PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersyukur dan gembira dengan keputusan dibuat Kerajaan Sweden yang membenarkan empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di negara itu baru–baru ini ditempatkan bersama keluarga Muslim.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam kenyataannya di sini, berkata keputusan itu menunjukkan bahawa Kerajaan Sweden memberi perhatian terhadap pandangan Kerajaan Malaysia berhubung kepentingan terbaik kanak-kanak berkenaan.


"Kementerian juga ingin mengucapkan setinggi–tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri yang telah membantu keluarga pasangan ini sehingga membawa kepada penempatan anak-anak pasangan bersama keluarga muslim," katanya.

Pada masa sama beliau meminta rakyat negara ini untuk sama-sama berdoa supaya pasangan Malaysia berkenaan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

"Mari kita mendoakan supaya mereka sekeluarga dapat kembali bersatu seperti sedia kala," katanya.