Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Subhanallah pelajar tahfiz otaknya seperti hidup

Subhanallah pelajar tahfiz otaknya seperti hidup 


Al Fatihah untuk Allahyarham Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin di Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu yang meninggal dunia Jun lalu dalam kebakaran. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang dikasihi dan dicintai. AMin. Semoga kejadian ini menjadi ibrah buat kita.
Sekadar catatan tambahan, jom kita jenguk artikel blog ini yang lepas iaitu
 Kisah Siti hajar iktibar buat kita, sila klik di sini.

Otak pelajar tahfiz 'segar' seperti hidup


TIKAM BATU – Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu.

Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.

Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi lain.




Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.

Barang rakan lain musnah
Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan diri.

“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.
Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.

“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.

“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.

Baru lakukan tasmid
Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.

“Dia baru sahaja melakukan tasmid (mendengar bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.

Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah rentung.

“Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.

Tidak jejas ambilan pelajar

Menurut Anuar, tragedi yang menimpa Mantab langsung tidak mematahkan semangatnya dan tenaga pengajar lain untuk terus mengembangkan syiar Islam dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.


“Kita baru sahaja menerima seorang pelajar hari ini (semalam). Ini menunjukkan respons positif daripada pihak ibu bapa dan ia (tragedi) sebenarnya tidak menjejaskan pengambilan pelajar,” katanya.


Berhubung soal keselamatan pula, katanya, pihaknya akan meningkatkan ciri-ciri keselamatan di samping menyediakan kelengkapan dan meningkatkan ilmu berhubung keselamatan selain menyediakan prasarana yang layak.
“Setakat ini, pelajar diberi cuti seminggu untuk kita jalankan proses pengurusan, terutamanya melibatkan penempatan pelajar di blok sebelah,” katanya.
Menurut Anuar, kesemua 20 pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun akan dipindahkan ke blok bilik darjah yang sedang diubah suai menjadi tempat penginapan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak yang bersimpati, menyumbang dan membantu pihaknya untuk membangunkan semula maahad tahfiz itu.

sumber; SINAR HARIAN 17 Jun 2013

Maahad Tahfiz terbakar, seorang maut, 2 cedera

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini, maut manakala dua rakannya cedera dalam satu kebakaran di asrama Maahad berkenaan, awal hari ini.
Mangsa yang maut ialah Aiman Nurhakim Yahya, 13, yang merupakan penuntut tahun satu yang memulakan pengajian awal tahun ini.
Mangsa yang cedera ringan ialah Meor Amirul Meor Mohd Ghazali, 16, dan Mohamad Muaz Halim, 14.

Seorang pelajar yang terselamat, Mohammad Iszuddin Mohd Iszam, 14, berkata sewaktu kejadian pukul 2 pagi itu, dia sedang tidur bersama rakan-rakannya sebelum dikejutkan seorang rakannya yang menyedari api mulai marak.
"Bila terjaga, saya terus kejutkan empat lagi rakan yang tidur di tingkat atas termasuk Aiman yang tidur di bahagian hujung bilik. Semua rakan yang lain sudah bangun dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
"Kami sangka Aiman juga sudah keluar rupa-rupanya dia masih berada di dalam.
Api marak dengan dengan cepat kerana bahagian atas rumah adalah papan, kami tidak sempat nak lakukan apa-apa untuk membantu Aiman," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, Pengetua (Mudir) Mantab Zamri Arshad berkata Mantab beroperasi kira-kira tiga tahun lalu, dan jumlah pelajar yang masih menuntut ialah seramai 20 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.
"Sebelum ini mereka tinggal di bangunan yang sama dengan bangunan pejabat dan kelas, namun dipindahkan ke sebuah rumah yang dibeli di kawasan berhampiran pada awal tahun ini kerana bilangan pelajar hampir 40 orang.
"Memandangkan pelajar kini 20 orang, kami bercadang untuk memindahkan mereka kembali ke bangunan asal dalam minggu ini.
Dengan kejadian yang meragut nyawa salah seorang pelajar di sini, pelajar diberi cuti dan waris mereka akan dimaklumkan untuk membawa anak-anak pulang sementara urusan penginapan baru diselesaikan," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Penaung Mantab, Anuar Md Isa, yang juga imam masjid Kampung Masjid berkata rumahnya terletak tidak jauh daripada asrama itu dan dia yang terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi bising, tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat.
"Sebelum pelajar-pelajar ditempatkan di asrama berkenaan, beberapa pengubahsuaian sudah dilakukan termasuklah memasang sistem pendawaian elektrik yang baru.
Namun, saya difahamkan punca kebakaran dipercayai disebabkan berlakunya litar pintas.

"Kita berasa sedih dengan peristiwa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zamri di talian 012-5661613 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam Maahad Tahfiz Al-Barakah 07043011030975.
Dalam pada itu, jenazah Aiman Nurhakim yang dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, dijangka dibawa pulang oleh keluarganya ke rumah mereka di Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk dikebumikan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Kedah Ahmad Shahabuddin berkata kebakaran di Maahad Tahfiz itu melibatkan sebuah bangunan separa kekal iaitu separuh kayu, manakala bahagian bawahnya batu, menyebabkan api merebak dengan cepat.
  
"Apabila sampai ke lokasi, kebakaran sudah lebih 50 peratus dan kami dimaklumkan bahawa ada mangsa hilang. Apabila anggota masuk ke dalam, didapati bahawa mangsa sudah rentung. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
  
Ahmad berkata dua jentera masing-masing daripada Balai Bomba Tikam Batu dan Sungai Petani dengan 16 anggota, digerakkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran.
  
Sementara itu, kejadian yang meragut nyawa seorang pelajar itu, turut mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka Ali Yahya.
  
Ali yang turut turun ke lokasi kejadian, berkata beliau bersimpati dengan kejadian yang menimpa Maahad berkenaan dan akan melihat bantuan yang dapat diusahakan untuk membantu keluarga mangsa yang terlibat dan maahad terbabit.
  
"Saya difahamkan terdapat 20 pelajar di Maahad ini namun hanya 16 daripada mereka yang ada di asrama sewaktu kebakaran. Saya akan memanjangkan perkara ini kepada pengetahuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, untuk melihat bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan bagi membantu mereka.

Saya juga akan berbincang dengan Exco Agama mengenai bentuk bantuan yang dapat disalurkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian
. - Bernama

SUMBER; SINAR HARIAN 15 JUN 2013





0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .