Ibu remaja ditahan miliki dadah tekad ke Afrika Selatan
Petikan akhbar Utusan Malaysia 17 Ogos 2010.
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Ibu Nur Dhiya Ain, remaja yang ditahan di Pusat Tahanan Ravensmead, Cape Town, Afrika Selatan, kerana memiliki dadah bertekad untuk menggunakan apa sahaja cara asalkan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di samping anaknya itu.Roslah Abdul Jani, 43, berkata, dia yang tidak dapat tidur kerana terlalu rindukan anak kedua daripada empat beradik tersebut, akan berusaha ke negara itu meskipun mengakui berhadapan masalah kewangan.
"Saya tidak tahu kepada siapa kami harus pergi untuk meminta bantuan kerana kos untuk ke Cape Town dianggarkan menelan belanja kira-kira RM10,000 untuk dua orang.
"Saya merayu orang ramai dan kerajaan dapat membantu saya untuk melawat Nur Dhiya Ain yang telah dianiaya oleh beberapa lelaki warga Afrika Selatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini menyiarkan tentang berakhirnya pencarian Nur Dhiya Ain Rosman oleh keluarganya apabila dia disahkan telah ditahan pihak berkuasa Afrika Selatan di Lapangan Terbang Cape Town.
Pada sidang media itu, Roslah turut mendakwa pihak polis gagal bertindak pantas menahan anaknya daripada berlepas ke negara tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya telah bertindak cepat untuk mengesan mangsa dengan menghubungi pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, namun usaha itu tidak berjaya kerana polis kekurangan butiran mengenai Nur Dhiya Ain.
"Mangsa tidak dapat dikesan awal kerana kekurangan butiran peribadi, penerbangan dan destinasi yang tepat dan dia hanya dapat dikesan setelah menaiki pesawat Qatar Airways pada pukul 2.50 pagi itu," ujarnya.
Dalam pada itu, Roslah yang diberitahu mengenai alasan pihak polis berkata, dia telah memberi segala butiran mengenai anaknya namun polis masih gagal.
"Saya berada di depan anggota yang menghubungi KLIA, malangnya dalam panggilan itu tiada kerjasama yang baik diterima daripada lapangan terbang.
"Manakala pegawai yang dikatakan sebagai penolong pegawai penyiasat yang bertanggungjawab pula tidak kelihatan langsung walaupun telah dihubungi," jelasnya.
0 Comments:
Post a Comment