Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Sistem Solar Hibrid Sekolah Di pedalaman dan luar bandar

Sistem Solar Hibrid Sekolah Di pedalaman dan luar bandar

RM2b untuk pelaksanaan projek Sistem Solar Hibrid



BADARUDIN (dua dari kiri), Wan Rosdy (dua dari kanan) dan Mohd Rumai (kiri) melawat projek SSH di Pahang, semalam. melihat projek Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan Lejang Kuala Lipis, Pahang,

 SSH mampu jana bekalan elektrik 24 jam di sekolah pedalaman

KUALA LIPIS: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukan RM2 bilion bagi melaksanakan projek pemasangan Sistem Solar Hibrid (SSH) bagi membolehkan semua sekolah di pedalaman dan luar bandar mendapat bekalan elektrik 24 jam menjelang 2011. 



Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian, Datuk Badarudin Abd Rahaman, berkata daripada jumlah itu, projek sama dilaksanakan sejak dua tahun lalu di sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak membabitkan peruntukan hampir RM1.2 bilion. 





Katanya, projek SSH di sekolah pedalaman Sabah, membabitkan 78 sekolah yang sudah siap dan 104 lagi masih dalam pengurusan tapak dan pembinaan, manakala 367 sekolah di Sarawak sudah dilengkapi sistem SSH.

“Di Semenanjung, kerajaan juga melaksanakan projek pemasangan SSH membabitkan 36 sekolah di pedalaman Pahang, Perak, Kelantan dan Johor dengan peruntukan keseluruhan RM98 juta.

“Semua sekolah pedalaman di negara ini menerima bekalan elektrik menerusi SSH secara lebih menjimatkan apabila projek ini siap pada Mac 2011,” katanya selepas meninjau tapak dan kerja pemasangan SSH di Sekolah Kebangsaan (SK) Lenjang dan SK Titom, Hulu Jelai, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Datuk Mohd Rumai Abdullah dan Pengarah Urusan Tenaga Nasional Energy Services, Azhar Abd Rahman. 



Badarudin berkata, bagi projek di Semenanjung, enam sekolah Orang Asli di pedalaman daerah Lipis di sini, menjadi kumpulan pertama dipilih untuk pelancaran projek berkenaan iaitu SK Lenjang, SK Titom, SK Senderut, SK Telanok, SK Lemoi dan SK Lanai.

Beliau berkata, projek sama akan diperluaskan tahun ini ke lapan sekolah di pedalaman Johor, 15 sekolah di Perak dan tujuh sekolah di Kelantan.

Katanya, projek SSH diselenggara TNB kerana agensi itu mempunyai pengetahuan serta kepakaran dalam bidang tenaga diperbaharui dan kejuruteraan sumber solar, manakala di Sabah dan Sarawak diserahkan kepada pihak swasta.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, projek berskala besar tetapi lebih menjimatkan melalui sumber tenaga percuma bagi jangka panjang ini antara usaha kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menjamin kualiti pelajaran sekolah di pedalaman negeri ini.

"Kemudahan SSH ini juga dapat memberi keselesaan kepada 1,670 penduduk daripada 360 keluarga Orang Asli Lenjang dan Titom melaksanakan program pendidikan bersama sekolah bagi meningkatkan pelajaran anak-anak,'' katanya.



Sumber berita Harian 2010/03/29 -

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .