Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Gerakan antiponteng sekolah

Operasi cegah ponteng bukan berkonsep menangkap

MARAN 30 Mei - Semua sekolah di Pahang diarah menubuhkan Jawatankuasa Pemuafakatan Pasukan Petugas Antiponteng bagi menangani gejala ponteng di kalangan pelajar di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad berkata, jawatankuasa membabitkan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti dan polis itu akan bergerak secara bersepadu dalam usaha menangani gejala itu.

Katanya, operasi pencegahan ponteng bukan berkonsep menangkap tetapi memujuk pelajar untuk kembali ke sekolah meneruskan pelajaran.

''Penubuhan pasukan itu sebagai kaedah menarik pelajar datang ke sekolah.
''Gejala ponteng sekolah itu dianggap 'ibu' kepada rangkaian masalah disiplin dan salah laku pelajar kerana mereka akan terbabit dengan pelbagai aktiviti negatif di luar kawalan guru," katanya.

Beliau berucap merasmikan pelancaran Program Sifar Ponteng-Gerakan Hadir ke Sekolah peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18, dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainul Abidin Daud; Pengetua SMK Jengka 18, Saimah Hassan; Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Maran, Hamzah Mat Ali dan Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah Daerah Maran, Yahya Awang.

Mazlan berkata, data Sistem Salahlaku Disiplin Murid (SSDM) Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan gejala ponteng sekolah terus berlarutan walaupun pelbagai usaha menanganinya dilaksanakan.
''Masalah ponteng ini perlu ditangani secara bersepadu dan strategik dengan meneruskan usaha-usaha pencegahan dan pemulihan menerusi Gerakan Hadir Ke Sekolah (GHKS).



"Program Sifar Ponteng dengan tema 'Genap 190 Hari Saya Di Sekolah' adalah alternatif strategik yang wajib dilaksanakan di semua sekolah di negeri ini," katanya.

Tegasnya, program tersebut bermatlamat mengurangkan salah laku ponteng dan memberi impak kesedaran pelajar terhadap kepentingan hadir ke sekolah.

''Gejala salah laku ponteng berkait rapat dengan meruncingnya disiplin di sekolah akibat pelajar terpengaruh dengan amalan negatif di luar kawalan guru," jelasnya.

Mazlan menegaskan, pada 2008, sebanyak 5,524 kes ponteng sekolah direkodkan di negeri ini manakala pada 2009, ia menunjukkan penurunan sebanyak 5,260 kes sebelum kembali meningkat kepada 7,011 kes pada tahun lalu.

''Semua sekolah dengan kerjasama ibu bapa diminta meneruskan kempen anti ponteng sepanjang masa walaupun tempoh yang ditetapkan hanya pada April hingga bulan depan," katanya.

Dalam aspek salah laku disiplin bagi sepanjang tahun lalu, katanya, sebanyak tujuh peratus atau 20,810 kes dicatatkan berbanding 5.88 peratus atau 17,863 kes tahun 2009.

''Statistik yang meningkat itu memberi cabaran kepada sekolah, guru, ibu bapa, PIBG, jabatan, komuniti dan pelajar sendiri untuk membendung gelaja itu sebelum menjadi wabak yang sukar dikawal," katanya.

Menurut Mazlan, walaupun peratus kes salah laku disiplin dianggap masih rendah tetapi usaha menanganinya perlu ditangani dengan serius dan bersungguh-sungguh.

Tambah beliau, usaha menangani salah laku bertujuan mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu penurunan bilangan pelajar ponteng sebanyak 0.02 peratus setahun.

Gerakan antiponteng sekolah

MARAN 30 Mei - Fenomena ponteng sekolah di kalangan pelajar bukan perkara baru dalam masyarakat.
Gejala tersebut berlaku setiap masa dan jika tidak dibendung secara serius, ia boleh menjadi barah.
Masalah tersebut tidak boleh dianggap remeh, sebaliknya perlu ditangani dengan tegas oleh semua pihak terutama ibu bapa dan pihak sekolah.

Berikutan itu, langkah Kementerian Pelajaran melancarkan kempen membasmi gejala ponteng sekolah baru-baru ini dianggap amat tepat dan perlu mendapat sokongan semua pihak.

Menurut Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainul Abidin Daud, statistik terkini menunjukkan seramai 34,628 pelajar terbabit dalam gejala ponteng sekolah.

Katanya, meskipun bilangan itu dianggap kecil berbanding jumlah pelajar seramai lebih 4 juta orang, namun ia tidak boleh dianggap ringan.

''Meskipun bilangan pelajar yang ponteng itu dianggap rendah tetapi jika diremehkan ia akan menjadi wabak yang sukar dikawal.

''Jawatankuasa disiplin atau lembaga tatatertib sekolah perlu sentiasa proaktif menggariskan program yang berupaya mencegah salah laku ponteng sejak awal lagi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Pelancaran Program Sifar Ponteng-Gerakan Hadir Ke Sekolah peringkat negeri di Dewan Bakti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18, di sini baru-baru ini.

Zainul Abidin memberitahu, program yang dijalankan itu membuktikan kerajaan negeri amat serius menangani gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah.

Sementara itu, Pengetua SMK Jengka 18, Saimah Hassan berkata, pelbagai kaedah boleh dilaksanakan seperti merealisasikan aspek sekolah penyayang yang dapat memikat pelajar untuk terus ke sekolah.

Katanya, iklim sekolah yang kondusif dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta gerakan aktiviti kokurikulum yang selari dengan jiwa muda pelajar turut memberi impak positif dalam usaha menangani gejala ponteng sekolah.

Bagi Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Maran, Hamzah Mat Ali, program sifar ponteng itu sangat dipuji bagi mengurangkan salah laku ponteng dalam kalangan murid.

''Program gerakan antiponteng ini dapat menambah kesedaran dan tanggungjawab murid terhadap kepentingan hadir ke sekolah," katanya.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bota, Bahari L. Shafie yang memuji program itu berkata, gerakan antiponteng tersebut dapat menurunkan bilangan pelajar yang terbabit dengan salah laku disiplin.

Katanya, pelajar bermasalah akan mempengaruhi pencapaian akademik dan sahsiah, sekali gus menjejaskan reputasi sesebuah sekolah.

Menurut Pengetua SMK Jengka 10, Bakri Mohd. Salim, disiplin menjadi satu daya kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses P&P berjalan lancar.

Guru Besar SK Ulu Luit, Muhamad Abdullah pula berkata, gejala ponteng pelajar dapat diminimumkan jika satu permuafakatan melibatkan ibu bapa, sekolah dan polis dapat dilaksanakan sebagai satu pasukan.

Dalam pada itu, seorang pelajar SMK Jengka 18, Nura'Isyah Ahmad Zulkifli, 17, menyifatkan program Sifar Ponteng-Gerakan Hadir Ke Sekolah dapat memberi input berguna kepada pelajar.

''Program ini akan dapat menimbulkan kesedaran kepada pelajar bahawa amalan ponteng ke sekolah akan menjejaskan masa depan mereka," tegasnya.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .