Contohnya pelajar yang mengalami kesesakan nafas. Artikel ini sangat berfaedah kepada Dunia Cikgu Kaunseling dalam memberi bantuan awal kepada pelajar berkenaan. Sekian, terima kasih.
"TEKAN DADA...kaedah ini dapat memulihkan edaran darah yang masih mengandungi oksigen ke jantung dan otak."
“TEKAN kuat, 100 kali, sedalam dua inci.” Bagaikan masih terdengar-dengar suara lebih 300 peserta kelas bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang menyebut ayat ini berulang kali sebelum meletakkan tangan ke dada patung model latihan. Bermacam aksi peserta boleh dilihat ketika memberi bantuan kepada ‘pesakit’ yang terbaring di atas lantai di perkarangan Plaza Mont Kiara.
Ada yang meletakkan tangan terlalu tinggi, beralih ke kiri atau ke kanan di atas ‘buah dada’ patung (usah fikirkan yang bukan-bukan kerana semua patung leper dadanya) selepas kiraan ke-50. Tidak kurang juga yang menghela nafas lega apabila Pengarah Perubatan Pusat Pakar Global Doctors (Global Doctors), Dr Navindra Nageswaran menyebut angka 100.
Memberikan bantuan CPR memang boleh menyebabkan seseorang berasa penat, terutama jika dilakukan sendirian dalam keadaan cemas dan tertekan. Namun kaedah CPR baru yang diajar kakitangan perubatan Global Doctors itu sebenarnya adalah jauh lebih mudah berbanding kaedah CPR konvensional yang diperkenalkan 50 tahun lalu.
Ini kerana, berdasarkan garis panduan CPR yang dikemaskini tahun lalu, kita hanya perlu menekan dada pesakit dan tidak payah lagi memberi bantuan dari mulut ke mulut. Kajian setempat dan antarabangsa mendapati di kalangan yang tahu ini, 45 peratus doktor dan 80 peratus jururawat tidak bersedia melakukan CPR atas pelbagai sebab.
Antaranya risau seandai melakukannya dengan cara salah, jijik untuk memberi bantuan pernafasan dari mulut ke mulut dan kebimbangan paling tidak berasas ialah takut dijangkiti penyakit daripada pesakit, sedangkan mereka tahu pesakit akan menemui ajal jika tidak diberi bantuan.
Di negara kita, pengetahuan mengenai teknik melakukan CPR masih rendah, dianggarkan hanya 10 hingga 15 peratus yang tahu melakukannya dan kebanyakan mereka adalah kakitangan perubatan. Kajian Bantuan Kecemasan dan CPR Ke Atas Kakitangan Kesihatan Malaysia pada 2005 turut menunjukkan kesimpulan mengecewakan kerana di kalangan pekerja perubatan terlatih pun, hanya 50 peratus yang yakin dapat melakukan CPR.
Ketidakselesaan untuk memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut juga dialami penduduk negara maju dan ia dianggap masalah besar kerana dalam menimbangkan antara mahu membantu atau tidak; sel otak pesakit yang tidak menerima bekalan oksigen dalam tempoh empat hingga enam minit akan tenat dan peluang untuk pesakit sembuh seperti sedia kala amat tipis.
Menurut Dr Navindra, kegagalan jantung berlaku apabila jantung mangsa berhenti mengepam darah yang boleh disebabkan serangan jantung, lemas, renjatan elektrik atau tercekik dan waktu paling kritikal untuk melakukan CPR ialah dalam masa beberapa minit pertama selepas jantung berhenti berdegup bagi membolehkan otak terus menerima bekalan oksigen.
“Pengetahuan mengenai CPR amat penting kerana keadaan kecemasan ini boleh berlaku pada sesiapa, bila-bila masa dan di mana saja. Inilah sebabnya kita perlu sentiasa bersedia dan setiap keluarga seharusnya tahu melakukan CPR, apatah lagi kini penyakit jantung menjadi pembunuh utama di negara kita,” katanya dalam program latihan sempena ulang tahun ke-50 teknik CPR anjuran bersama Global Doctors dan Sunrise Berhad.
Kajian sebelum ini turut mendapati kira-kira 70 peratus pesakit yang mengalami serangan jantung buat kali pertama, meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital dan hampir 80 peratus kematian mengejut akibat serangan jantung berlaku di rumah dengan disaksikan ahli keluarga.
CPR yang diperkenalkan 50 tahun lalu terdiri daripada tiga perkataan penting iaitu: resusitasi (bermakna mengembalikan kehidupan), kardio (jantung) dan pulmonari pula merujuk kepada paru-paru.
Kaedah CPR lama membabitkan bantuan pernafasan mulut ke mulut (bagi membekalkan oksigen ke paru-paru) dan ‘mengepam’ jantung supaya boleh berdegup semula untuk mengepam darah ke otak. Bagaimanapun, dengan kaedah lama ini, hanya satu daripada tiga orang yang mendapat serangan jantung di Amerika Syarikat menerima bantuan CPR sebelum ambulans sampai.
Apa yang perlu dilakukan?
Menurut Dr Navidra, kaedah CPR baru ini amat mudah iaitu dengan menekan dada pesakit (di tengah-tengah dada antara payudara kiri dan kanan) sebanyak 100 kali dalam masa seminit. Ia bertujuan menghasilkan edaran tiruan dengan memberi tekanan pada jantung supaya ia boleh mengepam darah. Kaedah ini sangat penting untuk mengembalikan edaran darah yang masih mengandungi oksigen ke jantung dan otak.
Kaedah ini hanya membabitkan tiga langkah mudah iaitu D (bahaya), R (tindak balas) dan C (tekanan):
Letakkan tangan anda di tengah-tengah dada individu berkenaan (di antara payudara kiri dan kanan) dan mula menekan dengan kuat menggunakan tumit tapak tangan. Tekan kuat sedalam lima sentimeter (dua inci) sebanyak 100 kali dalam masa seminit. Untuk lebih mudah, kira satu hingga 10; sebanyak 10 kali.
Berhenti memberikan bantuan CPR apabila individu berkenaan mulai sedar.
Tanda pesakit mulai sedar ialah apabila dia tercungap untuk bernafas, membuka mata atau menggerakkan salah satu anggotanya. Jangan buang masa memeriksa sama ada nadi pesakit masih berdenyut atau tidak.
Jika selepas 100 kali dan individu berkenaan masih belum sedar, apa yang kita harus lakukan?
Terus memberi tekanan selagi terdaya sehingga bantuan atau ambulans sampai.
Adakah kemungkinan kita melakukan teknik CPR yang salah dan membahayakan pesakit?
Tidak perlu risau kerana mangsa masih mendapat sedikit manfaat daripada tidak diberi bantuan langsung. Jadi bagi yang tahu teknik CPR, tiada alasan untuk berasa bimbang ‘tersilap buat’ kerana yang lebih penting ialah menyelamatkan nyawa mangsa.
Apabila melakukan CPR, anda sebenarnya membekalkan darah beroksigen kepada jantung, otak dan organ badan penting hingga mangsa mendapat rawatan perubatan untuk mengembalikan denyutan jantung yang normal.
Jika CPR dilakukan dalam masa empat minit, mangsa ada peluang sekurang-kurangnya 45 peratus untuk hidup, tetapi jika CPR lewat diberi iaitu antara lapan hingga 10 minit, peluang untuk hidup hanya 10 peratus.
Dalam tempoh empat hingga enam minit tanpa oksigen, otak sudah mengalami kerosakan. Sel otak yang tidak menerima oksigen melebihi lima minit akan mengalami kerosakan kekal.
Ini bermakna sel otak akan mati dan tidak boleh diperbaiki. Lebih cepat mangsa diberi bantuan pernafasan, lebih tinggi peluangnya untuk hidup.
Bagaimanapun perlu diketahui, CPR saja tidak dapat menyelamatkan mangsa tetapi ia sangat penting untuk meneruskan bekalan darah yang mengandungi oksigen ke otak, paru-paru-paru dan organ lain sehingga bantuan kecemasan sampai.
Adakah kemungkinan tekanan yang terlalu kuat akan menyebabkan tulang dada mangsa patah?
Tulang dada atau sternum adalah tulang yang paling kuat dalam badan. Sangat jarang berlaku keretakan atau kepatahan tulang dada.
Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, cuma kira-kira 30 peratus pesakit yang mendapat serangan jantung patah tulang rusuk selepas mendapat bantuan CPR.
Kebanyakan kes itu pun membabitkan orang tua kerana rawan tulang mereka kurang anjal dan tulang juga lebih mudah patah. Ia masih lebih baik kerana mangsa dapat diselamatkan.
Adakah CPR dapat membantu jantung mengepam darah seperti biasa?
Tidak. Teknik CPR cuma dapat merangsang kira-kira 25 peratus fungsi jantung untuk mengepam darah. Ini dikira sudah cukup baik kerana jika CPR tidak dilakukan, otak tidak akan mendapat bekalan darah langsung.
Siapa perlu belajar CPR?
Semua orang - terutama individu yang kerap berurusan dengan orang ramai dan ada ahli keluarga menghidap masalah jantung, kencing manis, asma, strok, tekanan darah tinggi, sawan, barah atau penyakit kronik lain. Malah kanak-kanak berumur lapan tahun juga boleh lakukan CPR pada pesakit dewasa selagi mereka boleh menekan dada pesakit sedalam lima sentimeter.
“Kaedah ini sangat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Ia memang direka untuk orang awam supaya mereka dapat memberi bantuan kecemasan secepat mungkin sebelum ambulans sampai ke tempat kejadian. Ia jauh lebih mudah berbanding kaedah lama CPR yang memerlukan kita memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menekan dada pesakit sedalam lima sentimeter sebanyak 100 kali seminit,” katanya.
2 Comments:
Assalamualaikum cikgu ma/kak..
Belajar CPR pun melalui tv/bacaan mcm entry ni. Tak pernah dipraktikkan lagi. Tatau la macam mana kalau real situasi berlaku.
Apa pun, thanks for the info kak..
Assalamualaikum Cikgu Ma
sambil mendidik sambil membantu
Wassalam
Post a Comment