Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Apa Itu Blog, Cikgu?

Apa Itu Blog, Cikgu?

Soalan di atas adalah antara soalan yang dilontarkan oleh beberapa orang pelajar di sekolah baru saya apabila saya mempromosikan blog saya ketika proses konsultasi di sekolah dan juga ketika terjah  di 'muka buku' mereka.(Terima kasih kepada pelajar-pelajar yang sudi add saya seperti Zuria, Kudut, dan arif. Maaf sekadar menyebut beberapa nama,:). Jangan kecil hati,ok?)

Menjelaskan kepada konsep pelajar-pelajar saya tentang blog yang cuba saya usahakan ini setelah sekian lama di 'private' kan. Hanya apabila berada di sekolah baru, barulah saya mem 'publish'kan kembali blog pendidikan ini. Oleh itu, mungkin sebab itulah blog ini tiada tempat di page ranking google.

Konsep blog saya ialah 'educational blog". Apabila menyentuh 'educational blog', bermakna saya perlu banyak melakukan research. Selain pengorbanan masa, keabsahan sesuatu fakta juga perlu diambil kira. Selain keutamaaaan tugas dan tanggungjawab dalam kehidupan di alam nyata, kemudahan capaian internet  broadband dan wireless juga  faktor motivasi untuk saya mengupdate blog ini.Mungkin inilah yang dikatakan cabaran sebagai "Hidup Seorang Blogger'', sebagai mengambil tajuk contest blogger Denaihati.

Biasanya saya akan menulis di word dahulu. Ini kerana atas sebab tertentu, tangan saya tidak boleh menari terlalu lama di hadapan PC. Berdasarkan nota-nota kuliah saya dan rujukan-rujukan lain, saya tinggal edit artikel itu.

Kemudian, saya mengupdate blog ini waktu bekerja saya. Itupun saya cuma sempat untuk mempublish entry dan mnegemaskini komen jika ada komen. Terima kasih buat teman-teman bloggers yang sudi meninggalkan komen di blog saya ini.

Alhamdulillah, di tempat kerja saya mempunyai perkhidmatan wireless yang sangat baik. Terima kasih untuk  pihak sekolah yang telah menyediakan perkhidmatan ini bagi memudahkan saya membuat rujukan.

Di samping itu, pelajar-pelajar yang datang berjumpa saya juga mudah untuk membuat access internet tentang maklumat terkini berkaitan pelajaran dan ilmu.

Baiklah di sini saya sertakan artikel tentang Apa Itu Blog yang tersiar di estidotmy.

Oleh:Mohd Faizal Aziz
Tersiar di ESTIDOTMY, MOSTI-UTUSAN, Mei  2008

Dewasa ini, medium blog semakin luas penggunaannya di kalangan rakyat Malaysia. Blog juga menjadi wadah baru penyebaran berita, gosip, maklumat dan hebahan yang paling pantas berbanding akhbar tradisonal. Tidak memiliki blog dianggap ketinggalan di zaman kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi terkini. Blog menawarkan pelbagai kemudahan seperti berita, iklan bisnes, ruang simpanan album digital dan yang paling mendapat perhatian ialah diari harian yang hanya boleh diperolehi dari hujung jari.



Apakah sebenarnya blog dan bagaimanakah ia berkembang?

Blog adalah singkatan bagi ‘web’ dan ‘log’ yang diperkenalkan oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997. Sehingga kini belum ada istilah yang tepat dalam Bahasa Melayu untuk menterjemahkan blog.

Barger menggunakan istilah weblog untuk merujuk kepada kelompok laman-laman web maya peribadi yang dikemaskini secara berkala oleh pemiliknya. Peter Merholz pula menggunakan istilah ‘we blog’ pada laman webnya Peterme.com yang merujuk kepada aktiviti ‘blogging’ yang terdiri daripada mengemaskini laman web, menyunting, memasukkan maklumat terbaru, mengirim artikel dan sebagainya.

Akhirnya beliau lebih selesa menggunakan istilah ‘blog’ bagi menggambarkan segala aktiviti berkaitan dengannya. Di situlah munculnya blog dan pemiliknya pula dikenali dengan nama ‘blogger’.

Kini blog telah menjadi trend baru kehidupan manusia setelah meledaknya teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Pada awalnya jumlah blog di seluruh dunia tidaklah sebanyak yang wujud sekarang yang dianggarkan sebanyak 112 juta menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh enjin carian blog terkenal Technocrati (Sehingga artikel ini ditulis pada Mei 2008).

Pada waktu ia mula tercipta dan sebelum terkenal, untuk menghasilkan blog memerlukan sedikit kemahiran teknikal dalam bidang penulisan kod-kod html (hypertext markup language).

Pada tahun 1999, sebuah syarikat teknologi maklumat PyraLabs melancarkan website www.blogger.com yang memberi kemudahan secara percuma di atas talian kepada sesiapa sahaja untuk memiliki blog tanpa perlu memiliki kemahiran teknikal dalam bidang teknologi maklumat.

Apa yang perlu ialah kemudahan talian internet dan keinginan untuk mempunyai blog sahaja. Sejurus selepas itu, jumlah blog di ruang maya meningkat secara dramatik. Tema blog yang muncul merangkumi pelbagai topik bermula dari filem, politik, kesihatan, sukan, hobi dan juga blog berkaitan dengan buku.

Daripada blog, pembaca dapat menyelami apa sahaja lontaran idea, pendapat dan buah fikiran blogger. Pada tahun 2003, Blogger.com telah diambilalih oleh syarikat enjin carian internet terkenal Google. Selain blogger.com, terdapat beberapa perkhidmatan penyediaan layanan blog yang lain seperti wordpress, livejurnal, blogsome dan sebagainya.


Dalam keghairahan kita menggunakan teknologi ini, blog juga boleh mengundang sensitiviti sehingga menjadi ancaman kepada pemiliknya dan juga negara. Di Singapura, dua rakyatnya telah dipenjarakan di bawah undang-undang antihasutan kerana menyiarkan kenyataan antiislam di laman blog mereka.


Walau apapun isu yang berlaku sekitar blog, masih banyak blog yang positif yang dapat dimanfaatkan seperti blog yang berkaitan dengan agama, motivasi, promosi buku dan juga bisnes.

Dengan adanya blog di zaman kini, muncul satu lagi komuniti maya yang dikenali sebagai komuniti blog yang berbudaya digital. Ini kerana, setiap blog yang bersifat interaktif adalah saling menghubungkan antara satu sama lain dan dapat merapatkan hubungan sesama bloggers.


Setiap blog dapat menggambarkan persahabatan, perdebatan, permusuhan dan juga hubungan perniagaan. Pemilik blog dan juga pembaca bebas melontarkan pandangan masing-masing bagi setiap artikel yang diterbitkan. Tambahan pula, setiap artikel dan komen bebas disalurkan tanpa ada sebarang sekatan kecuali pemilik blog yang menjadi editor utamanya. Oleh itu blog menjadi medium utama penulis dan pembaca blog yang bersifat interaktif serta dapat memaparkan idea dan wacana segar antara keduanya.


Di Malaysia, telah wujud pelbagai komuniti maya yang menghimpunkan penulis-penulis blog antaranya yang terkenal ialah www.jurnal.biz, www.minggupenulisremaja.blogspot,www.petalingstreet.org dan sebagainya. Komuniti ini sentiasa mengadakan aktiviti yang berbentuk ilmiah dan juga santai dalam usaha untuk merapatkan ahli-ahli mereka. Komuniti ini juga mewujudkan anugerah kepada pemilik blog terbaik dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, fenomena blog yang wujud hari ini di seluruh dunia termasuk di negara kita Malaysia adalah hasil limpahan teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang pesat selepas kewujudan internet. Terpulang kepada kita samada untuk memanfaatkan atau mengabaikannya.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .