Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Para pelajar dan rakan-rakan followers serta pelayar blog Cikgu Kaunseling yang dihormati sekalian. Kali ini, cikgukaunseling.com memuatnaik sebuah artikel bertajuk, "Seni bina Islam jadi kajian", dipetik daripada akhbar Berita Harian.
Artikel berkenaan berkaitan Pameran Warisan 2011 di kampus UIAM Gombak. Lanjutan dari artikel di blog cikgukaunseling.com sebelum ini, Kerjaya Arkitek, klik sini, http://www.cikgukaunseling.com/2011_07_01_archive.html#1902350719455531250
diharapkan para pelajar yang berada di bangku sekolah sekarang dapat menjadikan entry ini sebagai satu inspirasi mencapai cita-cita anda di bidang seni bina.
Kepada pelajar yang menduduki SPM pada tahun ini, dan berminat melanjutkan pengajian di UIAM dalam senibina, UIAM ada menawarkan kursus Senibina. Baiklah, mari kita ikuti artikel berkenaan:
Seni bina Islam jadi kajian,
SEBAHAGIAN daripada pengunjung Pameran Warisan 2011 di kampus UIAM Gombak.
"Seni bina Masjid Sunan Ampel contohnya menggabungkan ciri Islam, Belanda dan Arab dengan setiap laluan masuknya dibina lima pintu gerbang dinamakan Gafura yang diambil daripada perkataan bahasa Arab, manakala nombor lima pula dikaitkan dengan simbolik lima rukun Islam"
SUMBER bahan pembelajaran tidak harus tertumpu kepada bahan ilmiah seperti buku, majalah atau internet semata-mata, sebaliknya sesuatu objek termasuk bangunan warisan atau lama juga mampu memberi seribu satu pengetahuan dan maklumat yang boleh dikongsi bersama.
Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), subjek Pengajian Warisan yang ditawarkan menerusi program Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina, Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) bukan saja memberi peluang kepada pelajar mengenali serta mendalami keunikan dan keistimewaan bangunan lama, sebaliknya membawa mahasiswanya menjelajah ke pelusuk negara Islam di seluruh dunia.
Jika sebelum ini Syria, Mesir, Turki, India dan China menjadi lokasi mahasiswa, tahun ini sekumpulan mahasiswa program berkenaan menjelajah ke Dhaka, Bangladesh, Esfahan, Iran serta Surabaya, Indonesia.
Baca selanjutnya...
Uniknya program itu, ia memberi peluang kepada mahasiswa mengungkap segala aspek seni bina bangunan terbabit, baik dari segi sejarah, kesenian reka bentuk, ciri Islam, struktur serta pemuliharaan.
Kesempatan bertemu dengan sekumpulan mahasiswa seni bina UIAM pada Pameran Warisan 2011 yang berlangsung di Galeri KAED, baru-baru ini menyingkap 1,001 pengalaman mahasiswa terbabit sepanjang berada di luar negara bagi memenuhi pengisian kurikulum subjek Pengajian Warisan.
Berkongsi pengalaman mengunjungi bandar lama di Dhaka, Bangladesh, Nurhafeeza Nordin mengakui pengisian subjek itu membolehkannya menceritakan kaedah seni bina yang digunakan pada zaman berkenaan selain teknologi yang dilaksanakan bagi menyiapkan pembinaan sebuah kubu lama dikenali Lalbagh Fort.
Katanya, keunikan kubu lama yang turut memuatkan dewan dan masjid itu diibaratkan sebagai buku yang mampu membekalkan banyak maklumat kepada mahasiswa sepertinya menjalankan kajian berkaitan bangunan terbabit.
“Subjek ini memerlukan kami mengkaji aspek seni bina, struktur dan ukiran kubu itu sebelum ia didokumenkan dalam satu bentuk laporan lengkap memuatkan maklumat berkaitan ukuran, model bangunan, pengkatalogan dan sejarah seni bina.
“Pada masa sama, peluang berada di negara orang turut memberi seribu satu pengalaman kepada kami untuk mengenali adat dan budaya unik masyarakat negara berkenaan yang penuh dengan maksud tersirat,” katanya.
Bagi Abdul Halim Hamid, Surabaya, Indonesia menjadi lokasi lawatan pembelajaran bersama 35 rakan lain dengan memfokuskan seni bina dua masjid terkenal di daerah itu iaitu Masjid Sunan Ampel dan Masjid Sunan Giri.
Katanya, kedua-dua masjid berkenaan sarat dengan seni bina bercirikan Islam yang digabungkan dengan ciri seni bina Belanda dan pembinaannya dikaitkan dengan sejarah wali Islam tersohor zaman lalu iaitu Wali Songo.
“Seni bina Masjid Sunan Ampel contohnya menggabungkan ciri Islam, Belanda dan Arab dengan setiap laluan masuknya dibina lima pintu gerbang dinamakan Gafura yang diambil daripada perkataan bahasa Arab, manakala nombor lima pula dikaitkan dengan simbolik lima rukun Islam.
“Bagi saya pengisian subjek ini cukup meluas dan sebagai mahasiswa, peluang mempelbagaikan sumber pembelajaran cukup bermanfaat dalam meningkatkan pengetahuan serta kemahiran khususnya dalam bidang seni bina yang disifatkan cukup kompleks dan unik,” katanya.
Sementara itu, Esfahan dan Iran pula menjadi lokasi lawatan Nur Atiqah Mohd Nissfu yang mengkaji seni bina rumah Haghighi, sebuah rumah lama yang pernah didiami bangsawan Iran suatu ketika dulu.
Katanya, rumah terbabit kini dijadikan lokasi pusat penyelidikan Art University of Esfahan sekali gus membuktikan bangunan sedemikian mampu dijadikan monumen sejarah yang menjadi sumber ilmu kepada masyarakat seluruh dunia.
“Banyak pengajaran yang boleh diketahui dengan mengkaji bangunan lama termasuk kecekalan orang zaman dulu membina bangunan selain memerah idea dan keringat melakar seni bina terbaik.
0 Comments:
Post a Comment