PELAJAR NAKAL BERUBAH BAIK SETELAH HADIR MOTIVASI
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kata-kata ibu yang sangat penyabar ini,
Tiada petua mendidik anak melainkan banyak bersabar dengan karenah mereka.
“Kenakalan anak-anak adalah ujian Allah kepada kita, sebagai ibu bapa kita perlu banyak berdoa, insya-Allah anak-anak akan mendapat keberkatan,” katanya.
“Kenakalan anak-anak adalah ujian Allah kepada kita, sebagai ibu bapa kita perlu banyak berdoa, insya-Allah anak-anak akan mendapat keberkatan,” katanya.
UBAH SIKAP MELALUI MOTIVASI
HARIFF (tengah) mencium ibunya sambil diperhatikan ayahnya.
KEHIDUPAN hariannya di sekolah banyak dihabiskan dengan melepak, ponteng sekolah, merempit atau membuli pelajar lain semata-mata untuk keseronokan atau ego.
Siapa tidak kenal Muhamad Hariff Ahamat. Sebut saja nama itu, murid dan guru dapat membayangkan wajah serta perangainya.
Hariff merasakan lebih mudah melakukan kesalahan di sekolah malah guru-guru pun tidak boleh berbuat apa-apa. Walaupun nakal, dia cemerlang di sekolah malah menjadi murid terbaik di tahun akhir di sekolah itu.
Ego dan merasakan dirinya bijak membuatkan Hariff membawa perangai nakal itu ke sekolah menengah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Di sekolah menengah, langkahnya lebih panjang kerana ramai kawan-kawan lebih senior malah dia boleh berbuat apa saja untuk berseronok.
Kini, dia sudah tahu berpacaran bersama teman wanita, menghabiskan masa di tepi jalan, merempit atau menggunakan kenderaan milik ayahnya, Ahamat Leman, 61, bersama rakan-rakan di Genting Highlands.
Boleh dikatakan dia jarang ada di sekolah atau di rumah dan masa banyak dihabiskan di luar bersama rakan-rakan yang juga “satu kepala” dengannya.
Jika tidak ada wang, dia boleh mengambil dari kocek ayahnya.
“Alhamdulillah, walaupun bebas melakukan apa-apa, saya tidak merokok, mengambil dadah atau minuman keras,” kata Hariff.
Sikap ponteng sekolah dan merempit bersama rakan-rakan menyebabkan pelajarannya merosot. Ketika di tingkatan tiga, perangai samsengnya kian menjadi-jadi dan ini amat merisaukan ibu bapanya.
Ibunya hanya kerani di sebuah syarikat swasta manakala ayahnya berniaga daging di pasar Ampang, jadi Hariff mempunyai masa banyak melakukan kerja-kerja nakal.
Parut di beberapa tubuhnya termasuk di dahi membuktikan betapa nakalnya anak itu.
Dalam peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dia gagal mendapat sebarang A. Ibunya bertambah risau apatah lagi peperiksaan sebenar kira-kira tiga bulan lagi.
Justeru ibunya, Fauziah Tawil, 52, tekad mahu mengubah perangai buruk Hariff selain berdoa kepada Allah supaya perangai anaknya berubah.
“Saya menipu Hariff dan rakannya supaya mengikut saya ke ibu kota, tetapi tidak memberitahu hadir program motivasi.
“Apabila tahu saya membawa ke program motivasi, dia seperti memberontak dan enggan pergi.
“Saya memaksanya kerana nekad, biar apa pun berlaku, anak saya wajib hadir program motivasi itu kerana saya mahu yang terbaik untuk dia,” kata Fauziah.
Hariff terpaksa hadir bersama rakan baiknya dalam keadaan yang marah, memberontak dan fikiran yang berkecamuk kerana hari minggu sepatutnya dia berseronok bersama rakan-rakan dan teman wanita.
“Sebagai tanda protes, saya duduk di depan sekali dengan muka yang masam tanpa membawa apa-apa atau mengambil sebarang nota.
“Saya anggap program itu membuang masa kerana sebagai orang muda, masa saya ialah berseronok,” kata Hariff.
Dalam program motivasi kelolaan Dr Tengku Asmadi itu, setiap pelajar perlu menulis cita-cita mereka di sekeping kertas A4 dan ditunjukkan kepada peserta lain.
Ramai pelajar menulis cita-cita menjadi doktor, peguam, ahli perniagaan, jurutera, saintis dan guru.
Apabila Dr Tengku Asmadi meminta pelajar menurunkan tangan, Ariff masih mengangkat tangan bersama kertas A4.
Dr Tengku Asmadi hairan apa cita-cita pelajar di barisan depan itu. Apabila melihat sendiri, beliau amat terkejut kerana kertas itu tertulis Perdana Menteri (PM).
“Awak serius bercita-cita menjadi PM atau sekadar bermain-main. Jika untuk menarik perhatian, lebih awak padamkan perkataan Perdana Menteri itu dan duduk,” kata Dr Tengku Asmadi.
“Tidak, saya tidak bermain-main, cita-cita saya untuk menjadi PM. Saya lebih rela mengubah perangai saya daripada mengubah cita-cita saya...,” kata Hariff tegas.
Ini mengejutkan Dr Tengku Asmadi dan peserta lain kerana sepanjang mengendalikan program itu lebih 20 tahun, tiada pelajar menulis cita-cita mahu menjadi PM.
“Saya pun tidak tahu mengapa menulis cita-cita mahu menjadi PM, mungkin terlalu marah, protes atau menunjuk ego tetapi kata-kata Dr Tengku Asmadi iaitu “semalam adalah sejarah yang tidak boleh dipinda, esok impian yang nyata dan hari ini penentu siapa kita” mengubah hidup saya.
“Saya membuang sifat ego, marah, protes dari hidup kerana mahu berjaya apatah lagi PMR hanya tinggal 42 hari.
“Hari terakhir di program motivasi, saya dan beberapa pelajar lain diberi peluang memberi pidato di pentas.
“Saya menawarkan diri berpidato. Dari jauh saya melihat ibu berdiri di pintu masuk sejak sesi bermula awal pagi.
“Saya katakan dengan tegas mahu menjadi PM, mengubah diri dan tidak akan membuat ibu menangis lagi. Lantas, saya turun ke bawah, meluru ke arah ibu sambil memeluk serta mencium pipi ibu dengan tangisan keinsafan,” katanya.
Balik dari program motivasi itu, Hariff membuang komik kartun yang berlambak di biliknya untuk dijadikan tempat mengulang kaji pelajaran.
Buku motivasi Dr Tengku Asmadi dibaca satu persatu dan ia seolah-olah meresap dalam jiwa dan tubuhnya.
“Ketika itu seperti ada semangat baru, bukan lagi Hariff yang dulu. Saya tidak peduli lagi rakan-rakan, keseronokan atau teman wanita, fokus ialah pelajaran dan PMR yang berbaki 42 hari lagi,” katanya.
Ketika keputusan PMR tahun 2000 diumumkan, rakan-rakan, guru-guru terkejut apabila Hariff mendapat 7A1B.
“Saya balik dan menunjukkan keputusan kepada ibu. Dia amat gembira hingga mengalirkan air mata.
“Saya amat gembira hari itu kerana dapat membahagiakan ibu dan menebus kesalahan lalu,” katanya.
Selepas PMR, Hariff ditawarkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Beseri, Perlis sebelum memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004.
Di UKM, dia diangkat pelajar terbaik di Majlis Anugerah Kolej Tun Syed Nasir, UKM dan disampaikan sendiri Naib Canselor kerana mendapat empat anugerah dekan dalam peperiksaan semester.
UKM menawarnya sebagai tutor dan peluang menyambung pengajian di peringkat PhD untuk tempoh empat tahun di sebuah universiti di Australia.
Namun, dalam masa yang sama dia juga mendapat tawaran Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
“Dua tawaran serentak itu menyebabkan saya keliru tetapi atas nasihat Dr Tengku Asmadi, saya memilih PTD.
“Bukan mudah mendapat jawatan PTD apatah lagi saya wakil tunggal ditempatkan di Bahagian Khas, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
“Di sini, saya banyak mendapat motivasi daripada Ketua Pengarah ICU (ketika itu), Tan Sri Khalid Ramli yang saya anggap mentor.
“Ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya banyak melakukan kerja-kerja memantau projek pembangunan.
“Ketika Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM), saya dilantik pegawai khasnya untuk menguruskan projek pembangunan,” katanya.
Dia mengakui macam tidak percaya kerana cita-citanya dulu mahu menjadi Perdana Menteri kini semakin dekat kerana kini berkhidmat dengan TPM.
“Apabila memikirkan semula menjadi pegawai khas kepada TPM di usia 26 tahun, ia seperti mimpi kerana tidak sangka cita-cita mahu menjadi PM kini Allah beri jalan.
“Saya banyak belajar daripada Tan Sri Muhyiddin terutama bagaimana membuat keputusan kritikal dan ilmu politik.
“Saya bersyukur kerana budak nakal dan samseng yang dulunya boleh dianggap mat rempit, kini diberikan Allah jalan mencapai cita-cita menjadi PM, insya-Allah” katanya.
Hariff mengakui, pengalaman zaman pelajar banyak memberinya inspirasi dan dorongan untuk belajar dan terus cemerlang.
Dia yang berkahwin dengan Rosnita Abdul Rahman, dikurniakan seorang cahaya mata, Qaisar Danish berusia dua setengah tahun.
Ibu sentiasa doa kejayaan anak
“Saya tidak pernah memukul anak apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat kerana ia adalah satu doa...,” kata Fauziah Tawil, 52, ibu kepada Muhamad Hariff Ahamat.
Fauziah mengakui, ketika Hariff di sekolah rendah, kehidupannya agak susah apatah lagi dia hanya kerani di sebuah syarikat swasta manakala suaminya, Ahamat Leman, 61, berniaga daging di pasar Ampang, Selangor.
Katanya, banyak cabaran membesarkan anak apatah lagi lelaki. Tiga anaknya lelaki dan seorang perempuan.
“Saya tidak mampu memberi kemewahan kepada anak-anak, sedangkan kawan-kawannya (Hariff) anak orang berada.
“Tetapi saya sentiasa berdoa supaya dia (Hariff) dipelihara Allah dan menjadi anak berguna. Hanya pelajaran harta yang mampu saya berikan kepada anak-anak,” katanya.
Menurutnya, ketika mahu menghantar Hariff menghadiri program motivasi, dia terpaksa mencari wang RM400 kerana perlu membawa sekali rakan Hariff.
“Gaji bukan besar ketika itu tetapi demi anak-anak, saya sanggup lakukan apa saja kerana pelajaran adalah harta mereka apabila dewasa.
“Kini, melihat Hariff berjaya, saya bangga dengan dia. Saya tahu dia anak yang baik, cuma ketika itu terpengaruh dengan rakan-rakan,” katanya.
Dia tiada petua mendidik anak melainkan banyak bersabar dengan karenah mereka.
“Kenakalan anak-anak adalah ujian Allah kepada kita, sebagai ibu bapa kita perlu banyak berdoa, insya-Allah anak-anak akan mendapat keberkatan,” katanya.
Sumber; Harian Metro, 31/1/2013
0 Comments:
Post a Comment