Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

MEROKOK DAN PENGUATKUASAAN SIVIL

MEROKOK DAN  PENGUATKUASAAN SIVIL



Tahukah anda kajian mendapati sembilan daripada 10 perokok akan mendengar teguran dan menghormati hak orang yang tidak merokok jika ditegur dengan baik, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dr Sallehudin Abu Bakar.
“Syaratnya kena tegur secara baik dan sopan. Jika ditegur dengan baik, perokok akan memadam­kan api rokok atau pergi ke ruang yang dibenarkan merokok. Malangnya di negara kita, perkara ini jarang dilakukan.

“Biasanya jika ada orang merokok di tempat awam, biasanya individu yang tidak merokok akan menjauhkan diri atau meninggalkan tempat berkenaan. Kaedah ini tidak akan menyedarkan perokok. Sebaliknya kitalah yang perlu tegur untuk mengingatkan perokok dan biasanya selepas ditegur, mereka akan memadamkan api rokok.







“Apabila kita tegur, perokok akan sedar dan ingat bahawa dia perlu mematuhi larangan merokok di satu-satu tempat pada masa akan datang. Sudah sampai masa kita menyuarakan hak kita untuk mendapat udara bersih yang bebas daripada asap rokok. Kita hanya mahu oksigen, bukan karbon monoksida dan gas beracun lain dalam asap rokok untuk masuk ke dalam badan kita,” katanya.

Selepas senarai tempat larangan merokok diwartakan, banyak operasi dijalankan khususnya di bandar besar untuk memastikan larangan dipatuhi dan beribu-ribu kompaun dikenakan pada perokok yang ingkar. Namun sejak akhir-akhir ini, jumlah operasi bagai boleh dibilang dengan jari. Adakah langkah penguatkuasaan ini hanya hangat-hangat tahi ayam?

“Tidak. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) contohnya masih giat menjalankan operasi tetapi apa yang kita mahu rakyat sendiri yang menguatkuasakannya dengan cara me­nyuarakan hak mereka untuk mendapat udara bersih dan kaedah ini dipanggil penguatkuasaan sivil. Maknanya, kita boleh tegur perokok jika mereka merokok di tempat yang dilarang.

“Saya gembira kerana sejak akhir-akhir ini orang ramai sudah mula menyuarakan hak mereka dengan memberi teguran kepada perokok yang merokok di tempat dilarang. Kaedah penguatkuasaan sivil ini terbukti berkesan,” katanya.


Mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2005 melarang tegas aktiviti merokok di:


  • Semua kawasan awam yang tertutup contohnya klinik, hospital, semua pejabat kerajaan, kompleks beli-belah, pusat sukan, stadium, pusat kecergasan, gimnasium dan semua tempat yang berkaitan dengan sukan kecuali pusat hiburan (pub, disko, kelab malam atau kasino).
  • Semua tempat makan berhawa dingin tetapi ada kelonggaran memperuntukkan satu pertiga daripada restoran untuk ruang makan yang boleh merokok dengan syarat ruang tidak merokok dan merokok diasingkan (berdinding). Selain perlu meletakkan tanda yang jelas, pengusaha dikehendaki memasang alat untuk menyedut keluar asap rokok di ruang makan yang dibolehkan merokok.
  • Hentian pengangkutan awam (stesen bas, stesen kereta api, lapangan terbang).
  • Tempat ibadat atau suci (masjid, surau, gereja, kuil).
  • Kenderaan awam (bas, bas sekolah, kereta api, teksi, LRT dan kapal terbang).
  • Seluruh kawasan institusi pengajian awam dan swasta (taman asuhan kanak-kanak, tadika, sekolah, pusat pengajian tinggi).
  • Seluruh kawasan pejabat kerajaan dan tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan dalam bangunan.
  • Kawasan digunakan untuk aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian.
  • Lif dan tandas awam.
  • Stesen minyak.

    Mereka yang melanggar subperaturan (1) itu melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.

    Setakat ini kompaun yang dikenakan ialah RM200 dan perlu dibayar dalam tempoh dua minggu. Kegagalan berbuat demikian, perokok boleh dihadapkan ke mahkamah.

    Pemilik mana-mana premis perniagaan terutama restoran yang tidak mematuhi peraturan larangan merokok seperti sengaja membenarkan pelanggannya merokok di ruang tidak merokok boleh dikenakan kompaun sebanyak RM400.

    “Pemilik boleh menegur pelanggan untuk tidak merokok atau memindahkan mereka ke ruang yang dibenarkan merokok. Jika tiada sebarang langkah diambil, pelanggan lain boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan.

    “Hasil penguatkuasaan sivil maka wujudlah panggung wayang yang bebas asap rokok. Malah dua pusat beli-belah di Kuala Lumpur, The Garden dan Jusco Alpha Angle sudah berikrar menjadikan kawasan mereka bebas rokok. Pemilik perniagaan sebenarnya ada ‘kuasa untuk bersuara’ bagi melarang pelanggannya merokok. Ini adalah langkah penting untuk sama-sama mendidik masyarakat,” katanya.

    Pada 2004, kerajaan melancarkan kempen ‘Katakan Tak Nak’ untuk mengekang tabiat merokok. Ada pihak berpendapat kempen yang menelan belanja RM20 juta itu tidak berjaya mengajak rakyat berhenti merokok tetapi berdasarkan kajian yang dilakukan pada 2006 didapati peratusan perokok di negara kita turun sedikit daripada 24.8 peratus (1996) kepada 22.8 peratus (2006).

    Perbezaan dua peratus ini mungkin dianggap kecil bagi sesetengah pihak berbanding wang yang dibelanjakan tetapi langkah ini perlu dilihat daripada skop yang lebih luas iaitu untuk memberi pendidikan dan kesedaran.

  • SUMBER; HARIAN METRO



    0 Comments:

    Disclaimer

    (c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .