Tunku Annuar dimasyur sebagai Pro Canselor I Kuin
BALING - Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar
Sultan Badlishah dimasyhur sebagai Pro Canselor I Kolej Universiti
Insaniah (Kuin) pada istiadat Konvokesyen Khas KUIN dekat sini hari ini.
Bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Afiffudin Omar pula dilantik
sebagai Pro Canselor II pada istiadat sama yang turut menyaksikan
perasmian Kampus Induk Kuin di Kuala Ketil dekat sini oleh Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Ketika bertitah pada istiadat itu, Seri Paduka, yang juga Canselor
Kuin, menzahirkan ucapan syabas serta tahniah kepada kedua-dua Pro
Canselor yang baru dilantik.
"Sesungguhnya ilmu dan pengetahuan mereka merupakan khazanah yang tak ternilai, khasnya kepada masyarakat negeri ini.
"Beta berharap mereka akan sentiasa bersedia meneroka perkongsian ilmu
dengan para ilmuan Insaniah (Kuin) dalam membimbing para pelajar dan
masyarakat ke arah membentuk masyarakat berilmu dan bertaqwa," titah
baginda.
Seri Paduka turut berharap satu proses pindahan ilmu dapat dirangka dan
pengalaman serta kejayaan tokoh berpengalaman di Kuin dapat direkodkan
bagi dijadikan rujukan untuk generasi akan datang.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Sementara itu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam
ucapannya berkata walaupun boleh dikatakan semua prasarana di kampus
induk itu telah dibina namun penempatan untuk pelajar masih belum
mencukupi.
"Kita masih ada beberapa kekurangan, antaranya, Pusat Islam dan
sebahagian penempatan para pelajar. Marilah kita berdoa agar usaha-usaha
gigih yang sedang dijalankan oleh pengurusan Insaniah (Kuin) akan
menjadikan harapan ini suatu realiti dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata Kuala Ketil dipilih sebagai lokasi kampus induk Kuin
kerana pihaknya mahu menjadikannya sebuah bandar raya satelit bagi
daerah Kulim, Bandar Baharu, Baling dan Sungai Petani.
Turut dibina ialah sebuah dewan yang boleh menampung 5,000 pengguna dalam satu-satu masa atau acara.
Sumber; sinarharian
0 Comments:
Post a Comment