Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Membina Impian di Wisma Harapan

Membina impian di Wisma Harapan

MELANGKAH masuk ke bangunan Wisma Harapan yang menempatkan Persatuan Untuk Orang Kurang Upaya Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan (SAMH), membuatkan hati tersentuh. Melihat wajah -wajah pelatih persatuan itu yang tersenyum ceria bagaikan masing-masing tiada sebarang kekurangan.

Namun hakikatnya, mereka adalah golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kegagalan mental untuk berfungsi secara normal. Ini menyebabkan mereka perlu dibantu atau diawasi pada kebanyakan masa.

Justeru SAMH ditubuhkan sejak tahun 1964 bagi membantu serta memberi panduan kepada ibu bapa bagaimana cara terbaik untuk mendidik dan membesarkan anak yang mengalami kecacatan mental.

Presiden SAMH, Datin Fauziah Idris berkata, penubuhan persatuan itu bertujuan membantu golongan OKU cacat mental melalui penyediaan pendidikan, latihan dan penjagaan sejak bayi sehingga dewasa supaya ibu bapa dan pelatih sendiri mengetahui potensi diri.

Bermula dengan hanya empat pelatih dan seorang guru, persatuan itu kini mempunyai 12 sekolah khas dan pusat latihan bersama 560 kanak-kanak.

Katanya, setiap ibu bapa disarankan menghantar anak mereka yang cacat mental sejak kecil, seboleh-bolehnya ketika bayi untuk memudahkan mereka dididik.

"Pada usia sehingga enam tahun, mereka akan dimasukkan ke prasekolah yang dibina SAMH di Selangor dan Kuala Lumpur, sebelum diserapkan ke sekolah rendah bermula umur tujuh tahun hingga 12 tahun serta sekolah menengah dari usia 13 tahun hingga 17 tahun.

"Mereka ini ke sekolah mengikut waktu yang disediakan serta menjalani pendidikan khas mengikut keupayaan masing-masing dan akan dihantar serta dijemput ibu bapa, bukannya menetap di SAMH.

"Selepas usia 17 tahun, mereka akan dimasukkan ke kelas khusus bagi melihat potensi mereka sama ada mampu menguruskan diri atau sebaliknya.

"Kami akan membenarkan mereka keluar bekerja di luar dengan majikan yang menyediakan pekerjaan yang sesuai. Namun bagi yang tidak mampu menguruskan diri, mereka akan menghabiskan masa bekerja di bengkel," katanya ketika ditemui di Wisma Harapan, Brickfields, baru-baru ini.

Bagaimanapun ujarnya, jumlah pelatih yang semakin bertambah membuatkan SAMH membina Bengkel Perlindungan di Klang untuk memberi peluang kepada golongan cacat mental meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna dan bermakna.

"Ia penting bagi menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan memperlihatkan mereka mampu menjalani dunia pekerjaan seperti orang normal.

"Mereka akan melakukan kerja yang ringkas dan bersesuaian dengan keupayaan mereka seperti membungkus majalah, melipat risalah dan menampal alamat dengan sedikit pemantauan dan bantuan daripada guru.

"Pelatih ini akan memperoleh wang poket sehingga RM500 sebulan, bergantung kepada keupayaan dan kecekapan mereka menyelesaikan kerja," ujarnya.

Sementara itu dan Pengurus SAMH, T. Kamaraj, berkata, setakat ini hanya beberapa pelatih yang dibenarkan bekerja di luar kerana mereka benar-benar layak dan kelihatan hampir seperti orang normal.

"Kebanyakan pekerjaan memerlukan petugasnya bercakap dan tangkas, jadi faktor ini yang menyukarkan pelatih kami untuk bekerja di luar.

"Ada majikan yang tidak bersedia mengambil golongan OKU bekerja kerana mereka tidak memahami dan kurang sabar.

"Ini menyebabkan golongan OKU seperti didiskriminasi, kurang diterima masyarakat dan meningkatkan kos perbelanjaan kami yang terhad," katanya.

Berbicara lanjut, Fauziah membongkar 1001 kesukaran kewangan yang ditempuhi pengurusan SAMH dalam memastikan ia berjalan lancar dan dapat terus membantu golongan cacat mentalnya.

Jelasnya, SAMH memerlukan kira-kira RM2 juta setahun bagi menampung kos perbelanjaan untuk 12 sekolahnya dan separuh daripadanya diberikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Manakala separuh lagi kami terpaksa usahakan dengan menganjurkan program jualan amal dan ada yang turut disumbangkan organisasi korporat serta orang ramai namun tidak mencukupi.

"Kos ini adalah untuk kegunaan pelbagai keperluan termasuk makan dan minum pelatih, kelengkapan pembelajaran, air, elektrik, gaji guru serta wang poket mereka yang bekerja di bengkel.

"Sehubungan itu, kami amat berharap sekiranya ada syarikat korporat dan orang ramai bersama-sama membantu kami untuk membantu golongan yang memerlukan dengan menghulurkan dana ikhlas," tambahnya.


Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, mereka boleh mengunjungi SAMH di Wisma Harapan,
Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-22741457 / 75.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .