Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Jom Masuk U 2011

Program KPTN di 11 zon membabitkan 120 IPTA, IPTS

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.


Untuk pelajar-pelajar di Pahang, khususnya lepasan SPM 2010, SMK Jengka Pusat 2, Karnival Jom Masuk U 2011 akan di adakan di Pahang seperti berikut:

 Zon 6, Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang (5 dan 6 Mac).


Maklumat Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011, klik sini.

Kita ikuti maklumat lanjut yang dipetik dari Berita Harian ini;

148,500 tempat untuk lepasan SPM di IPTA




 ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 Ke-7 di Pusat Dagangan Terengganu, semalam. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Program peringkat diploma yang sebelum ini dilihat sebagai pilihan kedua atau ketiga akan diperkasakan supaya menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara bagi melahirkan modal insan berkualiti.


Berikutan itu, katanya, tempoh pengajian program diploma akan dipendekkan tidak melebihi dua setengah tahun berbanding tiga tahun ketika ini, selain menggalakkan pelajar mengikuti diploma di Politeknik yang menawarkan yuran pengajian jauh lebih rendah iaitu anggaran RM400 setahun, berbanding hampir RM1,000 setahun di universiti awam.
Kementerian mahu pelajar lepasan SPM tidak hanya bertumpu kepada program matrikulasi dan asasi sains, tetapi juga menjadikan program diploma sebagai pilihan utama mereka.

Kementerian akan berusaha memartabatkan diploma menerusi pengiktirafan badan profesional dalam dan luar negara, manakala graduannya diiktiraf pada peringkat antarabangsa, katanya pada sidang media selepas perasmian Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U kali ketujuh di Pusat Dagangan Terengganu di sini, semalam. Karnival dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau turut mengumumkan 148,500 tempat untuk kemasukan lepasan SPM atau setaraf di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini. Daripada jumlah itu, 14,000 tempat untuk program asasi di IPTA, diploma IPTA (34,000), diploma politeknik (51,000), sijil di kolej komuniti (11,000) serta sijil di institut latihan kemahiran awam (ILKA) sebanyak 38,500.

Katanya, jumlah itu daripada 469,500 tempat secara keseluruhan yang disediakan, selain di IPT swasta (IPTS) dan peluang pendidikan lanjutan lain seperti Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Kementerian Pelajaran serta Program Persediaan ke Luar Negara secara tajaan.
Mohamed Khaled berkata, kementerian juga sedang mengkaji beberapa cadangan pelaksanaan bersesuaian, termasuk menambah program diploma yang baru di IPTA dan politeknik.

Program diploma menawarkan fleksibiliti kepada pelajar kerana selepas menamatkan pengajian, mereka mempunyai pilihan sama ada menyambung ke peringkat lebih tinggi atau terus bekerja. Pelajar yang mempunyai diploma juga ada kelebihan kerana mereka diberi laluan khas untuk menyambung pengajian di universiti teknikal (MTUN), katanya.

Katanya, langkah memperkasakan program diploma juga dapat menyediakan graduan berkelayakan untuk memenuhi program kemahiran dan teknikal di universiti teknikal serta meluaskan kebolehpasaran graduan diploma kemahiran dan teknikal selaras matlamat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Karnival Jom Masuk U tahun ini untuk pertama kalinya menawarkan program sijil dan sijil lanjutan. Ini berikutan Kementerian Pengajian Tinggi sudah diberi mandat untuk mengendalikan Pusat Pengambilan Setempat bagi program sijil dan sijil lanjutan, di samping diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan 27 Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional atau TEVT serta ILKA, katanya.

Berita lain,

BAHAGIAN Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi menyasarkan 300,000 pengunjung mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) edisi ketujuh tahun ini.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataannya, berkata karnival `Jom Masuk U’, bertujuan mempromosi dan menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi.

Katanya, maklumat tambahan berkaitan turut disediakan termasuk akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran.



“Tahun ini, 11 zon dikenal pasti menjadi lokasi karnival dengan Pusat Perdagangan Terengganu menjadi zon 1 yang berlangsung selama dua hari bermula esok (14 Januari ini).

“Karnival diteruskan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka pada 22 dan 23 Januari bagi zon 2, manakala Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (29 dan 30 Januari) untuk zon 3.

“Program di Kelantan berlangsung di Pusat Perdagangan Kelantan dan Stadium Sultan Muhammed ke-IV, Kota Bharu, pada 12 dan 13 Februari) zon 4, Dewan 2020, Perlis (19 dan 20 Februari) zon 5,” kata kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kementerian menjelaskan, program sama juga akan diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, (26 dan 27 Februari) zon 6, Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang (5 dan 6 Mac) zon 7 dan di Persada Johor Bahru, pada (12 dan 13 Mac) zon 8.

Lokasi pilihan di Sarawak pula akan diadakan di Pusat Pameran Permata, Kuching, (19 dan 20 Mac) zon 9, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Perak (26 dan 27 Mac) zon 10 dan Pusat Pameran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan, Selangor (2 dan 3 April) zon 11.



Berfungsi sebagai penyebar maklumat secara berpusat, Kementerian menetapkan kumpulan sasar mendapat garis panduan lengkap mengenai program pengajian yang ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2011/2012.

Selain itu, karnival turut memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon dan masyarakat mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA secara dalam talian.

Maklumat pelaksanaan dasar pemilihan kemasukan menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum turut disampaikan.

Selain lulusan sekolah, ibu bapa, guru bimbingan dan kaunseling, pendidik dan masyarakat boleh memanfaat ilmu serta maklumat yang disampaikan.

Program disertai 20 IPTA, 100 IPT swasta terpilih, agensi di bawah kementerian dan Kementerian Pelajaran, yayasan negeri, agensi pembiayaan pendidikan termasuk Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan MARA.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Bahagian Pengurusan Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Nizam Pavel, berkata UTeM berharap penganjuran karnival kali ini berjalan lancar dan mencapai objektifnya.

Katanya, karnival itu memberi peluang pengunjung mengemukakan pertanyaan kepada wakil universiti dan kolej bagi memastikan masing-masing membuat pilihan tepat program pengajian yang bakal diikuti.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .