Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Sijil Tahfiz Al-Quran Untuk Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan

Sijil Tahfiz Al-Quran (6 Juzu’) untuk Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) 

 Gambar Masjid Darul Quran 
Kredit kepada klik http://raredour.blogspot.com/


Program Persijilan Tahfiz al-Quran Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) Darul Quran JAKIM

Bidang Tahfiz al-Quran bukan sahaja dikhususkan kepada golongan tertentu malahan menjadi tanggungjawab kepada sesiapa yang mampu dan yang benar-benar iltizam untuk melaksanakannya.

Sejarah telah mencatatkan golongan huffaz di zaman Rasullullah SAW menghafaz kalam Allah secara mushafahah tanpa melihat mashaf. Kaedah ini menjadi wasilah (cara) yang mampu dipraktikkan oleh Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) untuk menghafaz al Quran.

 Namun di Negara kita masih belum terdapat Insitut Pengajian Tinggi Kerajaan yang menawarkan kursus tahfiz al-Quran kepada OKUMP. Di atas kesedaran ini, JAKIM melalui Darul Quran mengambil inisiatif mewujudkan program Persijilan al-Quran bagi OKUMP agar dapat memberi peluang kepada mereka menceburkan diri dalam bidang tahfiz secara normal dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 
 
Objektif
  1. Memberikan pendidikan tahfiz dan ilmu yang berkaitan dengan ilmu al-Quran kepada golongan OKUMP
  2. Melahirkan huffaz, qurra dan du’at dikalangan OKUMP
  3. Melahirkan tenaga pengajar dalam bidang tahfiz dikalangan OKUMP
  4. Melahirkan ummah yang berkualiti di kalangan OKUMP
TEMPOH PENGAJIAN

 Sijil Tahfiz untuk Orang Kurang Upaya masalah Penglihatan (OKUMP) adalah 6 bulan.

Syarat Kelayakan Masuk
  • Terbuka kepada semua warga orang kurang upaya masalah penglihatan yang boleh membaca al-Quran Braille.
  • Mempunyai minat dan semangat yang tinggi untuk belajar
  • Berumur 18 tahun dan 30 tahun dan belum berkahwin
  • Bersedia mengikuti kursus ini selama 6 bulan berturut-turut.
  • Lulus ujian kelayakan
Kemudahan Pengajian
  • Bilik kuliah dan tutorial
  • Bahan rujukan Braille seperti al Quran dan alat Bantu mengajar
  • Kemudahan KO-kurikulum 
  • Biasiswa disediakan 
  • Kos pengajian ditanggung oleh JAKIM
Penganugerahan Sijil


Sijil akan dianugerahkan oleh Darul Quran JAKIM

Subjek Yang Ditawarkan
  • Hifzi al Quran Syafawi ( Juza’ 1- Juzu’ 6)
  • Tajwid- Taranum
  • Fiqh
  • Tauhid
  • Asas Bahasa Arab

Di manakah terletaknya Darul Quran JAKIM?
Jawapan :

 Darul Quran terletak di Daerah Hulu Selangor, 64 km dari Kuala Lumpur menghala ke utara. 

Secara tepatnya Darul Quran terletak di Jalan Hamzah, Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan 

Masa Pengambilan Pelajar:
Program Persijilan akan dibuat pada bulan Disember setiap tahun 

Bagaimanakah dengan kadar yuran yang dikenakan di Darul Quran?
Jawapan : Yuran pengajian hanya dikenakan ketika sesi pendaftaran sahaja. Manakala bagi semester yang berikutnya yuran tidak dikenakan.  

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang DQ, anda boleh melayari pautan berikut :
http://www.darulquran.gov.my/  

Rahsia Kecemerlangan Penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri

KUALA KUBU BARU: “Apabila tiba musim peperiksaan, saya lebih tekun mengulangkaji pelajaran dan tidur cuma sejam sehari untuk mengekalkan keputusan cemerlang,” kata penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Fakrur Amirul Mohamad Rodzi, 22.

Mohd Fakrur Amirul antara 494 pelajar yang menerima ijazah, diploma dan sijil sempena Majlis Konvokesyen Darul Quran ke-21 yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, di sini, semalam.

Pemegang Diploma Tahfiz dan Syariah itu bersyukur dengan penghargaan diterima, selain menganggapnya sebagai hadiah paling istimewa buat ibu bapa yang menjadi pendorong.
“Menyaksikan kejayaan pelajar senior menggenggam anugerah ini beberapa tahun lalu membuatkan saya lebih bermotivasi untuk berjaya, malah tidak melepaskan peluang bertemu mereka untuk mendapatkan tip kecemerlangan.

“Bergelar anak sulung daripada lapan beradik, semestinya saya bertanggungjawab menunjukkan contoh terbaik dan menjadi ikutan adik lain untuk meraih kejayaan,” katanya yang merancang melanjutkan pelajaran ke Jordan.

Penerima anugerah sama, Ain Adilah Mohd Adlan, 21, turut gembira dan optimis bidang dipelajarinya mampu memacu kejayaan sama seperti profesion lain.

SUMBER; HARIAN METRO Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08

Bercita-cita menjadi pensyarah Usuluddin, Ain Adilah yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaya mengakui sentiasa memperbaiki diri dan aktif menyertai program anjuran institut, tetapi pada masa sama mengekalkan kecemerlangan akademik.

Kedua-dua penerima anugerah berkenaan membawa pulang sijil, wang tunai, set buku bernilai RM3,000 serta pakej umrah.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, demi memartabatkan pengajian tahfiz al-Quran ke peringkat tertinggi, Darul Quran bakal dinaik taraf menjadi kolej universiti awam di bawah kendalian Jakim dalam tempoh terdekat dan perbincangan peringkat akhir antara Jakim dan Kementerian Pengajian Tinggi masih berlangsung membabitkan isu pentadbiran.

Kecemerlangan Darul Quran

 (SUMBER; KOSMO ONLINE)

PERWATAKAN seorang pemuda berkopiah putih yang berbaju Melayu berwarna emas itu kelihatan amat sederhana.
Lengkap menyarung persalinan jubah berwarna hijau, dia tenang berdiri di satu sudut bersama beberapa individu lain.
Beberapa saat kemudian, kedengaran suara pengacara majlis mengumumkan nama penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri sempena Majlis Konvokesyen Darul Quran (DQ) ke-19 yang sedang berlangsung ketika itu.
Sejurus profil dirinya habis diumumkan, pemuda yang dikenali sebagai Mohamad Abdillah Samsuiman itu melangkah naik ke pentas untuk menerima anugerah miliknya.
Selepas tiga tahun menuntut ilmu di DQ dalam jurusan Diploma Tahfiz al-Quran, Abdillah, 25, kini bergelar seorang huffaz yang cemerlang dalam akademik dan aktiviti ko-kurikulum.
Mengakui kemasukannya ke DQ agak lewat berbanding usia yang sepatutnya, Abdillah bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana masih mampu menjadi seorang penghafal kitab suci yang diturunkan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W itu.
Berkongsi pengalaman menimba ilmu di DQ, Abdillah memberitahu, niat perlu ikhlas dalam setiap yang dilakukan.
Contohnya, ketika mula belajar di DQ, dia tidak berharap pada pekerjaan yang akan diperoleh kelak, sebaliknya semuanya disandarkan pada Allah.
“Saya menghafaz al-Quran atas prinsip sebagai umat Islam, saya mahu mempelajari dan memahami kalam Allah dengan lebih terperinci.
“Melaluinya, banyak kelebihan dan keberkatan yang akan diperoleh secara semula jadi memandangkan niat kita belajar kerana Allah,” tutur Abdillah yang mengambil masa tiga tahun untuk menghafaz al-Quran.


SELAIN pembacaan al-Quran di hadapan guru, pelajar juga saling mendengar bacaan sesama sendiri.



Apakah petua atau tip untuk menjadi hafiz yang baik? “Sentiasa bangun solat malam. Kalau tidak dapat dilakukan setiap hari, memadai jika laksanakan seminggu tiga kali.
“Kemudian, perlu sentiasa menghormati kedua-dua ibu bapa, guru-guru dan kakitangan serta rakan-rakan pelajar. Akhir sekali, kena bijak menyusun strategi di antara akademik dan aktiviti ko-kurikulum. Insya-Allah, kita pasti berjaya.”
Kejayaan Abdillah itu meneruskan lagi legasi cemerlang DQ dalam melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik dan hafaz al-Quran.
Seorang lagi penerima anugerah serupa, Izzah Qudsiah Mohamad Ghazali, 21, berkata, dalam hafalan al-Quran dia banyak bergantung pada Allah, bukan pada diri sendiri.
Sering mengulang-ulang bacaan al-Quran pada waktu malam dan sebelum Subuh, Izzah Qudsiah mengatakan itu antara waktu terbaik untuk menguatkan hafalan.
“Alhamdulillah, dengan cara itu saya dapat menguasai kursus tahfiz di DQ secara progresif,” ungkap anak ketiga daripada sembilan adik-beradik yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan itu.
Mula ditubuhkan pada pada 1 Mac 1966, sedar atau tidak legasi DQ yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah hampir menjangkau lebih separuh abad.
Pelajar luar negara
Dalam tempoh berkenaan, telah ramai huffaz, qurra’ dan du’at yang mahir lagi berketerampilan telah dilahirkan selaras dengan keperluan ummah dan negara.
Huffaz merujuk kepada hafiz dan hafizah yang mahir dalam pembacaan dan pengajian ilmu al-Quran bagi memelihara kesucian dan kesahihan kitab suci tersebut.
Qurra’ pula terdiri daripada qari dan qariah yang berwibawa dalam menguasai seni bacaan al-Quran serta ilmu Qiraat.
Sementara Du’at bermaksud pendakwah, pendidik dan imam-imam terlatih serta profesional melalui pengajian ilmu-ilmu al-Quran.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abd. Aziz memberitahu, tahun ini genap 19 tahun DQ mengadakan majlis konvokesyen sendiri.
Ujarnya, sejak ditubuhkan 44 tahun lalu, DQ telah berjaya mengeluarkan ribuan penghafaz al-Quran dari segenap pelosok tanah air.
“Bahkan, pelajarnya bukan sahaja terdiri daripada anak tempatan tetapi juga dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand dan Kemboja.
“Kebanyakan para huffaz telah berjaya dalam kehidupan mereka dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat,” ujar Wan Mohammad sambil berharap para graduan DQ mampu menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.


PELAJAR Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan juga berpeluang menimba ilmu di Darul Quran.



Generasi pertama
Ketika mula ditubuhkan, hanya terdapat lapan pelajar perintis sebagai generasi pertama DQ.. Salah seorang daripadanya ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad yang menyertai DQ pada tahun 1966.
Ujar beliau, ketika itu tidak ramai orang mahu belajar bidang tahfiz kerana bimbang masa depan yang tidak menentu. Tambahan pula, ia satu kursus baru menyebabkan tiada sesiapa yang boleh dijadikan contoh untuk mengikutinya.
Namun, Sheikh Ismail memberitahu, dia belajar tahfiz kerana mempunyai latar belakang keluarga yang miskin. Ayahnya cuma penoreh getah.
“Apabila habis belajar di sekolah Melayu, saya layak ke sekolah aliran agama dan kebetulan mendapat biasiswa yang membolehkan saya meneruskan pelajaran.
“Melalui duit biasiswa itu juga, saya gunakan untuk belanja pengajian dan membantu keluarga,” katanya yang turut menerima duit zakat ketika belajar di DQ pada usia 16 tahun. Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun setengah untuk memiliki sijil Tahfiz al-Quran.
Perbaiki bacaan
Selain menawarkan kursus tahfiz, DQ turut menjadi platform untuk masyarakat menimba ilmu berkaitan bidang taranum. Ia merupakan satu kaedah untuk memperelok atau memperindahkan bacaan al-Quran secara berlagu.
Mula diperkenalkan pada tahun 2007, Program Persijilan Tinggi Taranum al-Quran dirangka khusus untuk melahirkan generasi al-Quran yang gemilang dan berwibawa. Program itu hanya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.
Pada konvokesyen baru-baru ini, penerima Sijil Tinggi Taranum yang mencatat keputusan terbaik sekali gus melayakkan beliau memperoleh Anugerah Pengerusi Lembaga Darul Quran merupakan seorang guru tahfiz dan imam madrasah di Rembau, Negeri Sembilan.
Ketika ditemui, Abdul Latif Mohd. Ali, 38, mengakui dia tidak malu untuk menuntut ilmu walaupun sudah agak berusia berbanding rakan sekursus.
“Sebagai seorang imam, saya perlu sentiasa berusaha memperbaiki tahap bacaan al-Quran dari semasa ke semasa. Apabila mengetahui DQ menawarkan program Sijil Tinggi Taranum, saya tidak teragak-agak untuk mengikutinya,” terang Abdul Latif yang tidak pernah ponteng kelas sepanjang dua bulan berkursus di DQ.
Konvokesyen DQ yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kuala Kubu Baru, baru-baru ini menyaksikan 474 graduan iaitu 288 lelaki dan 186 wanita daripada tiga program naik ke pentas bagi menerima skrol dan sijil masing-masing.
MINGGU Haluan Siswa merupakan antara aktiviti yang perlu dijalani oleh pelajar baru Darul Quran.


Mereka merupakan graduan program Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat di Darul Quran dan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri (MTQN); program Persijilan Tahfiz al-Quran Darul Quran-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (DQ-UIAM) serta program Sijil Tinggi Taranum al-Quran (STTQ).
Secara keseluruhan, pemegang Diploma Tahfiz al-Quran layak memasuki perkhidmatan kerajaan yang setaraf diploma.
Namun, kebanyakan graduan lebih gemar memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di beberapa buah universiti di dalam dan luar negara seperti Maahad Qira’at Shoubra, Universiti Al-Azhar; Mesir, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), UIAM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .