Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

OKU Safie Abd Mubin Semangat Tinggi

Semangat tak cacat 

OKU Safie Abd Mubin Semangat Tinggi

 

JERANTUT: Kecacatan dirinya bermula apabila mengalami demam panas seawal usia kanak-kanak menyebabkan anggota badannya menjadi lemah, namun masih boleh digerakkan walaupun tidak sekuat insan normal lain.

Itu suratan menimpa seorang belia orang kelainan upaya (OKU), Safie Abd Mubin, 30, yang kini bergelar usahawan muda dalam bidang membaiki televisyen.

Safie berkata, dia dilahirkan tidak sempurna, cacat pada bahagian tangan dan kaki kanan, namun tidak mahu menjadikan kekurangan fizikal sebagai alasan untuk tidak bekerja.


“Kekurangan fizikal tidak boleh dijadikan ukuran dan alasan untuk tidak berjaya dalam apa juga bidang diceburi, ia perlu dijadikan sebagai penggalak dan pembakar semangat untuk berjaya dalam hidup.

“Walaupun saya berdaftar sebagai OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun kekurangan ini tidak dijadikan halangan untuk saya bangkit berusaha sama seperti belia normal lain,” katanya ketika ditemui di kedai membaiki televisyennya di Felda Gelanggi 1, di sini.

Katanya, sebelum mahir membaiki televisyen dan membuka bengkel sendiri, dia pada mulanya mendapat ilmu dan kemahiran dengan bekerja sebagai pembantu kedai elektrik di bandar Jerantut.

“Berbekalkan ilmu dan pengalaman sepanjang bekerja, saya memberanikan diri membaiki televisyen secara kecil-kecilan, sebelum mengorak langkah seterusnya membuka bengkel sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur mendapat galakan daripada keluarga, rakan dan pengurusan Felda yang sentiasa memberi sokongan bagi memajukan bengkel membaiki televisyennya.
“Saya bersyukur dengan anugerah dan rezeki yang Allah kurniakan, tiga tahun timba pengalaman sebagai pembantu kedai elektrik, kini saya boleh berdikari menjana pendapatan tanpa bergantung harap kepada orang lain,” katanya.

Safie buktikan kecacatan tidak menghalang kejayaannya

JERANTUT 4 Jun - Apabila seorang insan bergelar orang kurang upaya (OKU) memiliki kemahiran dalam bidang tertentu, sudah pasti ia menjadi ukuran terhadap masyarakat bahawa kebolehannya boleh dikongsi malah dihormati berbanding dengan insan normal lain.

Insan OKU yang diperkenalkan menerusi ruangan Keringatku minggu ini, Safie Abd. Mubin, 30, kini berpuas hati dengan kerjayanya membaiki peralatan elektronik terutama televisyen.

"Saya mengalami kecacatan pada anggota tangan dan kaki kanan, namun kekurangan ini bukan halangan bagi saya untuk berdikari mencari rezeki.

"Punca kecacatan ini ialah apabila saya mengalami demam panas ketika usia kecil sehingga anggota tangan dan kaki kanan lemah berbanding anggota kiri," katanya ketika ditemui di bengkel membaiki televisyen di Felda Kota Gelanggi Satu dekat sini baru-baru ini.

Ketika berusia 20 tahun, katanya, dia bekerja sebagai pembantu kedai elektrik di bandar Jerantut dan bermula di situ, kemahirannya membaiki televisyen mula dicanai.

Safie berkata, kemahiran yang diperoleh selama tiga tahun bekerja di bandar ini merupakan bekalannya memulakan langkah membaiki televisyen secara kecil-kecilan dan bertekad untuk membuka bengkel setelah cukup modal.

Pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini juga bersyukur apabila keluarga, rakan dan pihak pengurusan Felda, memberikannya sokongan memajukan bengkel membaiki televisyen yang baru dibuka itu.

"Saya bersyukur dengan mata hati dan fikiran anugerah Allah, membolehkan saya mudah mempelajari selok-belok peralatan elektronik.

"Pengalaman tiga tahun bekerja sebagai pembantu kedai membaiki peralatan elektronik, membolehkan saya berdikari menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung ihsan orang lain," ujarnya.

Sumber; Utusan Malaysia di sini

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .