Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Jakim cetak 10,000 naskhah Manual Islam, HIV/AIDS

Jakim cetak 10,000 naskhah Manual Islam, HIV/AIDS

 OTHMAN Musthapa (tiga dari kiri) bersama Che Mohd. Rahim Hussien (dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam HIV/AIDS di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 22 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mencetak sekurang-kurangnya 10,000 naskhah Manual Islam dan HIV/AIDS untuk diberikan kepada imam dan pegawai agama di seluruh negara sebagai panduan dalam menguruskan jenazah penghidap HIV dan pesakit AIDS.

Ketua Pengarahnya, Othman Musthapa berkata, buku tersebut boleh menjadi panduan untuk mengelakkan berlakunya kes enggan memandikan jenazah kerana takut dijangkiti penyakit atau virus itu.

"Sekarang memang sudah tidak berlaku keadaan seperti sekitar 1980-an dulu kerana masyarakat sudah mempunyai ilmu mengenai HIV/AIDS, namun buku ini tetap wajar dimiliki.

"Semua maklumat mengenai HIV/AIDS ada di dalam buku ini, begitu juga mengenai cara-cara menguruskan jenazah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam dan HIV/AIDS Kelantan, di sini hari ini.



Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Hussien; Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Datuk Zaman Khan dan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman.

Buku terbitan Jakim itu mempunyai lapan modul utama yang amat berguna termasuk kepada bakal suami atau isteri yang menghidap HIV.

Othman berkata, Jakim tidak pernah menghalang pasangan yang menghidap HIV untuk berkahwin, sebaliknya mereka akan diberikan kaunseling secukupnya.

"Pemeriksaan dibuat untuk kita mengetahuinya sahaja dan selepas itu bakal suami atau isteri akan diberitahu bahawa pasangan mereka menghidap HIV.

"Jika hasrat untuk berkahwin tetap diteruskan, kita tidak boleh menghalangnya tetapi bantuan kaunseling dan khidmat nasihat akan diberikan sepanjang masa," katanya. (Utusan Malaysia, 23/5/2011)

 

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .