Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Tahniah Bekas mat rempit pelajar terbaik LUCT

Tahniah Bekas mat rempit pelajar terbaik LUCT

Bekas mat rempit pelajar terbaik LUCT


Putrajaya: Seorang pemuda yang pernah terbabit dalam kegiatan rempit motosikal, Hairul Azwan Zakaria, 24, muncul antara pelajar terbaik ijazah pertama bidang Televisyen dan Filem Digital pada Konvokesyen Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Azwan yang berasal dari FELDA Sungai Koyan 3, Pahang, berkata beliau menyambung pengajiannya selepas melihat kesusahan ibu bapanya membanting tulang, berpanas, bekerja sebagai tukang kebun sekolah membesarkan mereka empat beradik. 




“Pada mulanya, saya tidak berminat sambung belajar walaupun mendapat kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak baik kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai mekanik dan pelayan, manakala di sebelah petang boleh merempit bersama kawan.


“Bagaimanapun, satu hari ketika mahu menghantar makan tengah hari, saya ternampak susahnya ibu dan bapa memotong rumput di tengah panas di padang sekolah untuk mencari rezeki,” katanya.

TV3 tawar kerja

Azwan berkata, beliau bersyukur kerana terus ditawarkan bekerja sebagai krew penerbitan di TV3, sekali gus membolehkan dia membantu ibu bapanya menyara keluarga mereka di kampung.

“Keadaan itu menyebabkan terdetik di hati saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya dapat mengubah kehidupan kami sekeluarga menjadi lebih senang, pada masa depan.
“Tidak lama selepas itu saya mengambil keputusan menyambung pengajian sehingga memperoleh diploma dalam bidang penyiaran di LUCT, pada 2009 sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah dua tahun kemudian,” katanya ketika menghadiri majlis konvokesyen yang menyaksikan 1,360 graduan dari 65 negara dari seluruh dunia termasuk Afrika, Asia, Amerika Syarikat, Eropah dan Malaysia menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Dianugerahkan PhD

Pada majlis itu, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah dianugerah Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kehormat Pembangunan Sosial kerana sumbangan dan keprihatinan beliau terhadap nasib dan kesusahan rakyat Kedah ketika di landa bencana alam terutama tsunami pada 2004.

Majlis penyampaian PhD itu disempurnakan sendiri oleh Canselor LUCT merangkap Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah sempena Konvokesyen LUCT di PICC di sini, pagi semalam.(Sabtu, 20/7/2013)

Sumber; Berita Minggu, Ahad, 21/7/2013



Bekas 'mat rempit' genggam ijazah Universiti Limkokwing


PUTRAJAYA 20 Julai - Siapa sangka Hairul Azwan Zakaria, 24, (gambar) yang pernah bergelar 'mat rempit' dan menguasai jalan-jalan kampung di Felda Sungai Koyan 3, Raub Pahang kini bergelar graduan selepas menamatkan pengajian di Universiti Limkokwing di sini.


Hairul yang berjaya menggenggam segulung ijazah dalam jurusan Filem dan Televisyen itu mengakui ibunya Habsah Hussin, 58, menjadi dorongan utama untuk berubah menjadi insan berguna walaupun sebelum ini pernah menjadi kutu rayau di kampung.

Hairul yang merupakan anak jati Felda Sungai Koyan 3 berkata, semasa di kampung dia terlibat dengan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah termasuk menjadi 'mat rempit' dan menyertai lumba haram.
"Itu semua kenangan silam saya, berlumba pada malam minggu sememangnya menjadi kebiasaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007.
"Apa yang membuatkan saya terdetik untuk menyambung belajar ialah apabila melihat penat lelah ibu mencari rezeki dengan menjadi tukang kebun di sebuah sekolah di Felda Sungai Koyan 3, ketika itu saya menghantar bekal kepada ibu dan saksikan sendiri cara dia bekerja. Dia sanggup buat apa saja untuk anak-anak." katanya.


Hairul berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima ijazah daripada Pengasas dan Presiden universiti tersebut, Tan Sri Lim Kok Wing dalam Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.


Berkongsi mengenai perjalanan pembelajarannya di Universiti Limkokwing, Hairul berkata, dia pada mulanya mengikuti peringkat Diploma pada 2007 dalam jurusan Filem dan Televisyen dan tamat pada 2009 sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam jurusan sama.


"Saya menamatkan pengajian di Universiti Limkokwing dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.19, walaupun agak rendah saya tetap berbangga dengan pencapaian tersebut," katanya.


Sementara itu, seorang lagi anak jati Felda, Mas Haryati Baharudin, 21, turut membuktikan status anak Felda bukan penghalang kepada beliau untuk berjaya dalam pelajaran.


Mas Haryati yang mengambil jurusan Diploma Multimedia Pengiklanan dan Penyiaran berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.3 berkata, dia berterima kasih kepada Universiti Limkokwing yang memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pelajaran.


Terdahulu Kok Wing dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 1,360 pelajar tempatan dan antarabangsa berjaya mendapat ijazah dan diploma masing-masing.


Dalam majlis yang sama, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Pembangunan Modal Insan oleh Universiti Limkokwing.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Canselor Diraja Universiti Limkokwing, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Sumber; Utusan Malaysia

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .