zuriat,” kata Paul.

Komunikasi mengenai topik-topik tabu boleh melibatkan anak lelaki kerana akan datang mereka akan menjadi suami kepada seorang wanita dan bakal ayah kepada anak-anak.

“Mulai hari ini, tanyalah apa sahaja kepada ibu anda. Sumber yang paling selamat adalah daripada ibu dan bukannya rakan kerana dikhuatiri mereka memberikan informasi yang salah.

“Tiada apa yang perlu dimalukan. Kedua-duanya perempuan jadi ia seharusnya lebih mudah,” tegasnya.

Kisah haid pertama

Berkongsi pengalamannya bersama peserta bengkel, pelakon, model dan pengacara berbakat, Julie Woon juga menghadapi masalah komunikasi yang sama.

“Saya amat rapat dengan ibu kerana dialah penyokong dan teman baik saya. Kami seringkali berborak tentang apa sahaja.

“Walaupun mengamalkan komunikasi terbuka, kami sebenarnya tidak pernah berbincang mengenai topik-topik yang dianggap tabu ketika saya menjangkau fasa awal remaja dan awal dewasa walaupun ketika itu sudah ada perasaan terhadap lelaki,” katanya yang menyifatkan ibunya sebagai konservatif dalam hal tersebut.

Menceritakan detik haid pertamanya, Julia memberitahu dia mengetahui mengenai haid melalui cerita daripada rakan-rakannya.

“Ketika itu usia saya 15 tahun dan ibu tiada di rumah. Seharian saya sakit perut dan terperuk di dalam bilik kerana kedatangan haid kali pertama.

“Apabila meminta ayah membelikan pil merah jambu yang boleh melegakan senggugut di farmasi, dia membawa pulang pil demam untuk kanak-kanak yang mempunyai warna yang sama,” ujarnya sambil ketawa.

Katanya, walaupun tidak berbicara mengenai topik larangan itu, ibunya punya cara tersendiri dengan menggunting artikel-artikel kesihatan yang berkaitan supaya dia membacanya.

Sumber; Kosmo.

Usah Kecewa, Cinta Tak berbalas

 Buat Insan yang Sedang Kecewa Cinta


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. 

SEGALA puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA hari ini kita rakyat Malaysia masih dapat mengecapi kehidupan yang aman damai dan sejahtera walapun negara ini mempunyai berbagai kaum, agama dan kebudayaan. Alhamdulillahirabbil a'lamin.

Sesungguhnya saya menulis dengan penuh kasih sayang kepadamu sebagai seorang guru kepada anak muridnya, sebagai seorang saudara seagama. Bicara cinta, kali ini ingin saya nukilkan di ruang maya ini. Adakah ini bermakna saya menggalakkan anak murid saya bercinta? 

Tidak, saya tidak menggalakkan anak murid saya bercinta ketika di alam persekolahan. Cuma, artikel ini dicatat di sini sebagai renungan bersama bagi insan yang telah dikeciwakan oleh cinta manusia.

Cinta dan manusia, ibarat lagu dan irama, tiada irama, pincanglah kehidupan ini.
Cinta dan insan, ibarat ombak dan pantai.

Wahai Anak muridku,

Ketika bicara cinta menusuk ruang kalbumu, ketika itulah, dirimu perlu berhati-hati. Berhatilah-hatilah dalam membezakan mana satu cinta nafsu, mana satu cinta sejati.

Wahai anak muridku, cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah.

Biarkan cinta Berkata Tidak, sila klik sini. (entry pada August 5, 2010)
Usah Menangis, Ia Bukan Milikmu, sila klik sini , (entry pada  July 25, 2010)

Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. 

Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah.

Apakah Cinta Itu Buta? Tidak, cinta itu tidak buta. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. 

Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.


Wahai anak muridku,

Hati meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. 

Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. 

Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa cinta seseorang yang lain kepada kita. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? 

Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?

Wahai anak muridku,

Usah sekali membuat tindakan yang tidak bijak seperti membunuh diri, mengambil najis dadah, terlibat dengan gejala seks bebas dan lain-lain perbuatan yang boleh membawa anda ke lembah kehancuran. 

Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. 

Peliharalah dirimu, sebaik mungkin, serapat mungkin. Selimutilah dirimu dengan tabir iman dan taqwa kepada Allah. Untuk menjadi seumpama mutiara, lihat sahaja,  tiram di laut, dihiris pepasir tercalarlah ia, sungguhpun terluka tetapi dipendam, sungguhpun pedih tapi tetap disimpan, namun akhirnya dibalas MUTIARA BERHARGA


Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki.

Boleh jadi kita cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagi kita dan begitu juga sebaliknya. 

Pada setiap persimpangan kehidupanmu, pada setiap kesulitan yang kau tanggung, pada setiap ranjau yang kau pijak, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Kalau begitu tanggapanmu, silap, sayang.

Bahkan Allah SWT sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Marilah kita sama-sama berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.

Oleh itu, rawatlah hatimu yang kecewa dan luka dengan selalu bersolat, berdoa dan mendampingi orang-orang yang sentiasa mengingatkan anda kepada kebaikan dan kebenaran.





Wahai anak muridku yang kecewa,

Hadapilah kekecewaan dan retak hatimu dengan Sabarlah, Solatlah dan sentiasa siap sedia menghapi pelbagai kemungkinan kehidupan ini...

Kerjaya Arkitek

Kerjaya Arkitek

 Bangunan Bekas Masjid  pada zaman Kegemilangan Tamadun Islam di Andalusia. 
Masjid Alhmbra, Andalusia, Sepanyol.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Kepada para pelajar, terutamanya yang sedang berada di tingkatan 1 dan 2, perlulah mempunyai matlamat dan cita-cita hidup yang jelas.Jika cita-cita anda itu sangat tinggi seperti ingin menjadi seorang doktor, sedangkan anda sangat lemah dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, anda perlu bertindak lebih proakrif bagi memastikan cita-cita anda tidak hanya tinggal angan-angan.

Ingat ya para pelajar, walaupun anda sekarang ebrada di tingkatan 1 dan 2, anda  mestilah sudah mempunyai cita-cita kerjaya impian anda. Ini adalah kerana, Peperiksaan PMR yang bakal pelajar duduki semasa di Tingkatan 3 sangat penting dalam menentukan hala tuju kerjaya anda selepas alam persekolahan nanti.

Selain kesungguhan, minat mendalam, sebagai pelajar yang  bercita-cita tinggi juga, anda perlu mempunyai kebolehan IQ dan EQ dalam mengusai sesuatu bidang. Untuk mengetahui lebih jelas hala tuju selepas PMR, anda boleh berjumpa dan bersemuka dengan Guru Bimbingan dan Kaunseling anda di sekolah.

Perbincangan kerjaya kali ini ialah tentang kerjaya arkitek. Saya amat yakin setiap orang pasti mengimpikan cita-cita yang sangat tinggi dalam diri mereka. Cita-cita itulah sebagai satu lonjakan motivasi dalaman individu itu untuk meraih kejayaan cemerlang.

Pastinya, salah satu kerjaya impian pelajar  ialah  arkitek.

Adakah anda tahu apakah itu arkitek? Apabila anda melihat bangunan di sekeliling anda, termasuk sekolah anda sendiri, seperti SMK Jengka Pusat 2, adakah anda pernah terfikir, siapakah yang merekacipta bangunan itu?


Secara amnya, arkitek melibatkan kerjaya senibina. Senibina adalah satu bidang yang menyatukan bidang seni dan bidang sains. Ianya terdapat dalam senibina bangunan, bentuk bangunan, serta susunan kawasan Bandar dan luar Bandar.

 Masjid di Kuantan

Jadi, kepada para pelajar yang sedang berada di Tingkatan 5 tahun ini yang bakal menghadapi peperiksaan SPM pada  November 2011 nanti, usahlah lepaskan peluang memohon Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, sila klik di sini, Permohonan Program Matrikulasi KPM Sesi 2012/2013, http://www.cikgukaunseling.com/2011_07_01_archive.html#2276588931574550436


Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan program Matrikulasi Sains selama Program Satu Tahun atau Program Dua Tahun, sebelum pelajar ditawarkan untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Seni Bina di USM, UM, UIAM, UPM dan UKM. Program ini memerlukan calon lulus peperiksaan SPM/SPMV serta mendapat kepujian Bahasa Melayu, Matematik, serta tiga mata pelajaran lain.

Kepada lepasan sekolah, lepasan SPM yang berminat menjadi arkitek, bolehlah memohon program Diploma Seni Bina UiTM, Permohonan Ke Program UiTM Sesi 2, 2011, http://www.cikgukaunseling.com/2011_07_01_archive.html#4990620140536115736

Untuk program di UiTM, Calon perlu lulus peperiksaan SPM/SPMV serta mendapat kepujian mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan, Lukisan atau Lukisan Geometri dan bangunan untuk membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke UiTM di peringkat diploma dan seterusnya ke peringkat sarjana muda.

Peluang Kerjaya Arkitek

Seorang siswazah arkitek biasanya akan bekerja dengan firma-firma arkitek/jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun. Kebelakangan ini akibat kepesatan pembangunan khususnya di bandar-bandar besar dan kemunculan bandar-bandar baru ramai arkitek yang berkhidmat dengan pihak pemaju, kontraktor, pembekal bahan binaan serta syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri bangunan. Manakala bagi mereka yang berpengalaman boleh membuka firma sendiri.


Disektor kerajaan, kerjaya ini mampu menawarkan gaji sekitar RM2,000 serta beberapa imbuhan lain, manakala sektor swasta mampu menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada seorang arkitek.


Sementara itu, pemegang Diploma Seni Bina boleh memegang jawatan pembantu teknik di jabatan kerajaan/badan-badan berkanun dan sebagai pembantu arkitek di firma-firma swasta.

Tugas-tugas Seorang Arkitek 

READMORE...

Tanda-tanda Penagihan Dadah

Tanda-tanda Penagihan Dadah

 Belia Malaysia Benci Dadah

Sekiranya anda melihat perubahan-perubahan yang tiba-tiba ini kepada perangai ahli keluarga atau teman anda yang dikasihi. Perubahan – perubahan ini selalunya mempunyai hubungan dengan penggunaan dadah. Hubungi doktor anda atau pegawai pemulihan dadah untuk mendapatkan kepastian. Jangan sesekali membuat diagnosa anda sendiri!


Simptom atau tanda yang perlu diberi perhatian. Setengah dari simptom ini boleh berdiri berasingan dan setengahnya pula berkombinasi dengan simptom – simptom yang lain.

Adanya perubahan/merosot kehadiran atau prestasi mutu kerja, hasil kerja dan disiplin di sekolah/tempat kerja.
Marah – marah atau meradang tak tentu sebab.
Turun berat badan, selalu menguap dan tidak bermaya.
Hilang selera makan atau selera bertambah.
Permukaan mata berkaca, cengkung, mata berair dan kuyu.
Apabila bercakap tidak bertentang mata.
Kemerosotan paras rupa dan kebersihan diri, tidak ceria, muka menjadi pucat.
Parut atau bekas suntikan di lengan.
Diri menjadi tidak terurus seperti malas mandi, gosok gigi.
Hujung jari dan kuku berwarna kekuningan atau kemerahan.
Selalu menggaru terutamanya dibahagian hidung dan kelakuan aneh.
Suka memencilkan diri di dalam bilik air, setor, rumah kosong, masuk di dalam semak dan tempat dimana tiada orang.
Tidak mahu makan bersama –sama keluarga dan suka makan di tengah malam berseorangan.
Hilang minat terhadap sukan, muzik dan sebagainya.
Suka menyembunyikan barang-barang persendirian, tidak suka akan pertanyaan dari orang lain, bertanyakan apa yang dilakukan, menjadi seorang pendiam dan kuat berahsia.
Menjadi rajin, agresif, tersengih-sengih atau terlalu gembira secara tiba-tiba.
Suka berkawan dengan orang lain tanpa kebenaran, kerap meminta atau meminjam wang tanpa membayar balik.
Melakukan kegiatan mencuri di sekolah, rumah, tempat kerja, rumah jiran, kawan dan saudara mara.
Suka berbohong, menipu dan berpura-pura berlagak baik atau main wayang.
Menjadi orang yang tidak bertanggungjawab dan selalu menyalahkan orang lain. Hilang tumpuan terhadap kerja atau tugasan dan tidak dapat menyudahkan kerja yang diberi (kerja separuh jalan atau kerja tidak pernah siap).
Keluar rumah pada masa tertentu, mungkin untuk berjumpa pengedar.
Meminta wang berlebihan daripada Ibu Bapa.
Mengasingkan diri daripada rakan-rakan dan kegiatan masa lapang.
Berdampingan dengan mereka yang diketahui penagih.


Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Penyalahgunaan dadah berpunca dari banyak faktor tetapi terdapat banyak cara untuk mengatasinya. Kita harus berusaha dan bekerjasama bagi membanteras gejala ini agar tidak membawa akibat yang lebih buruk. Sekiranya terdapat komitmen yang tinggi dan berterusan untuk mengatasi masalah ini, masalah penagihan najis dadah pasti dapat dibendung dengan jayanya.

 Berdoa Kepada Allah Memohon Kekuatan DaripadaNya Untuk Menghindari dadah

 Keluarga Bahagia Tanpa Dadah

Bersama kita berganding bahu membanteras dadah.
Sayangi diri sendiri, sayangi keluarga,  keluarga bahagia, masyarkat sejahtera, negara harmoni.

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .