Subscribe Us

JIWAKU TAK PERNAH CACAT CIKGU HUZAIRE

JIWAKU TAK PERNAH CACAT CIKGU HUZAIRE


Pahang Paralimpiad 2012


Sukan Paralampiad 2012 Di Kuantan, Pahang.


Petikan Akhbar Harian Metro 2010 Jiwaku Tidak Pernah Cacat

Sedikit latar belakang Cikgu Huzaire

ANUGERAH GURU CEMERLANG OKU KEBANGSAAN SEMPENA HARI GURU 2010. ANUGERAH KHAS SEMPENA HARI GURU PERINGKAT NEGERI PAHANG 2005.
 ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2008. 
ANUGERAH GURU INOVATIF KATEGORI GURU KURANG UPAYA PERINGKAT NEGERI PAHANG 2009.

BANGKIT selepas kecewa ternyata mencetuskan semangat baru yang jitu sehingga berjaya melonjakkan dirinya setanding insan normal walaupun dia berstatus orang kurang upaya (OKU).


 


Sejarah hitam terjatuh pokok rambutan setinggi dua meter 11 tahun lalu mengubah segalanya. Ketika itu, impian menggunung Mohd Huzaire Ahmad, 35, untuk bertugas sebagai guru dalam bidang muzik hampir berkubur.

Tiga bulan mendapatkan rawatan di hospital selain menjalani rawatan secara tradisional sudah cukup melunturkan semua impian. Keadaannya berlarutan sehingga dua tahun apabila dia gagal mendapat tawaran mengajar daripada Kementerian Pelajaran.



Namun segalanya berubah seperti bulan jatuh ke riba apabila dia mendapat tawaran mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabor, Kuantan. Dalam kepayahan berkerusi roda, dia memulakan langkah pertama.

"Seperti yang dijangka saya berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran bergelar guru OKU. Bukan sahaja pelajar yang memandang rendah, malah rakan juga seperti hilang keyakinan.


"Pada peringkat awal bergelar guru, saya terpaksa mengharungi pelbagai ujian. Namun berkat kesungguhan dan semangat yang menebal akhirnya saya berjaya membuktikan kejayaan," katanya yang berasal dari Kampung Mempateh, Lanchang, Temerloh.

Mohd Huzaire berkata, dalam tempoh tiga tahun di SK Jabor, dia berjaya membuktikan kebolehan dengan melakar kejayaan dalam bidang muzik dan sukan bola sepak.

Tuntutan keluarga yang inginkan dia berada hampir dengan mereka memaksa dia bertukar ke Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Mempaga Dua, Bentong pada 2005. Dengan semangat yang tinggi untuk melahirkan generasi muda berilmu pada masa akan datang, dia melakukan pelbagai pendekatan.

"Selain menghasilkan lagu, saya menubuhkan pasukan kompang, nasyid dan muzik yang berjaya melakar kejayaan membanggakan di peringkat daerah dan negeri dalam tempoh lima tahun.

"Untuk melengkapkan lagi bidang muzik, saya membina galeri muzik yang menempatkan pelbagai peralatan muzik tradisional dan moden sebagai pameran termasuk pendidikan," katanya yang juga pengerusi Persatuan Orang Cacat Bentong.


Berkat kesungguhannya, dia menerima pelbagai anugerah peringkat negeri dan kebangsaan seperti Anugerah Khas Hari Guru Peringkat Negeri 2005, Anugerah Khidmat Cemerlang 2005 dan Anugerah Guru Inovatif Kategori OKU Pahang 2009.


Penghargaan tertinggi yang diterima sepanjang berkhidmat ialah apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang Kategori Kurang Upaya Kebangsaan 2010.


Mohd Huzairi berkata, tanpa bantuan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang ketika itu Menteri Pelajaran, tidak mungkin dia kini bergelar guru.


"Saya berhasrat untuk bertemu dengannya untuk mengucapkan terima kasih atas segala bantuan yang diberikan sebelum ini," katanya.


Sokongan isteri, Siti Noor Azizah Mohd Noor Yusof yang sanggup menerima dirinya dalam keadaan kurang upaya turut menambahkan lagi semangatnya untuk terus berjaya dalam bidang perguruan.


"Kejayaan saya meraih pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan banyak dibantu guru besar SK LKTP Mempaga Dua yang sentiasa memberi galakan dan dorongan," katanya yang memiliki diploma muzik daripada Maktab Perguruan Persekutuan di Pulau Pinang. Menurutnya, impiannya selepas ini ialah untuk memikul jawatan yang lebih tinggi di peringkat negeri bagi membuktikan insan kurang upaya sepertinya mampu meraih kejayaan.


SUmber; Harian Metro dan Blog Cikgu Huzairi



0 Comments:

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini