By Cikgu Ma Thursday, May 16, 2013
Dunia Gadis, jiwa remaja, kaunseling individu, kecelaruan identiti, kecelaruan seksual, Kemahiran Hidup, Kembali Kepada Al Quran, LGBT, Pendidikan Perkembangan Remaja, pengurusan cinta
Zina sejenis Dilema ketagih seks sejenis
Entry ini saya petik daripada Sesi Kaunseling Remaja bersama Dr
Sapora Sipon. Ia dimuatnaik di sini sebagai kemudahan untuk membuat
rujukan dan renungan bersama.
Ruangan ini merupakan sesi kaunseling bertulis antara remaja dan Kaunselor Dr Sapora Sipon akhbar Harian Metro.
Saya pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota. Masalah saya ialah terbabit dengan hubungan sejenis.
Mula-mula hanya ringan-ringan dan suka-suka, akhirnya kini saya
terjebak lebih jauh. Saya boleh dikatakan sudah ketagih seks bersama
rakan wanita saya.
Saya dalam dilema kerana takut pelajaran terganggu kerana ketagihan
itu. Malah, saya sudah beberapa kali terlanjur dengan rakan serumah
apabila kesunyian.
Tolonglah saya Dr. Saya sudah tidak tahu apa yang harus saya
lakukan. Saya harap agar saya dapat mengubah kehidupan saya yang pahit
ini.
Model Sayangku Mekanisme Bendung Seks Bebas
RAMAI menganggap isu seks sesuatu yang remeh-temeh dan memualkan
serta tidak sesuai dimasukkan dalam silibus sistem pendidikan formal.
Sering dilemparkan dengan paradigma lama, pendidikan yang asalnya
bertujuan mahu menyelamatkan maruah remaja tidak habis dipersoalkan
matlamatnya.
Mereka berpendapat, bantuan itu ibarat 'bersetuju' atau mahu
menggalakkan perlakuan luar norma masyarakat dilakukan remaja
berkenaan.
Yang menghairankan, pihak itu hanya pandai mengkritik,
tapi enggan turun padang menghulurkan bantuan sedangkan keadaan gejala
sosial seks bebas di kalangan remaja kian meruncing.
Akibatnya, pihak yang disasarkan bantuan semakin jauh terjebak dan seolah-olah hilang punca bantuan.
Siapakah harus dipersalahkan dan apakah usaha boleh diambil bagi
membantu mereka daripada terus hanyut dan teraba-raba mencari bantuan.
Pensyarah
kanan, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr
Faizah Abd Ghani berkata, masyarakat seharusnya peka dan menangani isu
seks bebas di kalangan remaja secara bersama, bukannya hanya mengkritik.
Beliau berkata, jika dulu isu ini terpencil, kini ia bersifat global hingga 'memaksa' semua pihak bersatu menanganinya.
"Isu ini tidak boleh dipandang ringan, tetapi kebanyakan daripada kita menganggap ia tanggung jawab satu pihak saja.
"Persoalannya, seks bebas semakin membarah dan meruncing dalam kehidupan remaja, usah lagi lepas tangan.
PENYESALAN SEORANG PEMBAWA HIV (TRUE STORY)
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Khusus untuk pelajar di sekolah, marilah sama-sama kita hindari diri kita dari terjebak ke kancah najis dadah dan pergaulan seks bebas.
Pada entry ini, saya sertakan pengakuan seorang Hamba Allah (kisah benar) dan telah mendapat keizinan tuan punya kisah dan tuan punya blog akuhivpositif untuk saya publishkan pengalaman beliau bagaimana akhirnya beliau disahkan pembawa HIV Positif. Kita ikuti pengalaman hidup sebagai satu iktibar dan pengajaran.
PENYESALAN SEORANG PEMBAWA HIV (TRUE STORY)
Catatan pengalaman beliau ini sebagai sempadan dan renungan bersama.
Aku sangat-sangat hargai perkongsian ini dan mengagumi keberanian beliau mengakui kesilapan lampau. Mengakui segala kesilapan dan dosa adalah antara asas kesempurnaan taubat nasuha.
Sama-samalah kita hadiahkan doa kepada beliau semoga sentiasa tabah, istiqamah, dianugerahkan umur dan kesihatan yang berpanjangan, dipelihara segala aib dan maruah serta memperolehi nikmat khusnul khatimah.
Mari baca…
Salam buat Saudara AHP dan semua.
Ribuan maaf dari saya buat saudara AHP kerana lewat untuk kongsikan kisah Bagaimana saya menjadi seorang PEMBAWA HIV POSITIF.
Pertama sekali aku kongsikan kisah aku bukan untuk menagih simpati atau berbangga diri. Bukan juga untuk mengaibkan diri dan keluarga serta membuka ruang untuk dicemuh oleh orang lain.
Tapi aku hanya ingin berkongsi kisah suka dan duka menjadi PEMBAWA HIV POSITIF sebagai pedoman dan hidayah buat orang lain supaya tidak dijangkiti HIV.
Terperangkap dalam tubuh lelaki
TERPERANGKAP dalam tubuh yang salah - setidak-tidaknya itulah tanggapan golongan 'mak nyah' yang rata-rata percaya mereka adalah wanita tetapi terperangkap dalam tubuh lelaki.
Keadaan ini menjerumuskan golongan ini dalam dilema untuk meletakkan kedudukan diri mereka dalam masyarakat kerana secara fizikal mereka lahir sebagai lelaki tetapi memiliki keinginan, nafsu dan naluri wanita.
Kegagalan menempatkan diri dalam masyarakat membuatkan golongan ini berasa terasing atau mengasingkan diri lalu membentuk kelompok sendiri
Lebih malang apabila golongan ini rata-ratanya terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan sebagainya sehingga melekat sebagai stigma yang sukar untuk dikikis dalam masyarakat.
Malah, ada sesetengah golongan ini bertindak keterlaluan apabila mengambil keputusan untuk menukar jantina dengan melakukan pembedahan.
Sudahlah berperwatakan menyerupai wanita hukumnya haram dan dikutuk oleh agama, inikan pula mengubah kejadian Allah tanpa ada sebarang alasan yang dibenarkan oleh Islam.
Berpeluang mendekati golongan ini baru-baru ini ternyata mereka mempunyai cara kehidupan tersendiri selain mempunyai kerjaya tetap untuk meneruskan kehidupan.
Yang pasti, walaupun selesa dengan cara masing-masing, mereka sebenarnya perlu dibantu untuk keluar daripada kepompong seterusnya menjalani kehidupan seperti insan-insan lain di dunia ini iaitu sebagai seorang lelaki sejati.
Apa yang menarik hendak dipaparkan kali ini ialah dilema mereka sebagai seorang mak nyah dan apakah faktor yang menyebabkan mereka menjadi demikian.
Tidak pernah terfikir apatah lagi merancang untuk melakukan pembedahan menukar jantina, tetapi segala-galanya berlaku dengan tiba-tiba.
Itulah yang terjadi kepada Amy (bukan nama sebenar) di mana dia tidak pernah menyangka satu hari nanti dia bukan sahaja merupakan seorang mak nyah yang berperwatakan seperti seorang wanita tetapi turut mempunyai alat kelamin perempuan.
Malah, katanya, walaupun (alat kelamin) tidak boleh berfungsi sepenuhnya seperti mengandung dan melahirkan anak, dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku malah amat berbangga dengan keadaan dirinya hari ini.
"Pembedahan pertukaran jantina telah dilakukan 15 tahun lalu dan ketika itu saya berumur sekitar awal 30-an.
"Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak pernah merancang apatah lagi terfikir untuk menukar jantina waktu itu.
"Tetapi segala-galanya berlaku dalam sekelip mata di mana satu hari tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran 'saya nak mati sebagai seorang perempuan' dan tidak sampai seminggu segala-galanya berubah,'' ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai pembedahan yang dilakukan, Amy menerangkan bahawa ia hanya mengambil masa beberapa jam dan tidak sakit seperti yang diuar-uarkan.
Ini kerana, katanya, keesokan hari dia sudah disuruh berjalan oleh doktor dan hari keempat selepas pembedahan dia dibenarkan pulang.
Dia hanya kelihatan pucat dan letih mungkin disebabkan kehilangan banyak darah ketika melakukan pembedahan.
Beberapa bulan selepas pembedahan dilakukan, Amy turut memberitahu bahawa dia juga tidak mengalami sebarang jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan sembuh seperti orang lain yang menjalani apa jua pembedahan.
"Di sini saya hendak memberitahu bahawa mereka (mak nyah) yang melakukan pembedahan dan memberitahu bahawa ia sakit macam nak mati adalah bohong semata-mata.
"Saya rasa orang itu tak buat pembedahan sebab saya tidak pula mengalami sakit sedemikian. Malah saya dibenarkan pulang selepas empat hari tinggal di hospital,'' katanya lagi.
Mengimbas kembali detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah, Amy memberitahu segala-galanya bermula sewaktu di alam kanak-kanak.
Menegaskan bahawa dia tidak dipengaruhi oleh adik beradik perempuannya yang lain mahupun keadaan sekeliling, sebaliknya berpunca daripada diri sendiri.
Ini kerana dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita termasuk bermain dengan permainan wanita seperti anak patung dan masak-masak.
Bagaimanapun, jelas Amy, pernah terdetik di hatinya sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian.
Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.
Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.
Akhirnya, dia meneruskan kata hati sehinggalah membuat keputusan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina.
Hari ini, Amy bukan sahaja merupakan seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.
Amy sememangnya merupakan seorang individu yang amat bertuah kerana walaupun di awal perubahan dirinya ia ditentang hebat oleh keluarga tetapi hari ini dia sudah boleh diterima malah dia juga sudah 'berkahwin'.
By Puan Ummi Friday, July 22, 2011
catatanku, Isu Gender, kaunseling, kecelaruan identiti, kecelaruan seksual, keibubapaan, Kembali Kepada Al Quran, Kesihatan, Kesihatan Psikologi, parenting, prihatin, psikososial, suami isteri
Iktibar dari kisah Ashraf
Assalamu'alaikum w.b.t & Selamat Sejahtera kepada pelayar teratak myraudhatulukhuwah ini.
Apa khabar kawan-kawan myraudhatulukhuwah? Semoga hari yang ceria ini memberi cahaya baru untuk kehidupan kita,insyaAllah.
Sebahagian luahan hati ibu Ashraf seperti yang tersiar di Harian Metro,
“Cuba bayangkan jika mereka berada di tempat kami,” katanya yang mengakui dia dan suami amat tertekan dengan pandangan orang ramai yang menuduh mereka gagal menjadi ibu bapa yang baik.
“Kami sedih dengan tohmahan sesetengah pihak termasuk media apabila ada beranggapan kami membelakangkan Tuhan dengan menyokong keputusan Mohd Ashraf menukar nama dan jantina dalam kad pengenalannya.
“Hakikatnya kami sekeluarga tidak pernah menyokong tindakannya dan amat terkejut bila dia membuat pembedahan menukar jantina sehingga kami pernah tidak mengakuinya anak,” katanya.
Mak Yah mengakui dia menyedari Mohd Ashraf memiliki ciri-ciri kewanitaan sejak bayi lagi, namun terkejut apabila anaknya melakukan pembedahan jantina pada 2009 dan ketika itu dia dan suami menunaikan haji di Makkah.
Salam ketabahan untuk Mak Yah. Setiap ibu bapa, ada ujian masing-masing. Berat mata memandang, beraT lagi bahu memikul.
Petikan pandangan Presiden Persatuan Genetik Malaysia merangkap Pakar Perunding Klinikal Sitogenetik, Dr Roziana Ariffin Berkaitan individu transeksual yang pernah tersiar di akhbar Harian Metro beberapa ketika dahulu:
Presiden Persatuan Genetik Malaysia merangkap Pakar Perunding Klinikal Sitogenetik, Dr Roziana Ariffin menegaskan masalah ketidaknormalan kromosom adalah sebahagian daripada jawapan kepada masalah ini.
Selain itu, perkara itu juga membabitkan masalah di peringkat genetik molekul, protein dan epigenetik (perubahan genetik yang diwarisi). Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak wujudnya faktor lain seperti hormon, persekitaran dan psikologi yang juga menyumbang ke arah kecelaruan jantina.
Pandangan lanjut beliau sila klik, Empat punca kecelaruan jantina, di sini.
Pandangan blog akuhivpositif,
Peringatan untuk diri sendiri yang sentiasa alpa. Berita yang sarat dengan emosi dan pengajaran. Aku berpendapat, bila melibatkan isu berkaitan hukum hakam, pihak yang paling layak memberikan pandangan dalam soal ini hanyalah pakar psikologi, pakar perubatan dan pakar agama. Seelok-eloknya mereka yang mempunyai kemahiran dalam ketiga-tiga bidang tersebut sekaligus.
Semakin ramai pengamal perubatan yang di Malaysia yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam ketiga-tiga bidang ini. Mereka kebanyakannya bekas pelajar sekolah agama atau tahfiz yang menyambung pelajaran di bidang perubatan. Atau pengamal perubatan yang meningkatkan ilmu di bidang agama selepas menamatkan pengajian.
Info lanjut HIV Researcher, sila kli sini.
Ya, hari ini selain ramai bekas pelajar aliran agama dan juga para huffaz yang mengambil jurusan perubatan. Semoga kekeliruan ini dapat diselesaikan...
Entry myraudhatulukhuwah sebelum ini,
Kecelaruan Identiti, sila klik sini.
Solat Sunat Taubat, klik sini.
Artikel Menarik Berkaitan Islam dan taubat, http://insaaniyyah.blogspot.com/klik sini.
Pandangan Yang Berbahagia Datin Prof Dr Sapora Sipon dalam membantu salah seorang kliennya di akhbar:
Untuk adik berubah dari berorientasi seksual songsang kepada normal, lingkaran kehidupan ini perlu dipecah. Kita lihat lingkaran ini.
Info lanjut, Hati Anak, Trauma Perceraian Ibubapa,Dilema Nafsu Songsang, klik sini,
Baiklah. Mari kita ikuti berita yang tersiar di Berita Harian semalam.
Modul bimbing golongan hadapi krisis identiti dikaji
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan merangka modul bimbingan yang dapat membantu golongan yang menghadapi krisis identiti, termasuk mereka yang sudah menukar jantina untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata masyarakat perlu meneliti dan memahami masalah golongan terbabit, bukan sekadar menghukum mereka.
Sambil membidas tindakan segelintir masyarakat yang terus menghukum Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz yang memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menukar nama dan status jantinanya, beliau berkata masyarakat perlu menawarkan bantuan bagi mengelak golongan itu terus terumbang ambing.
Mohd Ashraf, 25, membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi pada 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelaki.
Permohonannya menukar nama dan status jantinanya dalam MyKad kepada Aleesha Farhana ditolak, Isnin lalu.
Mashitah berkata, walaupun belum ada program atau model khusus untuk mendidik dan membimbing golongan ini, namun kes Mohd Ashraf membuka mata banyak pihak termasuk kementeriannya untuk memperkenalkan program khusus untuk membantu golongan ini.
Mengikut Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, yang dihubungi semalam, ada lebih 6,000 lelaki berpakaian dan berperwatakan wanita di ibu negara pada tahun 1980-an dan yakin jumlah itu sudah bertambah.
Mashitah berkata, masyarakat tiada hak untuk terus menghukum golongan ini kerana berdasarkan hadis, ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang, meneruskan pembunuhan mangsa ke-100 kerana tidak diberi ruang untuk bertaubat selepas menemui seorang alim ulama.
Bagaimanapun, selepas menemui ulama kedua yang memberi ruang kepada lelaki itu kembali ke jalan diredai, akhirnya dia bertaubat dan diberikan keampunan oleh Allah.
“Jadilah kita seperti ulama kedua yang memberi bimbingan kepada mereka yang pernah membuat dosa. Hentikan segera cemuhan, kecaman dan caci maki kepada golongan berkenaan sehingga meletakkan ahli keluarga dalam keadaan serba salah.
“Bagi saya jalan terbaik adalah membimbing golongan ini untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas menjalani pembedahan menukar jantina,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Harussani yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan juga menasihatkan masyarakat memahami dan cuba mendidik golongan ini bukannya menyisihkan mereka.
Beliau menasihatkan Mohd Ashraf supaya tidak berputus asa dan bertaubat segera serta menerima hakikat kejadian Allah tidak boleh diubah.
Katanya, penukaran jantina lelaki kepada wanita atau sebaliknya, adalah haram kerana seseorang yang dijadikan Allah sebagai lelaki, tidak akan berubah sifat kelelakiannya, walaupun individu itu berusaha mengubahnya.
Malah, katanya, berdasarkan penyelidikan pada 1985, pakar psikologi dan pakar bedah jantina dalam dan luar negara sependapat bahawa alat kelamin yang dibentuk daripada pembedahan, tidak akan berfungsi.
“Jangan lakukan tindakan yang akhirnya membawa penyesalan, sebaliknya segera bertaubat dan berpakaian mengikut jantina asal serta hentikan pengambilan sebarang hormon yang boleh mengubah fizikal dan emosi mereka,” katanya.
Kes seumpama itu pernah dirujuk ke Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan apabila seorang lelaki menukar jantina pada 1990 dan berjaya mendapat perakuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar nama kepada nama wanita kerana mahu mengahwini seorang lelaki.
Bagaimanapun, menurut portal rasmi Fatwa Malaysia iaitu e-Fatwa, Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) yang membincangkan perkara itu mengikut hukum muktabar dalam Islam pada 1993 memutuskan penukaran jantina lelaki kepada wanita adalah haram dan permohonan untuk bernikah tidak dibenarkan
Statistik Pesakit HIV/ AIDS Semakin Bertambah
SETAKAT ini seramai 13,000 orang rakyat Malaysia mati lantaran virus rentan penyakit atau lebih dikenali HIV. Akibat sindrom kurang daya tahan penyakit itu jugalah 91,000 rakyat Malaysia dilemparkan dengan stigma negatif lantaran hidup dengan HIV.
Namun, dalam memastikan stigma itu dikikis selain menyebarkan sebanyak mungkin kesedaran mengenai kaedah menjauhi HIV, ramai yang sanggup ke depan untuk bergelar pejuang HIV/AIDS.
Sebagai mengenangkan pemergian insan-insan yang telah pergi meninggalkan fana dunia untuk menghadap Ilahi, Sambutan Hari Memperingati Pejuang HIV diadakan di 115 buah negara seluruh dunia pada tanggal tarikh 15 Mei saban tahun sejak 1983.
Touching Lives mengambil tempat sebagai tema sambutan tahun ini, selari dengan mesej yang hendak dihubungkan kepada orang ramai bahawa HIV sebenarnya telah dan boleh menyentuh kehidupan kita sama ada sedar mahu pun tidak.
Sebaran AIDS nelayan
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor pula pada masa yang sama menyeru wanita mengambil inisiatif sendiri untuk melengkapi pengetahuan mengenai cara perebakan virus HIV.
“Wanita sendiri perlu sedar dan diberi kesedaran supaya berhati-hati serta bersedia untuk berdepan dengan cabaran penyakit ini yang kadangkala merebak tanpa disedari,” tegasnya dengan memberikan contoh kawasan perkampungan nelayan negeri Pantai Timur yang kini diancam HIV berpandukan kajian terbaru.
Katanya, ada antara golongan nelayan lelaki di pesisir pantai yang berkongsi-kongsi pasangan tanpa perlindungan seks yang akhirnya menjarahkan virus HIV kepada isteri dan keluarga sendiri.
Berlandaskan fakta terkini itu juga, Noorul Ainur menjelaskan, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian telah menggandakan usaha mengekang bahana itu.
“Kita telah menempatkan pegawai khas di kawasan-kawasan pedalaman untuk mendidik masyarakat bukan sahaja golongan wanita bahkan, lelaki yang juga menjadi punca menularnya HIV menerusi hubungan kelamin tanpa perlindungan,” hurainya mengenai inisiatif holistik yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Harapannya, tiada lagi stigma yang masih melekat dalam sanubari orang ramai berkenaan isu HIV dan AIDS.
Seks penyebab utama
Menurut Presiden Yayasan Pink Triangle (PT) Malaysia, Hisham Hussein, sambutan itu memberi peluang kepada seluruh komuniti memperingati 13,000 orang rakyat Malaysia yang telah mati akibat HIV.
Ujarnya, seks adalah penyebab utama epidemik HIV di Malaysia kini berikutan sikap sambil lewa segelintir individu yang tidak melindungi diri ketika melakukan hubungan seks.
“Sepatutnya, kita semua perlu bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak tahu sama ada kita punyai virus itu atau pasangan kita yang milikinya. Oleh itu langkah perlindungan seperti pemakaian kondom dengan betul perlu diamalkan,” getusnya.
Kaedah jangkitan melalui seks ceritanya kini mencatatkan kadar setinggi 48.5 peratus berbanding penularan melalui perkongsian jarum suntikan atau penagihan dadah iaitu 47.6 peratus.
“Anda adalah siapa diri anda dan apa yang anda lakukan itu sebenarnya lebih utama, pasang nawaitu dengan betul supaya boleh membantu diri sendiri dan orang sekeliling,” pesan Hisham menyeru komuniti yang dijangkiti agar bekerjasama menghalang daripada merebaknya HIV.
Yayasan PT antara lainnya turut membekalkan ujian pengesanan HIV percuma yang menekankan aspek kerahsiaan dalam setiap sesi rawatan.
“Jika pesakit positif kuman HIV, khidmat kaunseling secara percuma akan diberikan tiga kali seminggu di dua pusat berasingan iaitu di Sungai Buloh dan di Jalan Tunku Abdul Rahman,” bicaranya yang bimbang akan penularan wabak HIV melalui kegiatan seksual golongan biseksual.
Ujarnya, jangkitan menerusi kecenderungan hubungan kelamin antara kedua-dua jantina yang berbeza lebih tinggi risikonya berbanding pasangan gay, mak nyah dan pekerja seks.
“Kita sebenarnya tidak sedar golongan biseksual lebih ramai bilangannya berbanding homoseksual atau heteroseksual maka, dengan jumlah ini juga kadar jangkitan HIV lebih tinggi dan cepat menular,” ulasnya ketika ditemui penulis di Majlis Sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia baru-baru ini.
SUMBER: KOSMO.
By Cikgu Ma Monday, August 16, 2010
Isu Gender, kaunseling individu, kecelaruan emosi, kecelaruan identiti, kecelaruan seksual, kemahiran asertif diri, Kemahiran Membuat Keputusan, LGBT, psikososial
LELAKI GAY MAHU BERUBAH
Entry ini saya petik daripada Sesi Kaunseling Remaja bersama Dr Sapora Sipon. Ia dimuatnaik di sini sebagai kemudahan untuk membuat rujukan dan renungan bersama.
Ruangan ini merupakan sesi kaunseling bertulis antara remaja dan Kaunselor Dr Sapora Sipon akhbar Harian Metro, klik sini.
SAYA lelaki yang berperwatakan lembut dan mempunyai kekasih gelap. Naluri songsang itu bermula sewaktu berumur 12 tahun.
Abang saudara saya mengajar bagaimana melakukan hubungan sejenis. Pada mulanya saya agak takut tetapi lama kelamaan perbuatan itu saya lakukan hampir setiap hari. Pelbagai cara dan aksi saya lakukan.
Lama kelamaan, saya sedar apa yang dilakukan dan cuba mengelak perhubungan songsang itu tetapi gagal. Tolonglah saya.
Ingin berubah
Petaling Jaya
DR tidak pasti apa yang adik inginkan sama ada mahu meneruskan kehidupan sebagai seorang gay atau menghentikan hubungan seksual songsang itu. Adik hanya menjelaskan pelbagai cara sudah dilakukan untuk menghentikan perbuatan hubungan seks sesama jenis, namun tetap gagal.
Adik juga menceritakan ciri perwatakan yang agak lembut dan sejarah terbabit dengan hubungan sesama jenis. Adik sendiri mengatakan hati tetap tidak berubah untuk terus melakukan hubungan sejenis. Ini membuatkan saya tertanya-tanya apa sebenarnya persoalan diri adik. Namun, Dr andaikan adik mempunyai keinginan untuk berubah dengan menceritakan kisah hidup adik. Faktor persekitaran membuatkan adik terjebak sebagai seorang lelaki yang menyukai lelaki. Dr faham bukan mudah meninggalkan tabiat seks luar tabii ini kerana sudah terlalu lama mendapat keseronokannya. Dr melihat permasalahan adik dari beberapa sudut. Pertama, jika adik ingin keluar daripada kehidupan seorang homoseksual, ia memerlukan perubahan dari segi pemikiran, gaya hidup, sikap dan keinginan seksual. Keinginan dan semangat yang kuat juga amat penting untuk berubah.
Pelbagai cara dan usaha adik lakukan tidak akan berhasil jika ruang lingkup hidup terus dikelilingi perkara yang boleh meneruskan perkara terkutuk ini. Jika bertekad untuk mengubah diri, adik perlu mendapat rawatan, mendekatkan diri dengan Allah di samping mendapatkan khidmat kaunselor. Ada rawatan yang boleh mengurangkan ketagihan seks. Isunya ialah sama ada adik ingin berubah dan mendapatkan rawatan berkenaan atau tidak.
Dari sudut agama, adik sendiri sedar dan tahu perbuatan itu tidak diterima mana-mana agama pun. Perbuatan ini bertentangan dengan sifat tabii manusia. Dalam Islam, banyak ayat al-Quran yang mengharamkan perbuatan seks sesama jenis.
Dari sudut kesihatan, hubungan seks sesama lelaki mempunyai risikonya. Contohnya, sindrom kurang daya tahan melawan penyakit atau Aids ( Acquired Immune Deficiency Syndrome). Jika adik meneruskan aktiviti seks sejenis, kemungkinan adik untuk tidak berkahwin adalah tinggi kerana minat terhadap wanita sudah tiada. Adalah sukar untuk membahagiakan pasangan dalam perkahwinan tanpa diiringi hubungan seks yang memuaskan.
Banyak kesan negatif jika adik meneruskan kehidupan gelap itu. Walaupun diselubungi keseronokan seksual, kesan buruk lebih banyak. Adik perlu memikirkan perkara ini dan tidak hanya memikirkan elemen keseronokan. Dr harap adik dapat memilih kehidupan yang terbaik dan memilih jalan diredai.
Pemuda Gay hidup tunggang-langgang
Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga mendapat manfaatnya
APA yang bakal saya beritahu Dang Setia adalah dosa dan bebanan yang saya tanggung bertahun-tahun lamanya. Untuk lebih memudahkan, biar saya senaraikan perkara itu:
i. Ketika saya berumur 11 tahun, seorang saudara meliwat saya ketika saya tidur. Akibat peristiwa itu saya menjadi homoseksual atau gay. Sampai sekarang saudara saya yang kini berumur 32 tahun masih meliwat saya.
Jika saya menolak, dia mengugut akan memberitahu kawan saya bahawa saya gay. Keadaan ini membuatkan saya sungguh tertekan.
ii. Pada awal 2006, saya berkenalan dengan gadis bernama Y. Kami bercinta hampir dua tahun. Hubungan yang pada mulanya saya sangka panas hinggakan ke petang, rupa-rupanya tidak.
Kekasih saya memutuskan hubungan secara tiba-tiba tanpa usul periksa. Saya tidak pernah mengongkongnya, malah pernah membenarkannya keluar bersama abang angkatnya ke Kuala Lumpur. Dia tidak tahu saya gay.
Saya terpaksa menanggung kesedihan ini seorang diri. Saya sedar saya gay tapi saya ada naluri untuk berkahwin dan memiliki keluarga bahagia. Sampai sekarang saya masih mengingati bekas kekasih saya walaupun dia sudah ada pengganti dan akan berkahwin akhir tahun ini.
iii. Perkara ini mungkin membuatkan Dang Setia tergamam. Selama hidup, saya tidak pernah mengerjakan solat. Keadaan ini membuatkan diri saya berasa sungguh hina.
Saya tidak menyalahkan ibu bapa kerana mereka memberi tunjuk ajar hal agama, namun kelakuan saya yang suka memberontak menyebabkan saya mengambil sikap sambil lewa berkenaan solat. Mungkin sebab itu hidup saya tunggang-langgang dan segala kerja saya tidak menjadi.
Saya berharap sangat Dang Setia dapat membantu menyelesaikan masalah saya supaya saya lebih tabah mengharungi hari mendatang.
KHAI
Damansara Utama
Kuala Lumpur
Untuk lebih memudahkan juga, Dang Setia akan menjawab masalah saudara berdasarkan senarai yang diberi:
i. Kebanyakan homoseksual, tidak kira sama ada gay atau lesbian selalu berhujah, orang lain tidak faham masalah mereka. Hanya yang mengalami tahu kesukaran yang mereka hadapi.
Dang Setia tidak menafikan hujah itu dan bukan tidak bersimpati atau menghina. Namun apabila amalan seks sesama kaum sejenis dilarang Allah di dalam al-Quran, kita wajib mematuhinya.
Tiada kompromi dalam hal ini. Apabila Allah kata tak boleh, tak bolehlah jawabnya. Apabila Allah melarang, pasti ia untuk kebaikan. Jika kita mengingkarinya, pasti akan mengundang musibah.
Sekadar satu contoh, hari ini siapa mengamalkan homoseksual berisiko tinggi menghidap penyakit Aids yang sehingga kini masih tiada penawarnya.
Bayangkan juga, jika lelaki berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita, bagaimana zuriat boleh dilahirkan? Apabila tiada zuriat, pasti sesebuah masyarakat lemah kerana tiada yang muda untuk menggantikan yang tua dan tiada yang lahir untuk menggantikan yang mati.
Oleh itu, tiada alasan yang boleh saudara beri untuk menghalalkan apa yang diharamkan Allah, termasuk juga ugutan peliwat untuk mendedahkan aib saudara.
Masalah saudara memang rumit, namun itu tidak bermakna saudara perlu menyerah kalah dan terus-terusan melakukan perkara yang dilarang Allah.
Saudara perlu berani berjuang demi keredaan Allah. Katakan kepada si peliwat, jika dia berterusan meliwat dan mengugut, saudara akan melaporkan perkara itu kepada polis. Ini bukan sekadar cakap kosong, sebaliknya saudara perlu benar-benar melakukannya.
Jangan malu membawa perkara ini ke tengah. Ya, mungkin ada pihak memandang serong kepada saudara, namun sematkan di dalam hati — biarlah manusia mencaci, asalkan Allah mengasihi kita.
Sentiasalah memotivasikan diri dengan menginsafi peringatan Allah di dalam al-Quran:
“Ingatlah betapa azabnya kaum Nabi Lut. Mereka tertarik kepada kaum sejenis iaitu lelaki, mengadakan hubungan seks dengan lelaki hinggalah Allah menterbalikkan bumi dan menghujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar.”
ii. Apabila saudara terbuka pintu hati untuk menjalin hubungan cinta dengan wanita, itu Dang Setia anggap satu hidayah Allah untuk menyedarkan saudara supaya tidak terus hidup dalam dunia homoseksual yang dilaknati Allah.
Seharusnya saudara juga melihatnya daripada perspektif sama kerana hanya dengan cara itu saudara lebih beriltizam untuk meninggalkan cara hidup songsang.
Apabila saudara berkeinginan untuk berkahwin dan memiliki keluarga bahagia, ia juga petanda kuat yang saudara mampu menjadi lelaki normal. Yang penting sekarang ialah usaha dan kesungguhan.
Mungkin berkahwin pendekatan terbaik untuk menutup ruang pembabitan saudara dalam gejala seks songsang. Justeru, berusahalah mencari calon isteri.
Jika sudah putus cinta dengan Y, tiada guna dikenang dan diratapi lagi kehilangannya, apatah lagi dia kini ada pengganti. Jadi, saudara juga perlu segera cari pengganti.
Sentiasa sematkan di dalam hati, apa yang saudara lakukan ini semata-mata untuk mencari keredaan Allah. Jangan mudah putus asa. Jika kita berusaha ke jalan Allah, Allah akan membantu dan mempermudahkan usaha kita.
iii. Ya, Dang Setia bersetuju, kegagalan menunaikan kewajipan bersolat menjadi punca segala permasalahan saudara sehingga menyebabkan kehidupan menjadi tunggang langgang.
Ini kerana Allah memberitahu kita, sesungguhnya solat mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Jika kita tidak menunaikan solat atau jika solat kita tidak sempurna, mudahlah kita melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Jika kita ingin bina kubu atau benteng untuk mengelak melakukan perbuatan keji dan mungkar, kita wajib menunaikan solat. Solat juga dianggap tiang agama. Orang yang tidak menunaikan solat dianggap meruntuhkan agama.
Malah solat juga membezakan seorang muslim dengan kafir. Bagaimana kita boleh mengatakan diri kita muslim jika kita tidak menunaikan solat.
Oleh itu, segera bertaubat dan menunaikan solat. Jangan sekali-kali beri alasan tidak tahu. Jika tak tahu, saudara wajib belajar. Kalau tuntutan dunia membolehkan seseorang itu belajar sehingga menggenggam ijazah dan PhD, takkan kita tak boleh belajar cara bersolat yang betul.
Sesungguhnya terlalu banyak nikmat dan manfaat di sebalik amalan solat yang semuanya hanya akan diperoleh selepas kita menunaikannya.
Disclaimer
(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .