Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Jurnal Kehidupan Cerita seorang isteri penagih dadah

Jurnal Kehidupan Cerita seorang isteri penagih dadah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel ini pernah saya muat naik di blog Jurnal kehidupan pada 2011 lalu. Namun ia antara data yang tidak dapat diselematkan. 

Kisah ketabahan isteri dan ibu ini wajar kita contohi. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Mempunyai suami yang ketagih dadah dan suami asyik keluar masuk pusat pemulihan, membuatkan isteri ini berdikari dan mendidik anak-anaknya sendirian. Syukur alhamdulillah, saya pernah dihubungi penulis kisah ini sendiri yang menyatakan kesyukuran di atas kejayaan anak-anaknya di dalam pelajaran.

Cerita seorang isteri penagih dadah


RAMAI yang beranggapan apabila suami seorang penagih dadah dan keluar masuk penjara atau pusat pemulihan, maka hidup isteri dan anak-anak akan menjadi tidak ketentuan.

Isteri akan merana, anak-anak pula menjadi liar dan tidak tentu hala tuju hidup. Apakah senario ini saja yang berlaku dalam kehidupan isteri dan anak seorang penagih? Atau mereka juga boleh berjaya seperti keluarga cemerlang yang lain?


Inilah kisah yang akan saya bawa untuk dikongsi bersama pembaca minggu ini. Kisah pengorbanan dan luahan hati seorang isteri penagih yang terpaksa mengharungi hidup membesarkan anak-anak tanpa suami yang sering keluar masuk penjara dan pusat pemulihan kerana menagih.


Semoga pengorbanan Shakira menjadi teladan buat para isteri yang kemungkinan sedang menghadapi masalah yang sama. Inilah kisah yang dikirimkan Shakira dari pantai Timur untuk renungan kita bersama.



"Inilah realiti hidup saya sebagai isteri seorang penagih dadah. Terlalu perit untuk melalui hidup, apalagi jika keluarga mengenali suami dengan segala kebaikan.
"Segala yang buruk tentang suami tidak terlahir dengan kata-kata kerana tidak mahu rahsia keburukan suami terbongkar dan diketahui keluarga.


"Selama 20 tahun bergelar isteri, kehidupan saya tidak lah sesusah mana dan tidak lah sesenang mana,tetapi saya amat gembira dengan kehidupan yang saya lalui, memiliki suami yang penyayang.


"Tidak pernah suami menunjukkan penampilan yang dirinya seorang penagih dadah, dia sentiasa membuat saya ketawa walau hubungan saya dengan ipar tidak sebaik mana.


"Mungkin kerana mereka takut saya ini akan membebankan hidup mereka kerana abang mereka penagih.


"Bagi saya adanya suami di sisi memberi saya kekuatan untuk saya tempuhi hari mendatang tanpa keluarga di sisi.


"Di awal perkahwinan, saya dikejutkan dengan berita sedih. Seorang pak cik datang ke rumah menyampaikan berita penangkapan suami saya ketika kandungan sulung saya mencecah usia lapan bulan.


"Saban hari air mata adalah teman setia, untuk mengadu dengan keluarga saya tidak berdaya. Saya kumpulkan kekuatan untuk pergi ke Balai Polis di KB berjumpa suami di lokap. "Saya minta izin suami untuk pulang ke rumah ibu bapa saya di Kuala Lumpur kerana saya mahu meminjam wang untuk menjamin suami.

"Kepada mereka saya katakan, bahawa suami saya terlantar sakit di hospital dan memerlukan wang sebanyak ini untuk menjalani pembedahan.


"Syukur Alhamdulillah, ayah memberi wang yang saya mahu tanpa bertanya soalan. Setelah dua minggu di rumah keluarga, saya pulang ke KB. Saya tidak terus pulang ke rumah tetapi terus ke balai polis untuk bertemu suami di lokap dan menjaminnya.


"Sebab apa saya bersusah payah menjamin suami? Kerana saya mahu melahirkan anak sulung saya di sisi suami. Saya tidak mahu keseorangan.


"Dari anak sulung hinggalah anak ke lima, suami selalu keluar masuk penjara. Setiap kali saya dirundung pilu, saya akan memeluk anak-anak saya, pada mereka saya tumpahkan air mata sedih.


"Apabila anak-anak tanya kenapa saya menangis, jawab saya kerana ayah ditangkap polis sebab membawa lori secara berbahaya (ketika itu suami bekerja sebagai pemandu lori).

"Saya tidak pernah membebankan anak-anak dengan masalah saya dan tidak pernah menceritakan pada anak-anak tabiat buruk bapa mereka.


"Saya mahu anak-anak menghormati ayah mereka, walau siapa pun bapa mereka, saya tidak mahu memutuskan kasih sayang anak-anak dengan bapa mereka, apa lagi bapa mereka tidak pernah mengkasari mereka malah selalu memberi tunjuk ajar yang baik walau dia sendiri terjebak dengan penagihan dadah.


"Terlalu sukar menasihati suami yang selalu leka dengan dunianya, tetapi saya tidak pernah marah atau bergaduh di hadapan anak-anak. Saya selalu memberi anak-anak kata-kata perangsang supaya mereka berjaya dalam pelajaran.


"Kini anak-anak saya telah dewasa, yang sulung berusia 20 tahun, sedang menjalani pengajian ijazah pertama dalam jurusan perakaunan di UNITEN, Muadzam Shah, Pahang.


"Dari peperiksaan UPSR(5A) PMR(8A) dan SPM(10A1), kini kedukaan saya terubat dengan setiap gred penilaian CGPA yang selalu diperolehnya iaitu 3.90-3.96, setiap kali peperiksaan semester.


"Anak kedua saya melanjutkan pengajiannya di kolej PTPL, Shah Alam. Anak saya ini memang tidak pernah berminat dengan bidang akademik, jadi saya masukkan dia ke bidang kemahiran yang diminatinya.


"Anak ketiga saya berada di tingkatan 3 dan akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dan anak yang ke empat dan kelima masih bersekolah rendah. 


"Sekarang baru anak-anak saya tahu kenapa bapa mereka selalu keluar masuk penjara dan saya memberitahu mereka, bukan saya membenci bapa mereka atau sengaja mahu merahsiakan perkara yang sebenarnya, tetapi saya tidak mahu mereka terjebak dengan masalah saya.


"Saya mahu supaya anak-anak saya berjaya dan dapat mengubah nasib keluarga apabila dewasa nanti.


"Kini suami saya juga baru setahun keluar dari Pusat Pemulihan Akhlak dan saya amat berharap biarlah ini penahanannya yang terakhir kerana dia pun tidak muda lagi, sudah mencecah 50 tahun.


"Walau tiada apa yang dapat saya beri kepada anak sulung saya atas kejayaannya, tetapi setiap kali peperiksaan penting, nama saya akan jadi sebutan, suami saya juga memberitahu pada saya pihak penjara amat kagum dengan kecekalan saya mendidik anak-anak.


"Tidak semua penagih dadah yang dapat memberi pelajaran sempurna untuk anak-anak kerana kebanyakan isteri penagih dadah akan tertekan dengan masalah suami dan anak-anak akan jadi mangsa.


"Bagaimana pihak penjara tahu kejayaan anak saya? Kerana saya selalu menghantar surat dan mengirimkan salinan keputusan peperiksaan anak saya kepada suami semasa dia dalam tahanan.


"Sebelum saya menutup tirai cerita saya ini, ingin saya nasihatkan kepada para isteri yang senasib dengan saya, pandanglah wajah anak-anak yang tidak berdosa, jangan kita jadikan mereka tempat melemparkan kemarahan, tetapi anggaplah mereka sahabat yang sering membahagiakan kita.


"Biarlah kita sengsara, tetapi lawan jiwa rapuh kita dengan kekuatan dan semangat untuk melihat anak-anak berjaya.
"Saya melalui pahit getir kehidupan sebagai isteri penagih dadah selama 18 tahun, bayangkan kesengsaraan yang saya lalui seorang diri tanpa tempat mengadu.


"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberi kekuatan dan kesabaran yang luar biasa ini. Saya harap kebahagiaan ini akan berterusan. Doa saya semoga anak-anak saya akan mendapat perlindungan, hidayah dan diberkati hidup mereka di dunia dan akhirat.

"Kepada suami, harapan dan doa saya yang tidak pernah putus, bertaubat dan berubahlah demi anak-anak. Ingatlah kepada Allah dan kembali ke pangkal jalan," kata Shakira menutup cerita.

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana memberi kekuatan dan semangat yang begitu tinggi kepada Shakira.
Salam

Sumber; Utusan Malaysia
27/01/2011

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .