Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Kurikulum Silibus Baharu Subjek Sejarah Sekolah Menengah

Kurikulum Silibus Baharu Subjek Sejarah Sekolah Menengah



Muhyiddin Yassin diiringi Omar Mohd. Hashim melawat Galeri Sejarah selepas merasmikannya sebelum Mesyuarat Tahunan Majlis Ke-57 
Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. - BERNAMA

Kurikulum baharu subjek Sejarah

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang merangka kandungan baharu kurikulum Sejarah dalam silibus sekolah menengah sebagai sebahagian daripada usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan itu juga dibuat selari dengan keputusan kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai matapelajaran wajib lulus bagi mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

Katanya, perkara itu juga sesuai dengan keputusan kerajaan memperkenalkan Sejarah pada peringkat sekolah rendah mulai 2014.


Beliau menjelaskan, rangka kandungan kurikulum baharu Sejarah peringkat sekolah menengah itu dibuat berpandukan perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

"Kita berharap dengan pelaksanaan dasar ini, rakyat Malaysia terutama generasi muda akan lebih memahami dan menghargai warisan sejarah serta budaya negara yang menjadi penentu utama pembinaan satu identiti nasional yang kukuh dan jitu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Mesyuarat Tahunan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Ke-57 dan perasmian Galeri Sejarah di Wisma Sejarah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM, Tan Sri Omar Mohd. Hashim, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, kerajaan juga sentiasa berusaha meningkatkan profesionalisme kualiti guru yang mengajar subjek Sejarah agar mereka dapat membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual yang tinggi dalam kalangan murid.

"Zaman yang menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran sudah berlalu dan kita mahu ia diberi nafas baru, dimartabat, diberi perhatian serius dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam mengenainya," tegasnya.

Sementara itu, Omar berkata, laporan serta cadangan mengenai kurikulum baharu Sejarah sekolah menengah yang disediakan PSM menekankan aspek seperti cara pengajaran dan kandungan subjek tersebut.

"Ia telah dihantar kepada Kementerian Pelajaran dua bulan lalu dan terpulang kepada pihak mereka untuk (kementerian) sama ada untuk menerima atau menolaknya," katanya.

sumber; Utusan Malaysia, 7/9/2012

Subjek Sejarah wajib lulus SPM

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

‘‘Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.

‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.

‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.

‘‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.

Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.

Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusu
s untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.

Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara.

‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.

Sumber; ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 24/10/2010

Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014

MELAKA 24 Okt. - Selepas mengumumkan mata pelajaran Sejarah wajib lulus bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerajaan hari ini mengambil pendekatan menjadikannya sebagai subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penambahan baru juga akan dibuat pada mata pelajaran tersebut antaranya menekankan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan.

Ketika ini, katanya, unsur mata pelajaran Sejarah banyak 'menumpang' pada subjek Kajian Tempatan yang diajar kepada murid Tahap Dua di sekolah rendah.
''Kita akan laksanakan subjek Sejarah ini bermula pada Tahap Satu dengan berkonsepkan education is fun menerusi pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.
''Kita mahu jadikannya sebagai mata pelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Puad, pihaknya perlu melatih semula guru mata pelajaran Sejarah sedia ada sebelum mata pelajaran tersebut boleh diajar kepada murid sekolah rendah.

Katanya, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk mengisi keperluan pembentukan negara Malaysia yang maju dan meningkatkan patriotisme rakyat agar generasi muda mengetahui asal-usul serta kepentingan menghormati Perlembagaan negara.

Mohd. Puad turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya keputusan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus akan membebankan pelajar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, subjek Sejarah akan diubah suai dengan dimasukkan elemen baru bagi menjadikannya lebih menarik dan efektif.

''Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air merupakan antara topik yang diberi keutamaan dalam subjek berkenaan bagi menyuntik semangat cintakan negara di kalangan generasi muda,'' katanya ketika dihubungi di sin

Sumber: ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 25/10/2010

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .