Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Pendidikan HIV/ AIDS

Pendidikan HIV/ AIDS

DUNIA sains perubatan sudah berjaya menemui pelbagai jenis ubat bagi merawat dan mengubati penyakit. Bagaimanapun, sehingga kini pakar sains perubatan masih buntu dalam menemui vaksin atau ubat yang paling mujarab untuk penyakit HIV/Aids. Hakikat itu menggambarkan betapa bahayanya HIV/Aids kepada kesihatan manusia.

Penyakit HIV/Aids atau nama lengkapnya Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit kini wabak penyakit paling berbahaya dan menakutkan dalam sejarah tamadun manusia. Laporan Kesihatan Sedunia 2004 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan 34 hingga 46 juta penduduk dunia menghidap HIV/Aids dan lebih 29 juta sudah maut akibatnya.

Daripada jumlah itu, 700,000 terdiri daripada kanak-kanak.


Atas asas pentingnya semua pihak bersatu menangani penyakit itu, maka PBB mengisytiharkan 1 Disember setiap tahun sebagai Hari Aids Sedunia.

HIV/Aids juga dikenali sebagai penyakit global kerana semua negara di dunia menghadapinya, tetapi statistik terbesar di negara dunia ketiga seperti di Afrika dan Asia.

Malaysia juga tidak terlepas daripada gejala wabak itu dan mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serangan virus HIV/Aids itu mula dikesan sejak 1986. Sejak itu, wabak HIV/Aids terus meningkat dari setahun ke setahun dan fenomena itu menjadi satu ancaman sosial yang kronik.

Misalnya, bilangan pesakit HIV/Aids sehingga 2004 dicatatkan seramai 64,439 orang dengan kes kematian 7,195. Ini satu gambaran menakutkan dengan kadar peningkatan yang begitu ketara.
Walaupun pelbagai mekanisme sudah dilaksanakan sama ada oleh agensi kerajaan mahupun NGO, penyakit berbahaya itu tidak menampakkan penurunan.

Menurut laporan KKM, kadar pesakit HIV/Aids di negara ini, nisbah jangkitan wabak penyakit itu ialah 13.3 bagi setiap 100,000 penduduk dan menurun sedikit pada 2009 dengan 10.8 bagi setiap 100,000 penduduk.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengatakan Kelantan berada di tangga teratas dengan 1,211 kes, diikuti Johor 1,124 kes dan Selangor 1,107 kes.

Beliau juga meminta rakyat Kelantan meningkatkan gerakan gempur HIV/Aids memandangkan negeri berkenaan paling ramai penghidap penyakit itu.

Sebenarnya bukan rakyat Kelantan saja patut mengambil langkah membendung HIV/Aids, malah semua pihak terbabit agar gejala berbahaya itu tidak merebak.

Pelbagai punca dikenal pasti sebagai pembawa virus penyakit itu, antaranya kerana perlakuan seks bebas, aktiviti pelacuran, gejala hubungan sejenis dan penyalahgunaan dadah, khususnya melalui suntikan jarum.
Inilah pencetus utama merebaknya gejala HIV/Aids sama ada di negara ini mahupun di negara lain.

Kata Datuk Liow lagi, HIV/Aids yang disebabkan berkongsi jarum oleh penagih mencatatkan 75 peratus, 19 peratus disebabkan hubungan seks iaitu seks rambang, pelacuran dan hubungan sejenis.

Justeru, kita dapat gambaran jelas bahawa dua gejala sosial yang seharusnya dibanteras habis-habisan ialah aktiviti seks bebas dan penyalahgunaan dadah.

Kerajaan melalui pelbagai agensi penguat kuasa seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan, PDRM dan pihak berkuasa tempatan mesti mengambil strategi bersepadu untuk mengekang gejala kronik itu.

Gerakan menggempur lokasi sasaran sewajarnya dilakukan dengan lebih kerap. Walaupun dua gejala sosial itu sesuatu yang amat sukar dihapuskan sepenuhnya, tetapi tidak bermakna pihak bertanggungjawab boleh mengambil sikap acuh tak acuh dalam usaha membendungnya.

Aktiviti pelacuran misalnya pernah digempur secara besar-besaran oleh PDRM yang bertindak tegas terhadap puluhan pengusaha pusat pelacuran di Kuala Lumpur dan bandar besar di seluruh negara menerusi undang-undang pencegahan iaitu Akta Pencegah Jenayah dan Akta Kediaman Terhad.

Kita dapati hasilnya kegiatan pelacuran dapat dicegah dan dikurangkan. Oleh itu, adalah diharapkan dengan kepemimpinan baru PDRM yang diketuai Tan Sri Ismail Omar akan meneruskan pendekatan berkesan itu.

Selain itu, pendedahan mengenai keburukan gejala penyakit HIV/Aids juga perlu diadakan untuk generasi muda. Jadi, bertepatan dengan pelaksanaan pendidikan seks yang akan diadakan di sekolah tahun depan dengan input berkaitan gejala HIV/Aids itu wajar dimasukkan dalam sukatan pelajaran.

Pengetahuan bermaklumat yang tepat mampu mendidik generasi muda menghindari gejala buruk yang boleh menjerumuskan mereka kepada wabak HIV/Aids. Penyedaran melalui pameran bergerak juga dianggap satu kaedah baik.

Pihak KKM dan AADK boleh mengadakan pameran di sekolah. Walaupun diakui langkah sedemikian sudah diambil, tetapi pendekatannya kurang menarik.

 Dicadangkan agar dua agensi itu mengadakan pertunjukan video berhubung penyakit HIV/Aids di samping menyediakan pamplet info yang lengkap.

Ibu bapa juga perlu bertanggungjawab memberi pendidikan agama dan akhlak yang terbaik kepada anak agar mereka membesar dalam ruang lingkup sejahtera dan tidak mendekati segala unsur yang boleh membabitkan mereka ke kancah gejala sosial.

Cegahlah HIV/Aids sebelum ia memusnahkan kita.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .