Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Kuala Medang, Lipis, Banjir landa tiga kampung

Kuala Medang, Banjir landa tiga kampung
12 Mac 2012 


Sepuluh Keluarga Dipindahkan Akibat Banjir Di Lipis

KUALA LIPIS, 11 Mac (Bernama) -- Seramai 10 keluarga yang tinggal di kawasan pesisiran Sungai Jelai di sini ditempatkan di pusat pemindahan banjir selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi dua meter.

Mangsa yang terdiri daripada tiga keluarga dari Kampung Kuala Medang dan tujuh dari Kuala Serau, kini ditempatkan di balai raya kampung masing-masing selepas air Sungai Jelai melimpahi tebing mulai 7 pagi tadi.

Keadaan banjir juga menyebabkan 120 penduduk daripada 21 keluarga di Kuala Medang, Kuala Serau dan Bertang terputus hubungan luar berikutan jalan utama ke kampung berkenaan ditenggelami air.

Hujan lebat sejak tiga hari lepas menyebabkan air itu naik mendadak dan melimpahi tebing lalu membanjiri perkampungan di pesisiran Sungai Jelai.

-- BERNAMA

KUALA MEDANG - Hujan lebat selama tiga hari di Hulu Sungai Jelai dan Sungai Telom menyebabkan air Sungai Jelai naik mendadak seterusnya melimpahi tebing lalu menenggelami beberapa perkampungan berhampiran, dekat sini, pagi semalam.

Banjir itu juga menyebabkan seramai 120 penduduk daripada 21 keluarga di sini, Kuala Serau dan Bertang terputus hubungan berikutan jalan raya ke kampung berkenaan turut ditenggelami air.

Manakala, sebanyak 10 keluarga iaitu tiga di Kampung Kuala Medang dan tujuh di Kuala Serau kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir setelah rumah mereka ditenggelami air sedalam dua meter bermula jam 7 pagi semalam.


Sehubungan kejadian itu, seramai 12 anggota bomba, 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Lipis, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta polis terbabit dalam operasi bantuan keselamatan dan pemindahan mangsa menggunakan bot.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail turut turun padang untuk meninjau keadaan kampung di persisiran sungai yang terbabit dalam kejadian itu serta menemui mangsa banjir.

Hadir sama, Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd Razaki Abd Razak.

Mohd Razaki berkata, air naik mendadak menyebabkan keluarga terbabit dipindahkan segera ke tempat selamat di balai raya kampung berkenaan.
“Sebanyak dua kedai makanan di Pekan Sehari Kuala Medang turut dinaiki air, manakala sebuah jeti pusat santuari ikan di Kuala Serau pula musnah dihanyutkan banjir,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu dengan menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di balai raya kampung berkenaan.

“Saya akan berbincang dengan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Bencana Alam (Banjir) untuk menimbang bantuan kecemasan kepada mangsa hari ini (semalam). Kerajaan Negeri sedia menimbang untuk membantu membaik pulih rumah mangsa apabila banjir surut,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Kampung Kuala Serau, dekat sini, semalam.

Sempena kunjungan itu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai turut memberi sumbangan bantuan daripada Pejabat Dun berkenaan bernilai RM300 kepada setiap ketua keluarga terbabit.

Mereka yang tinggal berdekatan sungai dinasihati mengawasi anak masing-masing pada cuti persekolahan kali ini dan memastikan mereka tidak main air atau mandi di sungai berarus deras.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .