Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Selinsing Syarikat Lombong Emas bantu pelajar miskin

Selinsing Syarikat Lombong Emas bantu pelajar miskin


Kawasan lombong emas diusahakan oleh Selinsing Gold Mine Manager di Bukit Selinsing dekat Sungai Koyan, Lipis. 



CAMERON HIGHLANDS 18 Nov. - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang yang tergolong dalam keluarga miskin di sini gembira menerima bantuan sebanyak RM15,000 daripada sebuah syarikat perlombongan di Sungai Koyan baru-baru ini.

Mohd. Sharifuddin Mat Intan, 21, yang berasal dari Kampung Beletik Hulu Jelai dekat sini, dipilih menerima bantuan berkenaan selepas syarikat Selinsing Gold Mine Sdn. Bhd., melihat kesusahan keluarganya yang dihimpit kemiskinan.

Majlis penyampaian bantuan tersebut diatur oleh pengurusan syarikat itu dengan dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.
Yang turut hadir Pengarah Urusan syarikat itu, Zaidi Harun dan Ketua Kampung Felda Sungai Koyan 3, Mohd. Nor Awang.


SUMBER; UTUSAN MALAYSIA

Pembukaan syarikat loji pemprosesan emas di Lipis jana pekerjaan


KUALA LIPIS 1 Nov. - Kegiatan perlombongan emas kini menjadi antara sumber pendapatan utama negeri ini berikutan pembukaan Syarikat J Resources Penjom Gold Mine (SJRPGM) di Penjom dekat sini.

SJRPGM merupakan loji pemprosesan emas pertama termoden di negara ini selepas Selinsing Gold Mine Manager (SGMM) Sdn. Bhd. (SGMM) yang juga merupakan loji termoden kedua beroperasi di Selinsing dekat Sungai Koyan sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kedua-dua loji emas berkenaan akan memberikan impak besar kepada pembangunan ekonomi daerah ini khususnya peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Sehingga ini, seramai 1,000 pekerja mahir dan separa mahir bekerja di SJRPGM Penjom manakala 229 penduduk tempatan bekerja di SGMM Selinsing dengan kadar upah yang lumayan.

"Pembukaan kedua-dua loji berkenaan sejak 10 tahun lalu memberi manfaat terhadap penduduk tempatan malah menyumbang hasil kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pembukaan lombong emas kedua di situ digerakkan oleh tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam kalangan penduduk tempatan yang boleh mengendalikan sektor berkenaan setanding dengan loji sama di negara Barat, China dan Afrika.

Katanya, urusan teknikal cari gali dan logistik loji di SJRPGM Penjom pada awalnya diselenggarakan oleh kepakaran pelombong Australia, kini diambil alih 100 peratus anak tempatan Kampung Penjom termasuk bidang pengurusan.

"Saya dimaklumkan ada dalam kalangan anak tempatan yang mengendalikan loji di Penjom dan Selinsing sudah menjalani pengalaman melombong sambil bekerja di Australia dan Amerika Syarikat (AS) dengan mempelajari kepakaran cari gali serta pemprosesan bahan mineral itu di negara berkenaan.

"Inilah yang membanggakan kerajaan negeri, kepimpinan setempat dan penduduk di sini kerana kedua-dua loji emas berkenaan yang terbesar dan termoden diterajui kepakaran tempatan," ujarnya.

Kata beliau, kejayaan itu membuktikan transformasi pembangunan modal insan dan ekonomi kerajaan negeri bergerak di landasan betul dan menepati wawasan negara.

Mohd. Sofi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, berkata, kepakaran dan pengalaman pekerja tempatan dalam bidang geologi dan eksplorasi memberi jaminan operasi cari gali emas di kawasan berkenaan tidak akan menjejaskan alam sekitar dan kawasan tadahan air.

Sumber : Utusan Malaysia, 01/11/2012


Lombong emas lonjak ekonomi


LIPIS 10 Okt. - Aktiviti perlombongan terutama emas dan bijih besi kini menjadi antara sumber pendapatan utama bagi Pahang berikutan penemuan beberapa lokasi yang mengandungi mineral berkenaan.

Bagi perlombongan emas sahaja, terdapat empat syarikat yang beroperasi iaitu dua di daerah Lipis dan satu masing-masing di Raub dan Rompin manakala perlombongan bijih besi pula terdapat di Maran dan Kuantan.

Selinsing Gold Mine Manager (SGMM) Sdn. Bhd., adalah salah satu syarikat melombong emas yang kini beroperasi di Bukit Selinsing dekat Sungai Koyan di sini sejak empat tahun lalu meliputi kawasan seluas 600 hektar untuk tempoh 10 tahun.

Pengarah Urusan SGMM, Zaidi Harun memberitahu, aktiviti melombong emas oleh syarikat itu telah memberikan peluang pekerjaan kepada 229 penduduk tempatan dan turut menyumbang hasil kepada kerajaan negeri.

Katanya, loji pemprosesan emas SGMM merupakan loji moden yang kedua selepas lombong emas di Penjom dan dijangka memberikan impak besar kepada pembangunan ekonomi daerah Lipis.

''Dari segi hasilnya pula, SGMM merupakan pengeluar emas terbanyak iaitu dua tan metrik setahun daripada hasil pengeluaran keseluruhan emas 3.5 tan metrik oleh beberapa syarikat yang beroperasi di negara ini. 

''Sebenarnya lombong emas Selinsing telah dibangunkan pada pertengahan tahun 90-an tetapi menghadapi masalah perundangan dan status tanah sehingga menyebabkan pembangunannya terhenti untuk tempoh lebih 10 tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri kemudiannya berjaya menyelesaikan masalah tersebut dan menawarkan kerja-kerja perlombongan kepada Monument Mining Ltd., pada 2007.

Monument Mining Ltd. adalah syarikat menjalankan aktiviti perlombongan yang disenaraikan di Bursa Saham Toronto, Kanada dan Bursa Saham Frankfurt, Jerman.

Selepas itu kerja-kerja permulaan melombong emas seperti eksplorasi dan membangunkan loji rawatan emas serta pejabat pentadbiran dijalankan oleh SGMM iaitu anak syarikat Able Retun Sdn. Bhd., iaitu syarikat subsidi Monument Mining Ltd.

''Pengeluaran kami bermula pada 2009 dengan pelaburan RM150 juta dan mampu menghasilkan pengeluaran 566.7 kilogram emas.

''Pada tahun berikutnya, SGMM telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran emas seratus peratus kepada 1,133 kilogram setelah menambahkan pelaburan RM50 juta lagi," katanya.

Pada tahun yang sama katanya, syarikat berkenaan telah menyumbangkan RM4.3 juta dalam bentuk royalti lima peratus kepada kerajaan negeri.

Selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang juga mempunyai pegangan kepentingan dalam SGMM kerana tanah-tanah lombong tersebut adalah milik agensi kerajaan itu.

Menurut Zaidi, SGMM akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran kepada 2,834 kilogram dalam tempoh beberapa tahun akan datang yang meliputi kawasan operasi seluas 8,000 hektar yang merangkumi kawasan seluas 14 kilometer persegi.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang geologi dan eksplorasi telah bekerja selama 15 tahun dalam industri perlombongan antarabangsa memberi jaminan operasi cari gali emas di kawsan berkenaan tidak menjejaskan alam sekitar dan kawasan tadahan air.

Proses mengasingkan emas menggunakan beberapa kaedah, antaranya ialah teknologi graviti atau bahan kimia sianida setelah tanah yang dikisar dan dihancurkan sehingga halus.

Beliau memberitahu, menerusi kaedah graviti, emas mudah diperoleh sehingga 60 peratus dan bakinya 40 peratus lagi menggunakan bahan pelarut sianida.

Tambahnya, sianida bukan bahan yang berbahaya seperti yang disangkakan oleh banyak pihak kerana ia selamat dan mesra alam.

Malah sianida banyak digunakan oleh syarikat lombong emas di seluruh dunia dan sehingga kini belum ada lagi para pekerja SGMM dijangkiti kesan yang boleh membawa penyakit berbahaya seperti penyakit kulit dan sebagainya.

Menurut Zaidi, syarikat berkenaan turut menitikberatkan soal keselamatan para pekerjanya dengan menghantar mereka membuat pemeriksaan kesihatan di klinik yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Kementerian Sumber Manusia setiap tahun.

Malah kata beliau, operasi SGMM sentiasa dipantau setiap hari dan juga secara berkala bagi mengumpul segala data berkaitan dengan pencemaran alam sekitar oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
''Usaha eksplorasi dan cari gali emas emas di negara ini adalah sukar berbanding negara-negara pengeluar utama emas dunia seperti China, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Australia.

''Di negara-negara berkenaan emas mudah ditemui kerana bentuk muka bumi mereka yang terdedah berbanding di negara kita yang diliputi tumbuhan hijau yang memerlukan masa dan perbelanjaan besar sebelum menemui bahan galian tersebut," katanya.

Jongkong emas yang dihasilkan itu bukan emas tulen 99.9 peratus tetapi perlu melalui satu lagi proses pengasingan yang dijalankan oleh sebuah agensi lain yang terdapat di negara-negara pengeluar utama emas.

SGMM kata beliau, menghantar emas untuk melalui proses tersebut ke Australia kerana kosnya jauh lebih murah berbanding proses pengasingan itu dilakukan sendiri.

Sementara itu, kerajaan negeri menerima royalti sebanyak RM130 juta setahun atau lima peratus setahun hasil daripada perlombongan emas daripada pendapatan kasar empat syarikat yang beroperasi di negeri ini.
Aktiviti melombong emas berhadapan dengan risiko kerana ia memerlukan modal tinggi tetapi pulangannya tidak dapat dijangkakan kerana jumlah sebenar kandungan mineral itu yang terdapat dalam perut bumi sukar dipastika


SUMBER UTUSAN MALAYSIA 11/10/2012

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .