Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

JKM bantu dua beradik mangsa amukan bapa

JKM bantu dua beradik mangsa amukan bapa

 

IPOH 16 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan membantu dua beradik malang yang menjadi mangsa amukan bapa sendiri dalam kejadian yang menyebabkan ibu mereka maut di Teluk Intan, kelmarin.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hilir Perak, Harisf Abu Hassan berkata, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) secara bulanan sebanyak RM100 seorang akan diberi kepada mereka di bawah Skim Bantuan Kewangan Bagi Keluarga Miskin.

"Kita juga akan memberikan bantuan seperti yuran persekolahan serta bantuan lain mengikut kesesuaian.
"Sememangnya kami amat prihatin dengan nasib mereka dan menjadi tanggungjawab JKM untuk membantu dua beradik ini yang amat memerlukan bantuan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas nasib Najihah Mohd. Natri, 13, dan adiknya, Nazuwa, 10, yang menjadi yatim piatu ekoran tragedi berdarah Sabtu lalu.



Mohd. Natri Shaharudin, 39, dikatakan mengamuk menggunakan sebilah parang menyebabkan isterinya, Khairul Bariah Mohd. Ariffin, 36, mati ditetak sebelum dia turut maut ditembak polis.
Dalam kejadian tersebut, Najihah putus tiga jari tangan kanannya selain turut cedera di kepala dan lengan kiri.
Sementara itu, Nazuwa yang trauma dengan kejadian tersebut turut ditempatkan di Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Harisf berkata, JKM juga sedia memberikan khidmat kaunseling dan psikologi kepada dua beradik itu sebagai langkah susulan bagi membantu mengurangkan trauma berikutan kejadian ngeri dan menyayat hati yang dialami mereka.

"Kita mempunyai kaunselor terlatih yang boleh memberikan khidmat kaunseling sekiranya mereka memerlukan," katanya.

Berita Amukan Sahur

Sahur berdarah

Oleh KASDI ALI dan RAVALE SAVARINATHAN
am@hmetro.com.my
2010/08/15
 
TELUK INTAN: “Bang mengucap banyak-banyak... kenapa naik angin tiba-tiba ni? Tak elok bulan Ramadan buat perangai macam ni, malu kat jiran. Tolong jangan apa-apakan saya dan anak-anak, ingat Tuhan.”
Insiden yang turut menyebabkan dua anak perempuan mangsa cedera dengan seorang daripadanya parah, termasuk putus dua jari tangan kanannya, berakhir tragis kira-kira jam 8.30 pagi apabila polis menembak mati suspek yang cuba menyerang mereka menggunakan parang dan pisau.

Jiran sebelah rumah mangsa yang hanya mahu dikenali Tamarai, 30-an, berkata dia terjaga kira-kira jam 3 pagi apabila mendengar bunyi bising dipercayai pertengkaran mangsa dengan suspek.

“Pada mulanya saya tidak begitu terkejut kerana pasangan suami isteri itu memang kerap bertengkar dan mengamuk secara tiba-tiba.

“Tetapi pertengkaran pagi tadi (semalam) agak menakutkan kerana Bariah beberapa kali menjerit supaya dia dan dua anaknya tidak diapa-apakan oleh suspek.
“Saya percaya ketika itu suspek mungkin sedang menghayunkan parang atau pisau ke arah mereka.

“Sejurus kemudian, suasana menjadi senyap seketika tetapi disusuli pertengkaran kecil. Saya kemudian menyambung tidur kerana beranggapan ia sudah berakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurut Tamarai, tidurnya sekali lagi terganggu apabila dikejutkan dengan bunyi jeritan nyaring disusuli suara dua anak mangsa meminta tolong kira-kira jam 5.15 pagi.

“Ketika itulah saya berasa tidak sedap hati kerana suspek memang berperangai menakutkan setiap kali ‘anginnya’ tidak baik dan mahu mengamuk iaitu mengasah parangnya sehingga berjam-jam. “Saya tidak sangka dia menggunakan parang itu untuk membunuh isterinya dan mencederakan dua anak perempuannya.

“Bagaimanapun, saya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas polis tiba kira-kira jam 8.30 pagi kerana tidak berani keluar rumah. “Saya dimaklumkan jiran suspek menetak mangsa hingga mati dan turut menyerang dua anaknya. Saya begitu terkejut kerana tidak menduga suspek sanggup bertindak sedemikian.

“Saya sedih kerana mangsa seorang yang peramah dan sentiasa tersenyum setiap kali bertemu saya serta jiran lain walaupun keluarganya bermasalah disebabkan sikap panas baran suaminya,” katanya sedih.

Sementara seorang lagi jiran mangsa yang turut bekerja bersamanya di sebuah kilang plastik di Chui Chak, dekat sini, Ramlah Mohammad, berkata arwah ada mengadu kepadanya mengenai sikap melampau suaminya yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
“Saya memang mengetahui mengenai masalah rumahtangga arwah disebabkan suaminya yang mempunyai masalah mental dan dia juga selalu mengadu kepada saya,” katanya. “Tetapi dua hari lalu, saya terkejut lihat arwah bermuka pucat seperti orang ketakutan. Dia memberitahu saya penyakit mental suaminya semakin teruk apabila dia selalu kacau, buat bising dan memukulnya serta dua anak mereka.

“Saya menasihatkan arwah supaya membuat laporan polis jika keadaan tidak terkawal. Saya kesal arwah tidak sempat berbuat demikan.

“Suami ada memberitahu saya kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam), arwah ada datang ke rumah kami yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Arwah mencari saya tapi suami beritahu saya tidur menyebabkan dia pulang semula ke rumahnya.

“Saya tak sangka tidak lama kemudian, arwah mati ditetak suaminya. Saya terkilan kerana arwah mungkin mencari saya untuk meminta pertolongan,” katanya yang menitiskan air mata.

Sementara itu, tinjauan Metro Ahad di sekitar rumah mangsa dan bilik mayat Hospital Teluk Intan mendapati suasana lengang dengan kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa dan suspek.

Bagaimanapun, usaha wartawan Metro Ahad menemubual keluarga mangsa gagal selepas dihalang secara baik daripada berbuat demikian oleh seorang saudara mangsa yang hanya mahu memberi komen seluruh ahli keluarganya, trauma dan masih terkejut dengan kejadian tragis itu.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .