Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Tasik Chini, Bukti Penemuan Arkeologi

Tasik Chini, Bukti Penemuan Arkeologi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Tasik Chini, antara mitos dan lagenda. Yang pastinya, bukti arkeologi telah ditemui oleh sekumpulan penyelidik dari UKM. Antara kertas kerja pihak UKM  yang pernah dibentangkan ialah Tasik Chini dalam Konteks Arkeologi Bawah Air di Malaysia, sila rujuk http://gedung.nahrim.gov.my/wapi/mctweb.dll/getObject?MID=LAKES%20INVENTORY&ObjID=260

Sebagai salah seorang bekas mahasiswa jurusan Sejarah, saya  pernah mengikuti kursus asas Arkeologi Bawah Air  di bawah seliaan Pensyarah Sejarah UPSI ketika itu, Encik Rozeman Bin Abu Hassan dan Encik Ahmad Zainudin (2001), sebenarnya negara kita masih kekurangan tenaga pakar dalam bidang arkelogi ini. Baiklah teruskan kepada artikel yang pernah tersiar di Utusan Malaysia pada 2007 di bawah ini.

Teruskan usaha kesan tasik purba

 Tasik Chini, Pahang. Gambar kredit kepada Duni Suhazli, klik sini

PADA Mei 1998, sekumpulan pakar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui satu struktur ganjil dan sebuah batu hampar di dasar Tasik Chini yang kemudiannya menimbulkan debat bahawa mungkin wujud sebuah kota purba yang sudah terbenam di dasar tasik itu.

Selain itu, tembikar dan batu bata buatan tangan juga ditemui di sekitar tasik itu yang memperkuatkan lagi teori berkenaan.

Perkara tersebut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak untuk seketika dan menarik minat pakar-pakar asing ke tasik berkenaan yang turut mengesahkan kemungkinan wujudnya sebuah kota purba yang mempunyai kaitan langsung dengan ketamadunan Khmer di Cambodia.

Namun, kekangan dari aspek teknologi dan kewangan dalam usaha pengkajian ke atas penemuan batu hampar dan struktur misteri berkenaan menyebabkan usaha mendokumetasi dan mengetengahkan penemuan berakhir sekadar pada fasa satu kajian.



Lantaran itu, penemuan berharga dan persoalan sama ada benar-benar wujud sebuah kota purba yang dipercayai dibangunkan antara abad ke-11 dan ke-12, yakni lebih awal daripada kerajaan Melaka telah dilupakan begitu sahaja sehingga ke hari ini.

Persoalannya, adakah satu penemuan arkeologi yang begitu unik, iaitu kewujudan sebuah kota purba di dasar sebuah tasik perlu dilupakan terus sedangkan aspek sejarah yang terkandung di sebalik penemuan itu jika benar, amat bernilai kepada negara ini sebenarnya.

Tidakkah perlu ada usaha berterusan untuk mengkaji kemungkinan kewujudan kota purba itu.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita; Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Pahang, Datuk Maznah Mazlan berkata, bukti arkeologi yang dikutip oleh pakar tempatan beberapa tahun lalu membuktikan sememangnya ada kemungkinan besar wujud sebuah kota lama di dasar tasik berkenaan.

Malah, kata beliau, kajian oleh seorang sarjana Barat juga memperlihatkan penemuan sebuah tiang yang dikatakan sama ada tiang seri sebuah bangunan atau sebuah objek penyembahan di tengah salah sebuah tasik tersebut.

Beliau sendiri pernah bertugas dalam pelbagai jabatan kerajaan di Pahang sebelum menceburkan diri dalam politik secara serius turut mempunyai sejarah silam sendiri berkaitan perkara berkenaan.

“Semasa saya bertugas sebagai Penolong Pengarah di Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara sekitar tahun 70-an, saya pernah dibawa oleh seorang Orang Asli dengan menaiki rakit ke tengah tasik dan dia menunjukkan kepada saya sebuah struktur batu yang agak ganjil.

“Tetapi pada masa itu, saya tidak tahu menahu mengenai kemungkinan wujudnya sebuah kota lama di tasik itu jadi saya tidak berapa memberikan perhatian, hanya beberapa tahun selepas itu baru saya mula menyedari kepentingan monumen yang saya lihat itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengapa aktiviti mencari kota misteri itu berakhir dengan hanya satu fasa sahaja pada tahun 1998, Maznah berkata, wujud selut sedalam 100 kaki yang menyebabkan usaha untuk mengesan kota tersebut agak sukar pada masa itu.

“Ketika itu, tidak ada sebarang teknologi yang memampukan penyelam menyelam ke dasar untuk mengesan runtuhan kota berkenaan kerana wujudnya selut yang tebal itu, tahap ketelusan penglihatan adalah kosong peratus,” katanya.

Jelas beliau, runtuhan kota itu dipercayai berada di bawah selut berkenaan.

Kata Maznah, perkara kewujudan kota purba itu kini berada dalam pemerhatian pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti tetapi ia tidak dapat diteruskan kerana pihak berkenaan merasakan ia bukan satu keutamaan.

Ini kerana, pihak itu mempunyai pandangan bahawa kemungkinan untuk wujudnya sebuah kota purba di dasar tasik itu adalah terlalu tipis walaupun wujud bukti yang menyokong hal itu.
Kekangan paling utama pada masa kini ialah dari segi kewangan.

Jelas Maznah, salah satu kaedah terbaik untuk mengesan kewujudan kota purba itu adalah dengan mengeringkan salah satu daripada 12 rangkaian tasik dalam kelompok Tasik Chini.

“Tetapi pihak muzium melihat perkara itu sebagai melibatkan kos yang amat tinggi dan peluang penemuan juga agak rendah,” katanya.

Beliau bagaimanapun menaruh harapan agar projek pengesanan kota purba di dasar Tasik Chini itu disambung kerana jika benar ia wujud, maka ia boleh menjadi koleksi khazanah negara yang sangat bermakna.

Katanya, pihak-pihak lain seperti mana-mana pusat penyelidikan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkemampuan sepatutnya meneruskan usaha berkenaan bagi membantu kerajaan.

“Kerajaan negeri berjanji akan memberikan bantuan yang termampu dan sewajarnya kepada pihak-pihak yang berminat,” katanya.

Seperti yang dilaporkan oleh wartawan Utusan Malaysia, Oleh ARSHAD KHAN (WARTAWAN UTUSAN). ARKIB : 20/02/2007

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .