Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Konvensyen OKU, Kanak-kanak dan Wanita

Malaysia Tandatangani Konvensyen Hak OKU


KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Malaysia pada Selasa menandatangani instrumen ratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (OKU) dan penarikan balik reservasi terhadap beberapa artikel dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak serta Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.

Instrumen ini yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memberi gambaran jelas komitmen kerajaan terhadap golongan OKU, kanak-kanak dan wanita tidak diabaikan.

Beliau berkata konvensyen berkaitan dengan OKU itu menggariskan lapan prinsip umum, termasuk sikap hormat dan hidup berdikari, tiada diskriminasi serta penyertaan penuh dan efektif dalam masyarakat.

"Harapan kami begitu tinggi supaya ia dapat memberi perubahan dalam serba-serbi kehidupan OKU di negara ini," katanya ketika berucap di majlis itu di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem. Pada majlis itu juga, Shahrizat menyerahkan instrumen konvensyen tersebut kepada Riot untuk dihantar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRPD) bagi tindakan selanjutnya.

Mengenai penarikan balik reservasi beberapa artikel dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, Shahrizat berkata kerajaan akan memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk bersuara dan memberi hak kepada mereka untuk berpersatuan dan berhimpun secara aman.

Katanya, langkah itu seiring dengan pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak sebagai pemimpin masa depan dan juga penerus bangsa.

Selain itu, kerajaan akan menetapkan umur minimum perkahwinan wanita serta mewajibkan pendaftaran perkahwinan, menghapuskan prejudis dan adat resam yang mempunyai unsur diskriminasi terhadap wanita dan menekankan peluang bagi wanita memegang jawatan dan menjalankan tugas awam.

Beliau berkata dengan pelantikan dua wanita sebagai hakim syarie baru-baru ini membuktikan langkah positif kerajaan dalam memartabatkan wanita untuk memegang jawatan penting.

-- Sumber:  BERNAMA, 06 Julai, 2010 19:58 PM

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .