Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Pembelajaran Atas Talian Teknologi untuk Generasi V

Pembelajaran Atas Talian Teknologi untuk Generasi V



SUDAH lebih sedekad dunia melang­kah alaf baru menyaksikan sektor pendidikan negara berubah dengan suntikan pembaharuan mekanisme moden dalam sistem pembelajaran.

Penggunaan pembelajaran cara konvensional kini melangkah frasa baru dengan gandingan aplikasi sistem pembelajaran atas talian bagi menyaingi kepantasan ledakan teknologi semasa.

Walaupun dianggap tempoh percubaan, pembelajaran atas talian,(klik sini) mampu mencetuskan fenomena baru kepada golongan sasaran.

Adakah pembelajaran baru ini akan mencantas pembelajaran konvensional di negara ini?


Bagaimana pula kemampuannya mengubah landskap dunia pendidikan negara se­iring dengan pendekatan era moden?

Ketua Pegawai Maklumat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Nazri Md Saad berkata, perubahan perlu dilakukan bagi mengimbangi tuntutan globalisasi namun masih mengutamakan kepentingan mana yang relevan.

“Perubahan tidak mampu dielakkan namun ia bukan secara mendadak tetapi berperingkat bagi mengelak sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, perubahan awal dunia pendidikan negara bermula dengan usaha mengintegrasikan penggunaan teknologi seperti radio, televisyen dan video.
Kemunculan teknologi Internet membawa perubahan yang ketara terutama ledakan Web 2.0.




“Kita dapat saksikan bagaimana perubahan awal dalam sistem pendidikan negara dengan penggunaan medium tertentu sebelum Internet mengambil alih bagi menyebarkan maklumat.

“Dulu, medium pembelajaran hanya bersifat sehala menjadikan pelajar sebagai penerima pasif tetapi sejajar tuntutan globalisasi, corak pembelajaran berubah, sekali gus menjadikan pelajar penyumbang aktif dalam pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Katanya, tiada persaingan antara pendidikan konvensional dan teknologi kerana kedua-duanya memberi manfaat.

“Pendidikan konvensional pendekatannya lain, begitu juga teknologi namun matlamatnya tetap sama iaitu sebagai pemangkin kepada kejayaan sistem pendidikan negara.

“Kaedah teknologi adalah satu alternatif baru kepada semua, khususnya dengan pelaksanaan Hybrid Learning yang menggabungkan pembelajaran bersemuka dengan pembelajaran dalam talian,” katanya.

Mengenai pro dan kontra modul penggunaan alat bantuan mengajar (ABM), beliau berkata, teknologi Internet sudah diintegrasikan pada kebanyakan ABM.

“ABM secara konvensional tidak relevan kepada generasi V (Virtual Generation) kerana perlukan modul pembelajaran interaktif.

“Justeru, pendidik tidak boleh memandang ringan dan perlu berfikir secara inovatif untuk mengintegrasikan perkongsian maklumat secara sihat.

“Pelajar generasi V sentiasa berkomunikasi di alam maya. Jika pendidik tidak peka, situasi ini akan menimbulkan masalah lain,” katanya.

Malah sistem pembelajaran atas talian, katanya, memberi ruang kepada pelajar mengulang kaji pembelajaran lebih fleksibel dan bebas berbincang dengan rakan maya serata dunia.

“Banyak manfaat sistem pembelajaran atas talian ini. Contohnya memudahkan pemahaman pembelajaran pelajar generasi V kerana mereka adalah peneraju penggunaan teknologi terkini.

“Pelajar juga akan lebih mudah memahami kandu­ngan sesuatu subjek melalui alat bantu pengajaran menggunakan teknologi maklumat,” katanya.

Teori Pembelajaran Connectivism (atas talian) bermula sejak 2005 dengan pelaksanaan teori diterjemahkan kepada penggunaan Internet sebagai medium komunikasi, kolaborasi dan perkongsian maklumat dalam pembelajaran dan pengajaran.

Ia bermula dengan penggunaan teknologi berasaskan web untuk perkongsian maklumat seperti YouTube, Twitter, Facebook, Google dan Yahoo Messenger hingga akhirnya aplikasi media sosial ini menjadi popular di seluruh dunia.

Kajian UPSI dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Perak pada 2009 di 100 sekolah di daerah Larut, Matang dan Selama mendapati pelajar dan guru
yang menggunakan Wikipedia, Twitter dan Aplikasi Google For Educators menghasilkan keputusan memberangsangkan.

Mengenai kemungkinan wujudnya kelemahan pembelajaran sistem berasaskan teknologi, katanya, ia sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa dengan bantuan pakar pendidikan seluruh dunia.

“Antara kelemahan yang wujud adalah kemudahan akses Internet terhad di kawasan luar bandar, harga langganan mahal serta kesediaan pendidik melaksanakan sistem ini.

“Saya percaya, generasi V tidak menghadapi masalah beralih kepada pembelajaran berasaskan teknologi Internet kerana bersedia mahukan sistem itu.

“Penerimaan ibu bapa turut positif kerana mereka mahukan satu sistem selari mengikut peredaran zaman,” katanya.


Sumber; Harian Metro


E-PEMBELAJARAN

PENGENALAN

Pembelajaran elektronik (e-pembelajaran) ialah salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang mengaplikasikan infostruktur ICT bagi penyebaran pengetahuan dan pelaksanaan pembelajaran kolaboratif (collaborative learning). 

E-pembelajaran boleh diaplikasikan dalam pelaksanaan kursus atau program secara jarak jauh dan juga untuk tujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bersemuka (face-to-face teaching and learning) bagi kursus atau program yang dilaksanakan secara konvensional.

Dimensi pembelajaran secara kolaboratif melalui perbincangan atau interaksi secara bersemuka dapat dilanjutkan dan diperluaskan lagi secara dalam talian segerak (synchronous) atau tidak segerak dalam pendekatan pembelajaran campuran ini. Melalui pendekatan ini juga, pelajar mempunyai masa pembelajaran yang lebih anjal untuk berinteraksi sesama mereka atau dengan pensyarah. 

Pada masa yang sama, pelajar dapat menjimatkan masa dalam proses pengukuhan fakta perbincangan melalui carian maklumat di Internet tanpa perlu meninggalkan sesi perbincangan dalam talian. Infostruktur ICT dalam aspek e-pembelajaran, terdiri daripada tiga komponen utama iaitu perkakasan komputer (sistem server, sistem rangkaian dan komputer pengguna), perisian serta aplikasi e-pembelajaran dan pelbagai kategori pengguna (pengajar, pelajar, pereka bentuk pengajaran, pembangun kandungan dan staf teknikal).

Pelaksanaan konsep e-pembelajaran di PPSK tidak mengetepikan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka. Konsep ini dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui capaian kepada bahan pembelajaran di internet dan intranet secara lebih terbimbing dan sistematik. 

Selain itu, kaedah perbincangan atau interaksi secara dalam talian dapat diwujudkan melalui pelaksanaan konsep e-pembelajaran ini. 

Aktiviti pembelajaran berasaskan interaksi dalam talian di antara pelajar dan pensyarah atau pelajar dengan pelajar ini adalah sebagai alternatif kepada interaksi bersemuka dalam dewan kuliah atau bilik tutorial. 

Interaksi dalam talian yang dilakukan secara segerak atau tidak segerak dengan pensyarah sebagai pemudah cara, memberi peluang kepada pelajar melaksanakan kaedah pembelajaran secara kolaboratif, mengikut kesesuaian masa pembelajaran masing-masing.


Sumber; http://www.ppsk.usm.my/ppsk/web09.nsf/e-learning




0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .