Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

MBOT memperkasakan pendidikan teknikal

MBOT memperkasakan pendidikan teknikal

Yang Berbahagia Prof Datuk Dr Abdul Hakim Juri


NEGARA akan memartabat pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) dengan beberapa transformasi seperti menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional sebagai kolej vokasional dan menyeragam sistem persijilan bagi mengeluarkan sumber manusia terbaik. 

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang ditubuhkan MARA pada 2002 antara institusi terawal menerima lulusan TEVT untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Presidennya, Prof Datuk Dr Abdul Hakim Juri menjelaskan perkembangan terkini TEVT di negara ini dengan perbandingan di Eropah kepada Wartawan Varsiti, Mohd Feroz Abu Bakar.

S Bagaimana Datuk melihat transformasi TEVT kepada kepentingannya dalam sistem pendidikan negara ? 

J Memang sudah sampai masa untuk kita melakukan transformasi TEVT secara besar-besaran dengan objektif untuk menjadikan aliran teknikal dan vokasional sebagai pilihan utama dan bukan lagi pilihan untuk pelajar yang ‘gagal’.

Istilah ‘gagal’ sepatutnya tidak digunakan dalam kamus sistem pendidikan di sekolah. Sistem penilaian yang dilakukan di sekolah lebih kepada mengukur keupayaan akademik seseorang, pelajar yang kurang keupayaan ini tidak patut dilabel sebagai ‘pelajar gagal’. Pelajar haruslah diberikan aliran yang sesuai dengan keupayaan dan minat mereka dengan aliran TEVT menjadi antara aliran teras pada peringkat sekolah.

Tidak ada pelajar yang patut dilabel sebagai gagal kerana ini semacam ‘doa’ kita untuk mereka. Kita harusnya mendoakan mereka menjadi anak yang berjaya mengikut kelebihan masing-masing.

Selepas dunia pendidikan pelajar akan berpindah ke dunia pekerjaan. Aliran TEVT di peringkat sekolah membolehkan pelajar didedahkan lebih awal dengan pelbagai kerjaya strategik. Kalau boleh semua pelajar melalui latihan vokasional dalam bidang berkaitan yang mereka minati sebelum melanjutkan pendidikan pada peringkat lebih tinggi. Ini boleh dilakukan dengan kerjasama sektor industri. Ramai pelajar yang memilih program untuk melanjutkan pengajian dalam sesuatu bidang tanpa mempunyai maklumat yang lengkap kerana tidak didedahkan dengan pelbagai pilihan kerjaya yang ada.

Ramai pelajar yang memilih sesuatu program pengajian kerana ingin bersama rakan lain atau kerana mereka ditawarkan oleh institusi pendidikan program berkaitan. Aliran TEVT apabila diperkasakan oleh kerajaan akan membolehkan setiap pelajar memilih bidang kerjaya yang selari dengan keperluan negara.

Mungkin selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ketika pelajar mengikuti Program Latihan Khidmat Negara, mereka boleh didedahkan kepada kerjaya dan kemudian melakukan praktikal di syarikat supaya mereka mempunyai gambaran awal mengenai sesuatu kerjaya.

TEVT yang akan dimartabatkan pada peringkat sekolah memang tindakan ke hadapan kerana pelajar akan didedahkan dengan kerjaya tertentu.

Tetapi, aliran TEVT jangan dilabel hanya untuk mereka yang gagal atau kurang pencapaian akademik. Saya berpendapat mereka tidak gagal cuma sistem peperiksaan akademik tidak mengukur atau mengenal pasti kekuatan lain yang mereka ada. Jika ini dilakukan, kita boleh berikan aliran yang sesuai untuk mereka berjaya.

Sistem pembelajaran TEVT yang membabitkan proses pembelajaran secara praktikal dapat membantu pelajar memahami teknologi yang canggih dan kompleks. Aliran TEVT di sekolah pastinya akan meningkatkan sistem pendidikan negara kita.

BACA LAGI...



S Bagaimana pula TEVT di negara maju seperti Jerman atau Perancis?

J
Di Jerman dan Perancis secara amnya, kita lihat TEVT menjadi teras sistem pendidikan negara itu kerana rata-rata pelajar yang ke universiti melalui sistem TEVT terlebih dulu. Di Jerman, pelajar yang mempunyai kelayakan untuk ke universiti memilih untuk mengikuti program TEVT terlebih dulu. Maksudnya, TEVT adalah teras sistem pendidikan mereka.

Di Jerman ada institusi pendidikan tinggi yang dinamakan Fachhochschule (FH), iaitu universiti terapan atau aplikasi dan universiti teknikal (TU) yang bersifat akademik serta saintifik. Kedua-dua FH dan TU ini menawarkan program dalam bidang kejuruteraan, tetapi dengan pendekatan berbeza.

Tetapi sebelum sampai ke peringkat universiti, pelajar peringkat sekolah di Jerman akan diberi pilihan dalam tiga aliran. Fokus dan penilaian setiap aliran ini berbeza. Maksudnya selepas menamatkan pendidikan peringkat rendah, pelajar akan disalurkan ke peringkat menengah dalam mana-mana tiga aliran ini. Ada aliran vokasional dan yang lain, tetapi tiada pelajar dilabel sebagai gagal.

Tempoh aliran peringkat menengah ini tidak sama kerana ada dua atau tiga tahun. Lulusan setiap aliran boleh meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk untuk pelajar aliran vokasional. ‘Dual-system’ yang terkenal di Jerman membolehkan pelajar mengikuti pengajian di kolej vokasional dan melakukan latihan praktikal di industri. Di Jerman terdapat kelayakan tertinggi TEVT yang dikenali sebagai ‘Meister’ yang amat dihormati oleh sektor industri.

S Bagaimana sistem pendidikan di Jerman atau Eropah melakukan penilaian kepada pelajar sebelum memasuki tahap universiti?

J Sistem mereka tiada peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Mereka menilai pelajar sekolah rendah untuk melihat kecenderungan pelajar untuk memasuki aliran yang sesuai. Saya setuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran jika menghapuskan UPSR. Itu langkah yang baik, tetapi tentu akan diganti dengan penilaian yang lain. Penilaian baru ini sepatutnya tidak hanya berasaskan kepada keupayaan akademik pelajar.


Setiap pelajar sepatutnya dinilai daripada pelbagai jenis kebolehan barulah disalurkan ke aliran tertentu di peringkat menengah. Contohnya pelajar cemerlang dari segi keupayaan kognitif atau psiko-motor. Kita tidak boleh mengkelaskan pelajar ini sebagai berjaya atau gagal.

Pelajar disalurkan ke aliran tertentu mengikut kecenderungan mereka. Di Eropah, ibu bapa tidak bercakap mengenai jumlah gred A yang diperoleh anak masing-masing. Sistem persekolahan mereka juga tidak membuat ‘ranking’ atau ‘rating’ untuk pelajar seperti nombor satu hingga tercorot.

Kad laporan pelajar sebenarnya untuk memaklumkan kepada pelajar bidang yang dia cemerlang. Ada pelajar cemerlang dalam sains, ada cemerlang dalam bidang seni, ada cemerlang dalam vokasional. Semua pelajar cemerlang, tiada yang kurang cemerlang kerana mereka dinilai mengikut keupayaan dan kecenderungan. Bila semua pelajar dikategori cemerlang, tiada persepsi bidang ini kelas pertama dan bidang itu kelas kedua.

S Ke mana hala tuju program TEVT negara ini pada masa depan?

J Negara kita dalam proses menubuhkan pihak berkuasa untuk memantau kualiti program TEVT dan profesional yang dihasilkan menerusi TEVT. Tenaga pakar daripada beberapa kementerian kini bekerjasama untuk membentuk badan baru yang dinamakan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) yang akan menentukan hala tuju pembangunan program yang melahirkan teknologis.


MBOT akan menentukan status dan profesionalisme mereka yang bertugas dalam bidang berkemahiran bagi memastikan output daripada bidang ini yang terbaik. Sebagai contoh, sekarang sesiapa saja boleh membaiki enjin kereta kerana tiada badan yang mengawal etika dan profesional mereka dari segi kualiti kerja dan barang yang diganti dalam kenderaan. Dengan adanya MBOT, semua yang terbabit dalam sesuatu proses kerja dapat dipertanggungjawab.

Akta berkaitan penubuhan MBOT akan dibentangkan ke Parlimen oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan sokongan penuh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran dan semua agensi kerajaan yang menawarkan TEVT.

MBOT akan mengawal standard sijil, diploma dan ijazah semua institusi TEVT di negara ini dengan merujuk kepada standard antarabangsa, iaitu Sydney Accord untuk program ijazah teknologi dan Dublin Accord untuk program peringkat diploma.

MBOT akan bertanggungjawab untuk membolehkan Malaysia menjadi ‘signatory’ untuk Sydney Accord dan Dublin Accord bagi memastikan teknologis yang kita lahirkan diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Jika syarikat kita melaksana projek di negara lain dan membawa teknologis kita, pekerja ini diiktiraf di negara asing seperti mereka mengiktiraf pekerja yang dihasilkan oleh institusi negara mereka sendiri.

Objektif MBOT ialah menjadikan hasil kerja yang terbaik daripada graduan TEVT. Jawatankuasa penubuhan MBOT dipimpin oleh MOSTI dan disertai oleh semua agensi dan institusi yang berkaitan dengan TEVT di negara ini termasuk UNIKL.

 

1 Comments:

atuk said...

Assalamualaikum Cikgu Ma

moga cadangan ini kerana Allah

Wassalam

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .