Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Madu rahsia pelajar cemerlang SPM

Madu rahsia pelajar cemerlang SPM

Sumber; Utusan Malaysia, 25/3/2011.

PASIR MAS 24 Mac - Amalan mengambil sesudu madu asli setiap pagi dan membaca al-Quran untuk merangsang perkembangan otak membuahkan hasil apabila Muhamad Izzat Syameer Mohd. Zaid dinobatkan antara enam pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri Kelantan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati yang memperoleh 11A+ itu memberitahu, sejak kecil ibunya, Aizan Omar, 60, dan ayahnya Mohd. Zain Abd. Kadir, 61, pesara doktor haiwan membiasakannya mengambil sesudu madu asli serta buah-buahan setiap hari.

Katanya, dia kurang menggemari makanan berat seperti nasi berlauk untuk merangsang perkembangan otak.
Berkongsi kejayaannya, anak bongsu dari empat beradik itu memberitahu, dia belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan di sekolah dan memperuntukan enam jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

readmore...



"Saya tetap menonton televisyen tetapi pada kadar minimum iaitu lebih kepada program dokumentari. Saya juga melayari Facebook untuk mengekalkan persahabatan dengan kawan-kawan tetapi membataskannya untuk mengelak masa terbuang," ujarnya yang memegang jawatan Ketua Murid dan Ketua Pengawas di sekolahnya di sini semalam.

Muhamad Izzat Syameer memperoleh A+ dalam 11 subjek yang diambilnya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Tinggi, Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Fizik, Kimia, Sejarah, Pendidikan al-Quran dan Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Berbeza dengan seorang lagi pelajar cemerlang SPM peringkat negeri, Salina A/P Sanguan, 17, pelajar berketurunan Siam yang memperoleh 10A+ itu memilih mengulang kaji pelajaran dengan ditemani alunan radio dan televisyen.

"Saya tidak mempunyai jadual khas untuk belajar sebaliknya mengulangkaji pelajaran mengikut mood. Bagaimanapun, saya lebih fokus ketika berada di dalam kelas," kata pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim (1), Pasir Mas.
Salina memperoleh A+ bagi semua subjek yang didudukinya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Prinsip Perakaunan, Fizik, Kimia dan Biologi.

0 Comentarios