Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Sejarah Tok Kenali Pengasas Majalah Pengasuh

Sejarah Tok Kenali Pengasas Majalah Pengasuh


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan, Blog ini cuba memaparkan sejarah tokoh awal tanahair berdasarkan namanya ada disebut dari silibus Mata Pelajaran Sejarah. Misalnya, Tok Kenali. 



Di dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 Bab 2,  Topiknya ialah Nasionalisme di Malaysia Sehingga Perang Dunia Kedua. Di dalam Sub Topik Bab 2, kita dapati akhbar, majalah dan novel sebagai penggerak kesedaran kebangsaan. Saya hendak sentuh di sini berkaitan Majalah Pengasuh. 

Berdasarkan Buku Teks Tingkatan 5. MAJALAH Pengasuh , Pengarangnya:Dato’ Nik Mohamad :

ANTARA ISU YANG DIPERJUANGKAN MAJALAH PENGASUH

•Membincangkan soal penafsiran Islam yang progresif bagi kemajuan ummah
•Menggalakkan pendidikan di kalangan orang Melayu
•Memperluas ilmu dalam semua bidang
•Memberikan pentafsiran kepada persoalan orang Islam
•Menggesa orang Melayu menjauhkan diri daripada sifat buruk

Di sini mari kita kenali pengasas Majalah Pengasuh, Tok Kenali  selaku pendorong dan pengasas majalah Pengasuh yang diterbitkan bagi pertama kalinya pada tahun 1918.
Pertama kali saya membaca namanya dalam Buku teks Sejarah semasa Tingkatan 4 dulu, saya cuba mencari artikel berkaitan beliau di perpustakaan sekolah.


 

 Nyata membaca kisah hidup seorang tokoh ini, terasa gerun dan jiwa saya begitu ingin tahu untuk mengenali siapa dirinya dengan lebih mendalam.

Saya yakin dan percaya bahawa kebanyakkan umat Islam terutamanya di Tanah Melayu begitu mengenali seorang tokoh ilmuan Islam yang begitu hebat ini.

Majalah Pengasuh adalah sama tua dengan majalah "Seri Pustaka" Indonesia yang diterbitkan dalam tahun 1918 oleh Balai Pustaka dan di Malaysia majalah Pengasuh merupakan majalah tertua yang kedua sesudah majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh Syed Sheikh bin Ahamad Al-Hady pada tahun 1906.

Walaupun Tok Kenali bukan seorang penulis yang konsisten seperti Syed Sheikh , namun beliau adalah seorang penulis yang mempunyai gaya penulisan yang gagah dan jelas. Seandainya beliau tidak dihambatkan oleh tugas-tugas yang banyak dan terus menulis dengan tekun, beliau tidak syak lagi dapat dideretkan sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang merintis alam penulisan tanahair. 

Latar Belakang Tok Kenali

Gelaran Tok Kenali lebih dikenali umum berbanding nama asal beliau iaitu Muhammad Yusuf Bin Ahmad. Kadang-kadang ada juga yang memanggil Tok Kenali dengan nama Awang Kenali sahaja. Namun demikian, nama Awang Kenali bukan gelaran biasa.

Hal ini kerana menurut tulisan Wan Mohd. Shagir Abdullah, nama Awang Kenali berpunca daripada gurunya sendiri iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Gelaran 'Awang' berasal daripada perkataan 'Awan'. Guru kepada Tok Kenali itu menyatakan tingginya ilmu Tok kenali mencapai ke tahap 'awan'. Daripada perkataan 'awan' itulah kemudian bertukar kepada Awang. 

Beliau dianggap sebagai seorang ulamak ulung, guru agama unggul dan tokoh pemikiran umat Islam di Tanah Melayu dan Asia Tenggara zaman berzaman di awal abad ke 20an. Bukan setakat itu sahaja, malahan nama beliau gah di negara Arab sehingga di Tanah Suci Mekah.

Tokoh ilmuan ini lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Baharu Kelantan dalam tahun 1287H bersamaan dengan 1870H semasa pemerintahan Sultan Muhammad 11 yang hidup di antara tahun 1837 hingga 1886M.

Allah SWT mengizinkan Tok Kenali menjalani kehidupan di dunia fana ini selama 65 tahun. Ulama tersohor ini kembali ke rahmatullah pada hari Ahad 19 November 1933M lebih kurang jam 7.30 pagi Ahad bersamaan 2 Syaaban 1352H. Beliau dikebumikan di Kubang Kerian, Kelantan.


 .Tok Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulama yang telah diabadikan oleh rakyat Kelantan dengan gelaran "Tok" yang digandingkan dengan nama-nama tempat atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau menaburi bakti mereka. Gelaran itu merupakan kemuncak penghormatan yang mencermin ketokohan dan kemasyhuran yang meluas. Diantara ulama-ulama itu ialah Tok Khurasan, Tok Bachok, Tok Kemuning, Tok Selehor, Tok Mesir dan lain-lain. Tuan Tabal juga termasuk ulama yang diabadikan dengan nama sebuah kampung.

Sumbangan

Sekiranya hendak dihitung sumbangan beliau dalam arena dakwah di negara kita banyak sekali. Beliau merupakan pelopor utama dalam mengembangkan sistem sekolah pondok yang memartabatkan agama Islam dalam Malaysia dan luar negara.

Murid-murid yang berguru dengannya kemudian membuka pondok di tempat lain di luar daripada negeri Kelantan. Oleh itu, tidak hairanlah beliau berjaya melahirkan ramai ulamak-ulamak hebat di Tanah Melayu ini.

Tok Kenali merupakan orang penting dalam perkembangan pemikiran Islam di Tanah Melayu khususnya. Banyak karya-karya yang mencerna dan membangunkan pemikiran masyarakat Islam Malaysia dibentangkan dalam Majalah Pengasuh. Beliau bukan sahaja pengarang, malahan beliau adalah Ketua Pengarang majalah tersebut.


Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya?ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H 



PERIBADI DAN SIFAT-SIFAT UTAMA

Tuk kenali bukan hanya terkenal sebagai salah seorang ulamak besar sahaja, malah terkenal pula sebagai tokoh yang mempunyai sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat islam. Antara sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakatt islam. Antara si fat-sifat tersebut ialah:

a) Sangat menghormati dan memuliai ibu

b) Pemurah, suka menderma terutamanya kepada fakir miskin dan anak-anak.

C) Seorang yang sabar, tidak lekas marah.

D) Suka berjalan kaki sahaja sebagai suatu langkah latihan melenyapkan perasaan sombong, bongkak dan megah.

E) mengamalkan hidup berdikari. Beliau membeli sendiri di pasar.

F) suka membaca dan menatap, baik buku-buku atau majalah-majalah di mana-mana sahaja beliau berada.

G) Suka beriktikaf di masjid, manakala tidur kerap berbantalkan lengan.

H) pakaian beliau amat sederhana.


Tok Kenali Melahirkan Angkatan Pengarang


Di antara murid-murid Tuk kenali terdapat suatu golongan atau angkatan pengarang buku-buku agama yang mempunyai kedudukan yang baik di kalangan masyarakat Islam di dunia sebelah sini. Mereka ialah”
1. Dr. Syaikh Muhammad idris Al-Marbawi, seorang pujangga Islam yang banyak memberio sumbangan dalam perkembangan ajaran-ajaran Isdlam dengan kamusnya “Kamus Al- Marbawi” (Arab-Melayu) dan kitab-kitab karyanya yang banyak di lapangan Agama Islam.
2. Saahib Al-Fadhilah Datuk Hj. Ahmad mahir, Mufti Kerajaan kelantan yang juga seorang pengarang.
3. Syaikh uthman Jalaluddin Al-Kilantani, seorang pengarang buku-buku agama dan seorang guru.
4. Tuan guru Hj. Yaakub bin Ismail. Legor, Selatan Thailand.
5. Saahib Al-Fadhilah, Datuk Hj. Ismail bin Yusoff, Mufti Kerajaan kelantan.
6. Asy-Syaikh Muhammad Salih Tuk kenali, Makkah Al-Mukarramah Saudi Arabia.
7. Yang Berbahagia Hj. Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara) pengarang majalah Al-Hikmah***(1923M) yang banyak mendidik bakat-bakat penulis dan pengarang-pengarang sebelum perang.
8. Tuan guru Hj. Ali Salahuddin, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
9. Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
10. Tuan Guru Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad , lorong Gajah mati, Kota Bharu adalah seorang guru agama dan seorang pengarang.
11. Yang berbahagia Datuk Hj. Hassan Yunus Al-Azhari, Bekas Menteri Besar Johor , ahli politikyang juga menjadi seorang pengarang.


Selain murid-murid beliau yang berbakat, terdapat pula cahaya-cahaya mata Tuk kenali yang turut memperkembangkan pengajaran ayahndanya, mereka ialah

1. Al-Marhum Hj. Ahmad Tuk Kenali, guru agama di pondok kenali dan guru yang mengajar pada beberapa buah surau dalam beberapa jajahan, daerah Negeri Kelantan.
2. Hj. Mahmud, wakil Syaikh haji , makkah.
3. Hj. Mohd Salleh Tuk Kenali, guru agama di kota suci Makkah dan seorang pengarang buku-buku dan risalah-risalah agama. Beliau mendirikan persatuan “Darul-Islah” bertempat di Maulid nabi, Suatu persatuan astu perhimpunan kaum Muslimin dari Tanah melayu, patani, kemboja, Indonesia dan lain-lain yang datang ke Tanah Suci makkah terutamanya di musim-musim haji, di mana Tuk kenali diperkenal dan jasanya diperkenangkan. Suatu persatuan lagi didirikan oleh beliau dengan nama “Darul-Quran (Persatuan Al-quran) bertempat di Misfalah, Makkah.
4. Hj. Abdullah Zawawi, lulusan kuliah Syariah, makkah. Berkecimpung di bidang pendidikan dan menjadi pengetua sekolah-sekolah menengah di Kerajaan Arab Saudi dan Nigeria.



TUK KENALI DENGAN HAL-HAL KEMASYARAKATAN


Sewaktu melancarkan pengajaran-pengajarannya, Tuk kenali didapati agak gemar sekali membincangkan hal-hal politik tanah air. Semasa hayatnya Tuk kenali tidak memisahkan politik daripada bidang pelajaran, malah beliau tidak mengenal pemisahan antara. Agama islam yang difahami dengan politik. Ini adalah merupakan suatu cara menyesuaikan pengajarannya dengan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dengan alam keliling. Kerana itu dalam pengajarannya beliau mengemukakan beberapa anjuran melalui cerita-cerita tauladan yang berkesan antaranya: ikut bapamu, tetapi takutkan Tuhan
kuasailah pengetahuan agama dan politik
ilmu itu apa yang terguris dalam hati
pengetahuan manusia terbatas.
Mengaku salah jika bersalah.
Sunnah Tuhan sudahlah wajar
biar mati adat, jangan mati syarak.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Bertanya pada yang tahu.
Penjahat itu mencukupi dengan kejahatannya.
Doa adalah senjata orang mukmin.
(Cerpen-cerpen Tuk Kenali? oleh AQHAS - halaman 76), Terbitan baru dengan tajuk cerpen-cerpen warisan Tuk Kenali).




Pencarian Ilmu

Sewaktu kecil beliau diasuh dan dididik dengan pendidikan agama oleh datukya kerana ayahnya telah meninggal dunia ketika berusia lima tahun. Datuk beliau merupakan seorang warak dan memiliki ilmu agama serta patuh kepada peraturan-peraturan Ilahi. Tok Kenali  mempelajari Al-Quran  dan tulis menulis daripada datuknya sendiri Encik Shalih atau lebih mesra dengan Tok Leh .

Nenek tirinya turut mendidik Tok Kenali dan cukup menjaga hal-hal makanan dan minuman yang hendak diberikan kepada Tuk Kenali kerana beliau percaya makanan yang haram boleh membentuk peribadi tidak elok kepada diri seseorang.

Kegigihan Tok Kenali dalam menuntut ilmu memang sukar ditandingi. Sejak berumur sembilan ke sepuluh tahun lagi Allahyarham telah mengambil langkah untuk menuntut ilmu di luar daripada kampung halamannya. Beliau tekad menuju ke Kota Bharu, Kelantan dan tempat pertama yang ditujuinya adalah masji Al-Muhammadi. Di sana terdapat ramai guru-guru agama dan beratus-ratus murid dari seluruh ceruk negeri Kelantan yang menyambung pelajaran. 

Di negeri Kelantan beliau menutut ilmu Bahasa Arab, nahu, saraf dan pengetahuan agama. Minatnya dalam menuntut ilmu tidak terhenti setakat itu sahaja kerana beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Mekah. 

Cita-cita Tok Kenali untuk meningkatkan ilmu agama di Tanah Haram Mekah akhirnya tercapai juga ketika umurnya 18 tahun. Pada tahun 1887M bersamaan dengan 1305H Tok Kenali berjaya menjejakkan kaki di Kota Suci Mekah bagi meneruskan pengajian dan menjalani ibadah rukun Islam ke lima iaitu menunaikan haji.

Sebelum sampai ke Mekah, pelbagai rintangan yang perlu ditempohnya, namun semangatnya tetap utuh untuk meneruskan impiannya. Menurut riwayat, semasa dalam pelayaran menuju ke Mekah kapal yang ditungganginya mengalami kerosakan dan pelayaran yang terpaksa ditempoh adalah selama 6 bulan. Pemergiaannya ke Mekah hanya berbekalkan wang RM 22 pemberian ibunya beserta bantuan rakan dan sahabat sebanyak RM 50.

Semasa di Mekah, segala cabaran dalam menuntut ilmu diharungi oleh Tok Kenali dengan penuh sabar walaupun kesukaran di perantauan sukar digambarkankan. Di percayai sekitar 7 bulan lamanya beliau tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap. Beliau hanya berehat di Serambi Masjidil Haram dan mencari waktu-waktu kekosongan orang untuk tidur. Sedangkan Masjidil Haram menjadi tempat orang ramai beribadat seperti bertawaf, saie, solat dan sebagainya. 


Meninjau kepada beberapa segi yang telah dikemukakan di atas, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa Tuk kenali adalah salah seorang tokoh ulama terkenal dan pembangun fikiran Umat Islam di dunia sebelah juga tidaklah salah jika dikatakan bahawa selagi terbitnya majalah pengasuh ke alam persuratan melayu, maka selama itulah Tuk Kenali dikenangan, seterusnya tidaklah merupakan suatu penonjolan jika dikatakan bahawa selagi wujudnya majlis Agama islam dan Adat istiadat melayu kelantan? maka selama itulah ?Tuk Kenali masih disebut dan dikenali.


Sumber:
1)Kertas kerja yang dibentangkan di majlis Wacana Tuk Kenali bertempat di Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Timur, Kota Bharu, kelantan pada 19 Mei 2001 

2)  http://musafirsuci.blogspot.com

Wikepedia


0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .