Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Cacat bukan halangan ke menara gading

Cacat bukan halangan ke menara gading

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Kecacatan tidak menghalang tiga pelajar orang kurang upaya (OKU) melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada sesi 2010/2011 bersama rakan lain.

Nurul Farhanah Zakaria, 22, pelajar Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Teknologi Maklumat berkata, kemalangan dua tahun lalu telah mengubah keadaan fizikalnya tetapi ia tidak boleh memadamkan cita-citanya.

"Abang saya banyak memberi dorongan untuk menyambung pelajaran dan saya ingin berjaya sepertinya.
"Pihak pengurusan UPM juga menyediakan kemudahan untuk pelajar OKU bagi menjalani kehidupan di kampus seperti pelajar lain," kata Nurul Farhanah yang tempang sebelah kakinya akibat kemalangan ketika ditemui pada Majlis Ikrar Pelajar Baru di sini, semalam.

Perasaan yang sama turut dikongsi Mohammad Akashah Mat Nawi, 20, pelajar Sarjana Muda Reka Bentuk dan Perindustrian yang cacat jari tangan kanannya sejak dilahirkan.

Menurut pemuda itu, kecacatan tersebut tidak pernah menjadi penghalang untuk dia melanjutkan pelajaran.
"Guru-guru dan ahli keluarga banyak memberi semangat dan dorongan kepada saya untuk melanjutkan pelajaran walaupun sukar kerana berjauhan daripada mereka.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan ingin mendapat keputusan yang cemerlang bagi membalas jasa mereka dan berbakti kepada negara," ujarnya.

Sementara itu, seramai sembilan pelajar OKU ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) bagi pengambilan 2010/2011 kali ini.

Ketua Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar UM, K. Puniamurthi berkata, pihak universiti telah mula mengambil pelajar OKU sejak tahun 70-an dan sejajar dengan pengambilan tersebut, pihak universiti sering menaik taraf fasiliti untuk kemudahan mereka.

"Kemudahan-kemudahan untuk penginapan dan pergerakan mereka akan terus dinaik taraf ke seluruh kawasan universiti dan kita akan buat semua ini secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Haluansiswa dan Upacara Lafaz Akujanji pelajar UM di sini, hari ini.

Pelajar cacat penglihatan, Young Chee Yau, 20, berkata, beliau memilih untuk menerima tawaran belajar di UM kerana universiti itu menyediakan kemudahan yang secukupnya bagi memudahkan pergerakan beliau antara tempat penginapan dan bilik kuliah.

Beliau yang mengambil jurusan Sarjana Muda Pengajian Melayu berkata, trek laluan untuk bergerak di sekitar universiti adalah satu daripada kemudahan yang jarang terdapat di universiti lain.
Ahmad Solihim Mohd Nor, 20, yang cacat tangan berkata, beliau bersyukur dengan penerimaan mahasiswa lain di situ.

Mahasiswa lain menerimanya seperti orang biasa dan sering dibantu oleh mereka ketika memerlukan, kata pelajar yang berasal dari Terengganu itu.

Beliau yang mengambil jurusan Sarjana Muda Usuluddin juga berkata, kemudahan untuk OKU seperti tandas dan juga bilik yang direka khas bagi kemudahan mereka adalah satu inisiatif yang baik dari pihak universiti.

 

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .